Isnin, November 03, 2008

SALLEH KEMBALI SEMULA


Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak kembali meneraju UMNO Bahagian Kota Belud selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Musbah Jamli, pada pemilihan yang berakhir tengah malam tadi.


Pada pemilihan itu, Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud mendapat 341 undi, manakala Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, 294 undi.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) tidak dipilih bertanding pada pilihan raya lalu.


Sementara itu, Awadnir Matanggal menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian.


ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim yang melepaskan jawatan Ketua Pemuda Kota Belud kerana faktor usia pula menang bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.


Pada tahun 2004, Salleh tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian. Bila sudah tiada jawatan dalam bahagian, beliau yang ketika itu adalah ahli parlimen Kota Belud kehilangan jawatannya pada pilihan raya umum baru-baru ini apabila beliau digugurkan sebagai calon BN. Bekas Ketua Pemuda Tuaran, Rahman Dahlan dipilih sebagai calon BN Kota Belud menggantikan Salleh.


Dengan kemenangan ini Salleh dapat bergerak semula dalam politik secara aktif dan beliau juga akan bertanding kerusi majlis tertinggi pada bulan Mac depan.

CADANGAN ADNAN PERLU DITIMBANG


Beranikah semua calon bersumpah wallahi, wabilahi, watallahi bahawa saya tidak beri wang kepada para perwakilan seperti cadang Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob?

Cadangan Adnan wajar diberi pertimbangan kerana jika berani bersumpah begitu tetapin jika mereka terlibat, mereka akan terima padahnya dari Allah. Sumpah bukannya boleh dibuat main-main.


Adnan patut menjadi orang pertama tampil ke hadapan bersumpah bahawa beliau langsung tidak hulur untuk dapatkan pencalonan bagi jawatan ahli majlis teringgi.

Isu politik wang masih menghantui UMNO. Pelbagai mekanisme dicadang tetapi semakin kuat dilarang politik wang, semakin berleluasa amalan itu berlaku. Sekarang ini semua orang tuduh orang ini main wang tetapi tiada bukti kerana tiada rakaman CCTV dan sebagainya.

Oleh itu UMNO perlu melihat cadangan Adnan Yaakob ini secara serius? Malah Ku Li pernah diminta RM1 juta untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO. Untuk dapatkan kuota, Ku Li perlu belanja RM58 juta. Untuk menang pula, entah berapa juta lagi yang Ku Li perlu belanja. Tetapi oleh kerana Ku Li tidak mahu beli pencalonan, maka beliau tercicir dan tidak layak bertanding.

ALI SEMAKIN HAMPIR


Tinggal 49 bahagian lagi yang belum bermesyuarat. Ku Li sudah tiada harapan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO kerana kuotanya ialah 58 pencalonan. Kalau semua baki 49 bahagian mencalonkan Ku Li, Ku Li tetap tak boleh mencabar Najib.

Tetapi bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan pertandingan tiga penjuru antara Muhyiddin, Ali dan Muhammad. Sehingga semalam, Muhyiddin dapat 79 pencalonan manakala Ali perlukan tujuh lagi untuk cukup kuota dan Muhammad perlukan sembilan pencalonan lagi. Shahrir perlukan 38 lagi pencalonan untuk cukup kuota.

Ini bermakna Muhyiddin terpaksa lupakan hasratnya untuk menang tanpa bertanding kerana cabaran Muhammad dan Ali biarpun mereka kurang dapat pencalonan tetapi pengundian akan menjadi sebaliknya.

Usaha untuk menonjolkan Shahrir sebagai calon timbalan presiden terlalu lambat walaupun Musa Hitam pernah jumpa Shahrir memintanya bertanding. Cuma Gua Musang yang berminat dengan Shahrir walaupun Shahrir mencalonkan sepupunya Najib untuk jawatan Presiden UMNO.

Yang sedihnya jentera Ku Li kuat di Johor tetapi satu bahagian pun tidak calonkannya untuk jawatan Presiden UMNO. Malah Muar yang disebut-sebut bakal mencalonkan Ku Li juga turut kecundang.


Mungkin kaedah pencalonan iaitu undi angkat tangan tidak sesuai lagi untuk menunjukkan akar umbi mencalonkan seseorang tokoh untuk jawatan penting dalam parti. Maka UMNO perlu memikirkan supaya undi sulit dibuat kepada semua pencalonan jawatan pada pemilihan akan datang.

ISA ADA HARAPAN


Tanpa jawatan dalam kerajaan tetapi telah dapat kuota yang cukup untuk tanding Naib Presiden UMNO merupakan satu kelebihan Isa Samad. Semalam beliau mendapat 21 pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan ini merupakan calon keenam yang layak bertanding selain dari Hishamuddin (115 pencalonan), Dr. Ahmad Zahid Hamidi (83 pencalonan), Shafie Afdal (64 pencalonan), Khaled Nordin (61 pencalonan) dan Syed Hamid Albar (24 pencalonan).

Isa menang pada tahun 2004 tetapi dia dikenakan hukuman kerana kononnya bermain politik wang. Isa yang tidak bernasib baik sedangkan calon lain pun main wang tetapi tidak kena tangkap. Oleh itu para perwakilan sudah tentu akan memberi undi simpati kepada Isa kali ini.

Tidak semestinya orang tiada jawatan dalam kerajaan tidak boleh menang naib presiden. Ghafar Baba buktikan bahawa dia menang pada tahun 1978, 1981 dan 1984 dalam pertandingan naib presiden walaupun beliau bukan menteri.

Oleh itu harapan Isa tetap ada walaupun beliau bukan menteri. Pada tahun 2004 pun beliau menang walaupun mendapat pencalonan yang sedikit.