Rabu, September 27, 2017

RAFIZI BERNIAGA HASIL DERMA ORANG RAMAI?



KUALA LUMPUR: Pegawai khas di JPM, Datuk Rizal Mansor  (gambar) mempertikai ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli berhubung duit derma yang diberi oleh orang ramai untuk Invoke sebuah NGO milik Rafizi.

Berikut adalah kenyataan penuh Rizal :-




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya pada 24 September lalu berhubung perkara nombor 5 menjawab seperti berikut tentang persoalan mengenai kakitangan Invoke:

“Kakitangan Invoke menandatangani kontrak perjawatan dengan sebuah syarikat yang bernama KEIP Resources Sdn Bhd.
KEIP Resources Sdn Bhd pula menandatangani satu perjanjian membekalkan sumber manusia mengikut keperluan Invoke dari semasa ke semasa. Kontrak perjawatan kakitangan dimuktamadkan begini dengan mengambil kira perkara-perkara bersabit undang-undang buruh dan perkara-perkara lain”.

Soalan tambahan saya kepada Rafizi hari ini; kontrak perjawatan kakitangan dimuktamad begitu kerana mengambil kira undang-undang buruh atau taktik Rafizi mahu mengalihkan duit yang disumbangkan orang ramai ke dalam Invoke untuk dibawa ke syarikat sendiri ?

Dalam bab membohong orang ramai dan memfitnah saya terpaksa memberi tabik hormat kepada dia. Kepakaran dia berbohong dan berimaginasi berada di luar jangkauan pemikiran manusia normal.

Sebagaimana dia berimaginasi seolah-olah dia bersama-sama PM dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini. Dia memberitahu bagaimana keluarga PM mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika di Trump Tower New York.


Jangan kata pegawai-pegawai PM sahaja yang terkejut, pencuci bangunan di Trump Tower New York pun terkejut. Kerana dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini PM tidak ke New York pun.

Berbalik kepada kisah KEIP dan Invoke.

Mengikut rekod gaji yang dipamerkan oleh Rafizi menunjukkan Invoke Solutions Sdn Bhd, telah membayar KEIP Resources Sdn Bhd bermula dari RM 147,974.30 hingga RM 350,608.64, dari Mac hingga September 2017.

Hampir RM 1.3 juta telah dibayar kepada KEIP dalam tempoh tujuh bulan itu.

Mengikut senarai itu juga, menunjukkan Invoke tidak membuat sebarang pembayaran kepada KEIP pada bulan Julai. Hanya selepas berjaya mengutip derma RM1.5 juta dari orang ramai pada Ogos, Invoke telah membayar kepada KEIP sebanyak dua kali pada 28.08.2017. Pembayaran pertama RM 160’349.95 dan pembayaran kedua RM 156,132.10 .

Manakala bulan September pula Invoke membuat pembayaran kepada KEIP, sebanyak RM350,608.64. Kelihatan tanda-tanda yang jelas bagaimana Invoke bermewah-mewah dan ‘kenduri sakan’ selepas berjaya mengutip derma jutaan ringgit dari orang ramai.

Siapakah KEIP Resources Sdn Bhd?

Inilah bahagian yang agak menarik.

Alamat berdaftar KEIP adalah di Temerloh. Bagaimanapun berdasarkan slip bayaran KWSP dan Socso yang ditunjukkan oleh Rafizi menunjukkan KEIP Resources beroperasi bersebelahan atau berhampiran dengan pejabat Invoke.

Semakan juga mendapati KEIP Resources tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan membekal tenaga kerja atau perkara bersangkutan seperti yang didakwa oleh Rafizi.

Milik siapakah KEIP Resources Sdn Bhd?

Mengikut carian yang dilakukan di SSM menunjukkan pemegang saham utama syarikat itu bernama Mohd Rafizi bin Ramli (foto). Yang memegang sebanyak 10,050 saham. Individu yang bernama Mohd Rafizi bin Ramli yang sama juga (berdasarkan nombor kad pengenalan), adalah pemegang saham terbesar dalam Invoke Solutions sdn Bhd. Iaitu sebanyak 250,000 saham.

Kesimpulannya apa?

Kesimpulannya, Rafizi membekal tenaga kerja kepada Rafizi. Dan Rafizi pula membayar kepada Rafizi ratusan ribu sebulan atas nama membekalkan sumber manusia. Hasil duit yang dikutip dari orang ramai. Campur tolak kali bahagi, akhirnya dia juga yang untung. Yang menjadi mangsa adalah orang ramai yang diperdaya untuk memberi derma kepadanya.

PENGERUSI DAN PENGARAH URUSAN TULANGIS MAJU ANTARA 13 PENERIMA SSAP BERGELAR DATO' SERI

PEKAN, 26 Sept (Bernama) -- Adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Kalsom Sultan Abu Bakar hari ini mendahului senarai 155 penerima darjah dan pingat sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di sini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan istiadat itu.


Tengku Kalsom merupakan antara 13 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, yang turut dikurniakan kepada dua lagi adindanya iaitu Tengku Datuk Norazahan dan Tengku Datuk Noor Ashikin.

Antara penerima SSAP lain ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki, Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji Plantation Berhad Datuk Amran Mat Nor, Pengarah Eksekutif Kraken Interactive Sdn Bhd Datuk Raja Mohd Firdaus Raja Zainal, Pemilik dan Pengasas D'Herbs Holding Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad Datuk Lim Hock Seong, Pengarah Urusan Macxen Sdn Bhd Datuk Tan Chin Siang, Pengarah Urusan Tulangis Maju Sdn Bhd Datuk Mohamed Rahim Hussin, Pengarah Srimayan Holdings Sdn Bhd Hok Siu dan Pengarah Eksekutif Asia Controline Sdn Bhd Mohammad Nadjion Nasir.

Tiga lagi dianugerahkan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Editor Buletin Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Rosihan Mohamed Ali, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Pengarah Urusan Kong&Kong Development Sdn Bhd Datuk Kong Tiam Ming.

Sultan Pahang juga berkenan menganugerahkan tiga individu dengan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Kanan Seksyen Dana, Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri Syed Mohamed Koyakutty, Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Dr Mohamad Farouk Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Dr Mashitah Mohd Yusoff.

Pada majlis itu, 33 orang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk antaranya Komander Pangkalan Udara Labuan Brigedier Jeneral Datuk Sardon Hassan, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) M Saedon Ab Majid, Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Ishak Mohd Yusoff, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia Abd Aziz Abu Bakar.

Pakar Perunding Jabatan Ortopedik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Dr T.Tharumaraja, Pengarah Urusan Vision Works (M) Sdn Bhd Afdlin Shauki Aksan, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman SAC Muhammed Hasbullah Ali, Ketua Staf Operasi Darat Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) SAC Zulkiffli Salleh.

Penerima lain ialah Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Cawangan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman SAC Kasuahdi Ali, Ketua Penolong Pengarah (Ops Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman SAC Khalil Ariffin, Pegawai Khas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Mohamad Basri Awang dan Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Muhamad Aminudin Che Omar.

Sultan Pahang turut berkenan menganugerahkan Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada 12 penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 16 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 10 penerima, dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 18 penerima termasuk pemberita sambilan Utusan Malaysia Salehudin Mat Rasad.

Selain itu, sembilan individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (10 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (28 penerima).

-- BERNAMA