Khamis, April 21, 2016

DUA KALI BERITA PALSU DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sekali lagi membuat laporan polis berhubung penyebaran berita palsu mengenai politik Terengganu.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pukul 4 petang tadi oleh Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah.

Zalina Maizan berkata berita palsu bertajuk 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri' itu disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam dan beliau dimaklumkan bahawa ia telah diviralkan dalam kalangan pemimpin UMNO negeri.

"Keadaan sebegini telah dua kali berlaku. Bezanya cuma olahannya mengenai parti pembangkang iaitu PAS dan yang sebelumnya melibatkan UMNO. Kes ini akan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti individu yang melakukan perkara itu bagi mengelak ia terus berlaku dan menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi kepentingan peribadi.

Ditanya apakah yang dilakukan apabila menerima maklumat berita palsu itu, beliau berkata: "Pihak atasan Bernama adalah yang pertama saya rujuk kerana ia membabitkan imej dan kredibiliti.

"Bernama diyakini dan dipercayai bukan sahaja di dalam malah di luar negara. Atas saranan mereka, saya membuat laporan ini dan saya juga mengambil inisiatif dengan memberi penerangan kepada beberapa pemimpin negeri bahawa ia adalah palsu."

Laporan palsu itu adalah berhubung kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Dr Alias Razak yang mengatakan bahawa PAS telah meletakkan calon tertentu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dalam jangka masa terdekat.

Tambah Zalina Maizan, beliau yakin bahawa penyebaran berita dengan menjadikan Bernama sebagai sumber berita bertujuan meraih kepercayaan orang lain dan menganggu ketenangan politik di negeri ini.

Sementara itu, Dr Alias ketika dihubungi Bernama hari ini menafikan ada mengeluarkan sebarang kenyataan seperti ditulis di dalam berita tersebut.

"Tiada (berita sedemikian), saya baru sahaja balik umrah. Baru tengok telefon, dah ada orang buat fitnah," katanya.

Ulasan saya, nampaknya kini berita yang ada dalam Whatsapp sudah tidak boleh dipercayai lagi. Sewenang-wenangnya mereka membuat berita palsu Bernama. Yang peliknya dua kali berlaku berita palsu itu di Terengganu.

Dua bulan lepas berita Umno palsu kini giliran berita PAS pula palsu. Kenapa Bernama yang jadi mangsa penyebaran berita palsu? Adakah kerana rakyat lebih percaya kepada berita Bernama yang merupakan sebuah agensi kerajaan?

Oleh itu pihak polis hendaklah menyiasat segera penyebaran berita palsu ini supaya ia menjadi pengajaran kepada semua orang supaya mereka
tidak mereka berita palsu.

PENGUNDI CINA PUJI ADENAN SATEM



KUCHING, 19 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem diterima baik oleh rakyat Sarawak menjelang berlangsungnya pilihan raya negeri ke-11, demikian menurut satu tinjauan baru-baru ini.




Tinjauan Merdeka Center pada Januari 2016 menunjukkan 81 peratus pengundi Sarawak puas hati dengan prestasinya, meningkat dari 74 peratus dicatat dalam tinjauan pada April 2015.




"Tujuh puluh lima peratus daripada responden bersetuju bahawa Adenan telah membawa perubahan signifikan kepada Sarawak sejak beliau mengambil alih sebagai ketua menteri pada Februari 2014," kata pusat itu dalam satu kenyataan.




Mereka menyebut penghapusan tol jalan raya, projek prasarana yang bertambah, penyelesaian masalah pembalakan haram dan bantuan kebajikan yang meningkat untuk warga berpendapatan rendah sebagai perubahan utama yang telah diperkenalkan.




Mereka juga mengambil perhatian bahawa pentadbiran Adenan adalah serius dalam membanteras rasuah.




Merdeka Center berkata responden Cina juga memuji dasar beliau berkaitan pendidikan Cina.




Kenyataan itu berkata tinjauan itu melibatkan 815 pengundi berdaftar terdiri daripada 27 peratus Bumiputera Islam, 38 peratus Bumiputera bukan Islam dan 36 peratus responden Cina, yang mencerminkan profil pengundian negeri ini.




Mereka diinterbiu menerusi talian tetap dan telefon bergerak.




-- BERNAMA