Isnin, Julai 22, 2013
PRK KUALA BESUT 6
KUALA BESUT: Menjelang dua hari lagi pembuangan undi PRK Kuala Besut, semakin ramai pemimpin pusat dari kedua parti yang bertanding membanjiri Kuala Besut.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang serta timbalannya, Mohamad Sabu adalah di antara pemimpin PAS yang datang berkempen di situ manakala dari Umno pula ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal tidak ketinggalan berkempen.
Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak menghalang Nik Abdul Aziz untuk menunaikan solat Maghrib dan memenuhi undangan semalam walaupun persetujuan sudah dicapai bagi membenarkan bekas Menteri Besar Kelantan itu bertandang ke masjid berkenaan.
Menurut Mejar (B) Yusoff Ali dari Kebajikan Rangkaian Bekas Tentera (Kerabat) Cawangan Kelantan, pada mulanya, pihak pengurusan masjid membenarkan Nik Aziz menunaikan solat di masjid berkenaan akan tetapi pada saat-saat akhir kebenaran ditarik balik kemungkinan atas arahan pihak atasan.
“Kita faham kerana pegawai di kem berkenaan semuanya kawan saya yang pernah khidmat bersama di TUDM sebelum ini, namun kerana tekanan atasan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.
Tindakan kurang cerdik pengurusan kem tersebut sedikit sebanyak meraih undi simpati para pengundi di atas pagar.
PRK yang diadakan berikutan kematian Dr Rahman Mokhtar menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman ditentang oleh calon PAS, Azlan Yusof.
Azlan atau Che Long dikatakan terlalu popular di kalangan penduduk Kuala Besut manakala Tengku Zaihan yang duduk di Putrajaya bergantung kepada kempen yang dijalankan oleh para pemimpin BN pusat termasuk pengarah pilihanraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi iaitu 93.33 peratus pengundi biasa, 6.67 peratus melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara.
PAS mempertikai perbuatan Barisan Nasional (BN) memberi bantuan ad hoc dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang kini dianggar hampir setengah bilion ringgit.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli mempersoal sumber dana yang tidak melalui peruntukan belanjawan yang dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Persoalannya, sumber manakah yang digunakan BN dalam peruntukan yang diumumkan sepanjang tempoh PRK Kuala Besut,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu.
“Apakah ia sumber persekutuan melalui perbelanjaan infrastruktur atau Umno dan BN terus merompak dana khas persekutuan atau royalti petroleum hak rakyat Terengganu,” katanya.
BN setakat ini mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggar bernilai RM387,490,750.
Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PAS mendakwa semua projek yang diumumkan kerajaan BN itu hasil perjuangan dan kempen yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.
Bagi Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Kuala Besut tidak terjebak dalam taktik dan permainan psikologi yang dimainkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
“Saya merayu dan menyeru Kuala Besut jangan terjebak dengan kempen reverse psikologi pembangkang,” kata Menteri Dalam Negeri itu pada sidang media di Pusat Taktikal PDRM di Kuala Besut.
Beliau berkata, pembangkang memutar belit kenyataan dengan menyatakan mereka sebagai penyebab utama bantuan dihulurkan BN setiap kali kerajaan memberi sumbangan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang terus-terusan menyalahkan BN kerana menggunakan sejumlah dana besar untuk membawa pembangunan kepada rakyat.
“Memang semua projek di seluruh negara BN laksanakan kerana mereka minta, atas permintaan pembangkang, semua projek BN lakukan. Macam BN tiada perancangan agaknya.
“Mudah sungguh kempen mereka, tidak perlukan modal langsung,” katanya, sinis.
Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut akan terjawab pada 24 Julai ini. (dipetik dari www.freemalayiatoday.com)
ZAHID SAH PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Beliau berkata, keputusan tersebut telah dijelaskan sebelum ini dan menerima secara terbuka sekiranya ada pihak mahu merebut jawatan tersebut.
"Saya sudah buat keputusan dengan jelas, saya mahu pertahankan jawatan yang saya sandang sekarang.
"Saya tidak ada pelan yang lebih besar. Saya menahan diri daripada naik ke atas atau turun ke bawah, saya sangat terbuka dan mereka yang mempunyai kelayakan untuk bertanding, silakan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi beberapa keluarga miskin di sekitar Kampung Gong Nering, dekat sini hari ini.
Beliau berada di sini dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO.
Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga penyandang jawatan tersebut belum membuat sebarang kenyataan.
AMBIL BANTUAN BN, UNDI PAS- SERU ANWAR
Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut supaya tidak 'menghambakan diri' dengan memilih Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk bantuan yang diberi parti pemerintah itu.
"Pengundi Kuala Besut jangan jadi hamba dengan bantuan-bantuan BN. Pasal apa Umno curah banyak wang?
"Sebab nak menang, kalau kalah peta politik akan berubah, gugat kuasa politik Umno," katanya depan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut malam tadi.
Ketua Pembangkang itu berkata, pengundi boleh mengambil bantuan yang diberi BN tetapi perlu berfikir sebelum mengundi kerana BN didakwanya bakal menindas mereka.
"Kerana miskin, tak salah dapat RM500, RM200 tapi salah kalau dapat RM500, jadi hamba kepada pemerintah.
"Kalau kata perlu undi BN untuk dapatkan bantuan, itu tidak masuk akal. Perlu tanya diri sendiri, kita ada pilihan," katanya pada ceramah menggunakan lori kecil yang dihiasi lampu warna-warni sebagai pentas.
Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa.
BN setakat ini sudah mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggarkan bernilai RM387,490,750.
Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PAS pula mendakwa semua projek itu hasil perjuangan dan kempen PAS selama ini yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.
Sebaliknya, Anwar berkata, pengundi Kuala Besut harus mengambil peluang pilihan raya kecil (PRK) untuk mewujudkan kerajaan setara antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).
Menyeru pengundi memberi sokongan kepada Endut@Azlan Yusof, calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long di Kuala Besut, beliau yakin PAS mampu mengulangi kemenangan pada 1999.
"Siapa kata ini kawasan Umno? Tidak. Tahun 1999 dahulu PAS menang. Cuma, kita perlu tanamkan kekuatan itu," katanya merujuk kemenangan ke atas Terengganu hingga membentuk kerajaan negeri pada tahun berkenaan.
Anwar juga tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan pilihan raya semula jika PAS menang kerusi itu yang sebelum ini dimenangi BN melalui calonnya, Dr Abd Rahman Mokhtar.
DUN Kuala Besut ialah kawasan pertama mengadakan PRK selepas pilihan raya umum ke-13 berakhir berikutan Abd Rahman meninggal dunia. - 22 Julai, 2013. (from the malaysianinsider.com)
Langgan:
Catatan (Atom)