Rabu, September 09, 2009

KENYATAAN PENUH MENTERI BESAR TERENGGANU









Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad bin Said melahirkan kekecewaan di atas satu laporan akhbar Berita Harian bertarikh 4 Sept, 2009 yang mempunyai unsur fitnah serta laporan yang kurang tepat yang telah menimbulkan persoalan tentang kredibiliti akhbar tersebut.


Berita yang disiarkan di muka surat 5 bertajuk ‘Muhyiddin mahu selesai kemelut BN Terengganu’ dilihat telah gagal melaporkan perkara sebenar yang berlaku pada majlis yang dihadiri lebih 5000 rakyat Hulu Terengganu tetapi melihat majlis itu dari sudut politik semata-mata.


Dato’ Ahmad yang telah sekian lama mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungan beliau dengan pentadbiran dan politik, sudah tidak dihormati oleh media.


Beliau kesal dengan sikap sesetengah wartawan yang tidak beretika dan membuat laporan berdasarkan andaian serta pandangan yang menyebelahi sesuatu pihak tanpa mengambil kira atau mengambil inisiatif untuk membuat siasatan rapi dari pelbagai sudut sebelum menyiarkan sesuatu berita.


“Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan yang lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.


“Laporan Berita Harian Jumaat lalu adalah penghujung kesabaran saya (last straw) kerana ia jelas telah memfitnah saya. Wartawan yang membuat laporan tersebut jelas tidak memahami Perlembagaan Umno serta perjalanan parti, dan tidak teliti membuat pemantauan kehadiran wakil-wakil rakyat di majlis tersebut sehingga ramai yang terguris hati apabila nama mereka dilaporkan sebagai ADUN yang tidak hadir bersama Timbalan Perdana Menteri.”


Perenggan 5 : Kemelut dalaman kepimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Ketua Umno Bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Laporan Perenggan 5 merupakan satu fitnah. Untuk pengetahuan para wartawan, rakyat dan pembaca Berita Harian serta akhbar-akhbar lain bahawa tidak ada jawatan Pengerusi Penyelaras DUN di dalam Perlembagaan Umno dan Barisan Nasional.


Jawatan ini diwujudkan semasa Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar ketika itu, untuk memudahkan pengurusan Umno di peringkat DUN dimana semua Ketua Bahagian melantik sendiri Ahli Jawatankuasa Penyelaras DUN.


“Pada ketika itu, hak melantik Penyelaras DUN diberikan kepada semua 8 Ketua Bahagian. Saya sendiri, sebagai Ketua Bahagian Kemaman semenjak tahun 2000, telah melantik penyelaras-penyelaras DUN di Bahagian saya.


“Menteri Besar tidak ada kena mengena dalam perlantikan Penyelaras DUN dan jawatan ini pula tidak pernah ujud di negeri-negeri lain, kecuali Terengganu. Oleh itu, laporan Berita Harian tersebut telah memfitnah saya secara terang-terangan dan saya meminta akhbar tersebut memohon maaf diatas laporannya yang tidak berasas.”


Perenggan 10: Adun yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).


“Saya amat kecewa dengan laporan Perenggan 10 kerana jelas wartawan-wartawan Berita Harian yang membuat pemantauan di majlis tersebut tidak teliti atau mereka memang tidak kenal siapa wakil-wakil rakyat Terengganu, atau mereka mempunyai agenda tertentu.


“Saya ingin menjelaskan bahawa wakil rakyat yang tidak hadir tanpa alasan atau memaklumkan kepada saya ialah Dato’ Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid, YB Alias Abdullah, YB Zakaria Abdullah dan YB Zawawi Ismail.


“Manakala YB Ramli Noh tidak hadir kerana mewakili saya di satu majlis dengan RTM di Kuala Lumpur; YB Dato’ Mohamed Awang tera, ahli Exco, telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau ada program lain yang tidak dapat dielakkan; dan ahli Exco YB Toh Chin Yaw pula tidak dijemput kerana ini merupakan majlis Umno dan majlis berbuka puasa.


“Namun demikian, untuk pengetahuan umum, YB Dato’ Seri Idris Jusoh sempat hadir bersama Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu untuk program di masjid Penarik serta bersama-sama berada dalam majlis gotong royong membina wakaf di pantai Penarik pada hari Jumaat 4 Sept.


“Manakala YB Halim Jusoh tidak hadir di majlis bersama TPM di Hulu Terengganu kerana beliau terbabit dalam persiapan untuk menerima kunjungan Dato’ Seri Hishammuddin dan anak-anak angkat Umno Perhubungan di Kampung Penarik, dan saya telah dimaklumkan lebih awal.


“Namun demikian saya percaya bahawa ketidakhadiran Dato’ Seri Idris Jusoh pada petang tersebut mungkin telah dimaklumkan sendiri olehnya kepada Dato’ Seri Hishammuddin, manakala yang lain-lain yang tidak dapat hadir mungkin telah memaklumkan sendiri kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, terutamanya YB Zawawi dan YB Dato’ Rosol Wahid kerana TPM berada di DUN Kuala Berang dan di Bahagian Hulu Terengganu, di mana mereka adalah wakil rakyat di Bahagian Hulu Terengganu.


“Akibat dari laporan yang tidak tepat itu telah menyebabkan wakil-wakil rakyat yang hadir di majlis tersebut menyatakan rasa amat kecewa mereka dan terguris hati apabila laporan Berita Harian menyatakan bahawa mereka tidak hadir.


Laporan berita harian itu seolah-olah mengambarkan dengan niat menghebahkan kepada rakyat bahawa mereka memulaukan majlis bersama TPM. Apakah niat sebenar laporan sedemikian dibuat?”


Mengenai satu lagi laporan Berita Minggu bertarikh 6 Sept 2009 bertajuk “Ahmad tak pernah ajak Adun ‘penentang’ bermesyuarat, yang juga mendakwa ADUN memboikot Sidang dewan Undangan Negeri dan mengambil sikap mendiamkan diri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri berpunca daripada perlantikan Pengerusi Penyelaras DUN, adalah tidak benar dan mengambarkan ceteknya pengetahuan wartawan Berita Harian itu dalam melaporkan isu ini.


Sebagai bukti, YB Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (ADUN Air Putih) adalah Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih dan beliau diberi kuasa memilih pegawai APMT dan pengerusi JKKK bagi DUN Air Putih.


Beliau dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih oleh Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga selaku Menteri Besar, dan YAB Menteri Besar tidak langsung terbabit dalam perlantikan pegawai APMT dan Pengerusi JKKK DUN air Putih.


YB Alias Abdullah wakil rakyat DUN Alor Limbat dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN oleh YB Yahya Khatib Mohamad selaku Ketua Umno Bahagian Marang dan beliau diberi kuasa penuh untuk mencadangkan nama ahli APMT dan Pengerusi JKKK Alor Limbat.


YB Pahemi Yusof selaku ADUN Kota Putera dilantik Pengerusi penyelaras DUN Kota Putera oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Ketua Umno Bahagian Besut dan beliau mempunyai kuasa penuh untuk mencadangkan nama pegawai APMT dan pengerusi JKKK DUN Kota Putera.


YB Nawi Mohamad, ADUN Hulu Besut, juga telah dilantik sebagai Pengerusi penyelaras DUN Hulu besut dan beliau juga mempunyai kuasa penuh untuk melantik pegawai APMT dan pengerusi JKKK Hulu Besut.


Begitu juga YB Ramli Noh selaku ADUN Tepoh telah dilantik oleh YB Dato’ Nasir Ibrahim Fikri selaku Ketua Bahagian Kuala Nerus sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Tepoh dan setelah perbincangan dibuat antara YB Dato’ Nasir, YB Ramli Noh dan saya selaku menteri Besar, akhirnya persetujuan dicapai untuk melantik pegawai APMT di DUN Tepoh dengan kadar 50-50, iaitu sebahagian dipersetujui oleh ADUN Tepoh dan sebahagian oleh YB Dato’ Nasir selaku Ketua Bahagian Kuala Nerus.


Manakala perlantikan Pengerusi JKKK diberi kuasa penuh oleh Ketua Bahagian kepada YB Ramli Noh.


Dengan ini jelas membuktikan bahawa pendapat, pandangan dan lain-lain yang berkaitan dengan isu perlantikan Pengerusi Penyelaras DUN, perlantikan pegawai APMT dan Pengerusi JKKK tidak timbul sama sekali, terutama yang melibatkan lima ADUN ini, dan ia tidak boleh diterima sekiranya isu ini diandaikan menjadi punca mereka memboikot Persidangan Dewan Undangan Negeri dan begitu juga dengan sikap mereka mendiamkan diri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu kerana kelima-lima mereka adalah Pengerusi Penyelaras DUN dan diberikan kuasa mutlak melantik pegawai APMT dan Pengerusi JKKK.


“Jika mereka sedar bahawa mereka seorang wakil rakyat, mereka wajar hadir mesyuarat walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan.


“Sebagai wakil rakyat yang diamanahkan untuk membela nasib rakyat dan memastikan Barisan Nasional terus kuat di Terengganu, mereka seharusnya memikul tanggungjawab dan mandat yang diberikan dengan berjiwa besar, jujur dan ikhlas.


“Sepatutnya wakil-wakil rakyat Barisan Nasional, terutama dari Umno, bersatu hati dan tidak melemahkan parti.”


“Saya tidak pernah menghalang media di Terengganu atau dimana jua untuk membuat sebarang bentuk laporan mengenai suasana politik dan umum di Terengganu tetapi amat mengharapkan agar wartawan menjiwai etika kewartawanan dengan membuat laporan yang adil, benar dan menyeluruh serta tidak berpihak atau mensensasikan sesuatu isu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan fitnah.”


Dikeluarkan oleh :

Pejabat Menteri Besar Terengganu

9 Sept 2009

KETUA PEMUDA TAK PERLU ADA HAD UMUR


Pada hemat saya, jawatan Ketua Pemuda UMNO tidak perlu dihadkan umur seperti dicadangkan oleh ketuanya, Khairy Jamaluddin. Sejarah menunjukkan pemuda yang diketuai oleh orang yang lebih dari umur 45 tahun memang hebat seperti Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.


Jadi cadangan pemuda supaya hadkan umur pemuda akan melemahkan pemuda lagi. Dalam isu hangat Indonesia-Malaysia ini, ke mana perginya suara pemuda. Kalau pemuda di zaman Datuk Harun dulu, mereka sanggup bangun mengganyang kerajaan Indonesia. tetapi kenapa exco pemuda kini lesu dan tidak bermaya? Ini adalah kerana mereka ada kepentingan bisnes. Mereka takut kontrak mereka dibatal. Jadi mereka berjuang bukan kerana kepentingan orang Melayu tetapi kerana kepentingan perut terlebih dahulu.


Inilah bezanya perjuangan exco pemuda sekarang dengan pemuda dahulu. Sebab itu bila ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor meninggal dunia, saya terkejut apabila UMNO sedia membantu keluarga Allahyarham kerana keluarganya tinggal di rumah sewa dan anak-anaknya masih kecil bersekolah.


Memang di zaman sekarang sukar mahu cari wakil rakyat "miskin" seperti Azman kerana biasanya wakil rakyat yang baru sudah pandai kumpul harta sama ada melalui cara sah atau cara haram.


Sebab itu sekarang rakyat menyampah dengan wakil rakyat UMNO kerana baru sepenggal menjadi YB, YB sudah ada rumah besar tersergam indah dan ada beberapa kereta mewah. Tetapi apa yang berlaku kepada bekas ADUN Bagan Pinang perlu jadi contoh kepada pemimpin UMNO yang lain supaya tidak mengaut harta sewenang-wenangnya bila berkuasa. Oleh itu exco pemuda janganlah asyik mengejar kemewahan semata-mata hingga sanggup menggadai perjuangan parti.


Pemuda UMNO mencadangkan usia kelayakan bertanding bagi jawatan ketuanya dihadkan kepada 45 tahun berbanding tiada had umur ketika ini.


Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa ini sesiapa juga dibenarkan untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam sayap parti itu asalkan mereka melepasi kriteria tertentu selain mendapat pencalonan mencukupi.


''Ini antara pembaharuan yang dicadang untuk dipinda dalam perlembagaan parti. Kami berpandangan pemilihan individu berusia 45 tahun ke bawah selaras dengan aspirasi perjuangan Pemuda,'' katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.


Turut hadir, Setiausahanya, Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dan Ketua Penerangan, Datuk Reezal Merican Naina Merican.


Selain itu, Pemuda UMNO turut mencadangkan agar pemilihan parti dibuat di peringkat mesyuarat perwakilan bahagian dan bukan lagi pada perhimpunan agung selain penghapusan sistem kuota.


''Kita juga meminta perwakilan bahagian ditambah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah sedia ada termasuk melibatkan ketua-ketua sayap cawangan untuk menentukan jawatan tertinggi dalam UMNO.


''Dengan cara itu, lebih 100,000 ahli UMNO berpeluang membuat pilihan dan ia selari dengan hasrat kita untuk terus mengembangkan demokrasi di dalam parti ini,'' katanya.


Mesyuarat itu turut mencadangkan agar syarat kelayakan bertanding untuk sebarang jawatan dalam parti dilonggarkan.


Sebagai contoh katanya, untuk jawatan di peringkat awal seperti Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, kelayakan bertanding hanyalah setahun menjadi ahli.


''Bagi jawatan lebih tinggi seperti Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda pula, mereka hanya perlu menjawat jawatan Exco Pemuda UMNO selama satu penggal atau Ketua Pemuda UMNO bahagian, juga satu penggal sebelum layak bertanding,'' ujarnya.

MB MAHU AKHBAR MINTA MAAF


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada sebuah akhbar tempatan supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah.


Katanya jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 Sept lepas.


"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu hari ini.


Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk "Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu" itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.


Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik


"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.


"Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.


Mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider bahawa beliau menolak tawaran menteri pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu, Ahmad menafikan pernah menerima tawaran itu.


Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.


Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan sama terhadap portal berita itu seperti dilakukan kepada akhbar tempatan terbabit, Ahmad berkata beliau akan melihat berita itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

KDN DICADANG ADAKAN SIDANG MEJA BULAT


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Kementerian Dalam Negeri mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan sebarang bentuk cadangan pindaan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata langkah tersebut akan membolehkan pihak berkenaan menimbang dan mengkaji cadangan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dilaksanakan.


"Jika ini dibuat, ia akan memudahkan Peguam Negara merangka deraf pertama sebelum dibentangkan di peringkat Parlimen untuk diluluskan.


"Sebelum draf pertama dicetak dan dibawa ke Parlimen, ia perlu dibincangkan di luar, untuk ditokok tambah segala cadangan yang dikemukakan oleh pihak yang berminat dan berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di kediamannya di Tumpat malam tadi, lapor Bernama.


Katanya, langkah ini juga dilakukan sebagai membuktikan sikap keterbukaan kerajaan dalam melayani kemahuan pihak berkenaan berhubung isu itu.


Beliau diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Putrajaya Selasa lalu, untuk menyerahkan memorandum cadangan pindaan ISA.


Menurut Ibrahim, sebagai sebuah pertubuhan NGO pertama yang mengemukakan cadangan, Perkasa sudah membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai peguam berpengalaman dalam menyediakan pandangan ke arah penambahbaikan cadangan itu.


Sementara itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, menolak anggapan sesetengah pihak kononnya beliau kemungkinan menyertai parti pembangkang khasnya PKR sebagai platform perjuangan politiknya.


"Saya tidak ikut (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar yang sangat peribadi, walaupun sesetengah pihak menganggapnya sebagai idola atau ikon kepada perjuangan politik negara," katanya.


Ditanya kemungkinan menyertai Umno semula, Ibrahim berkata beliau masih belum membuat keputusan walaupun rakyat dalam kawasannya menyerahkan mandat kepada beliau untuk membuat sebarang keputusan.

APA DAH JADI DENGAN UMNO?


Apa dah jadi dengan UMNO? UMNO kalah kepada DAP dalam pendaftaran pemilih yang baru. Dahulu heboh Puteri UMNO sibuk mendaftar pengundi baru. Apa dah jadi dengan Puteri UMNO? Ketua Puterinya, Datuk Rosnah Shirlin kena arah semula puterinya bergerak cergas dalam mendaftarkan pemilih yang baru.


Bukannya susah sangat. SEtiap cawangan UMNO ada senarai ahli UMNO, pemuda dan puteri. Bila genap usia 21 tahun, terus puteri pergi cari orang berkenaan untuks uruhnya daftar sebagai pemilih di pejabat pos. Kaedah ini diamalkan saya sejak dahulu lagi.


Tiga orang anak saya bila genap usianya 21 tahun, terus saya ajaknya pergi ke pejabat pos untuk daftar sebagai pemilih. Anak ketiga saya, Siti Zatul Itri yang sambut harijadi yang ke 21 pada 4 Disember 2007 sempat mengundi pada pilihanraya umum 8 Mac 2008.


Berapa ramai ibubapa yang ada kesedaran tentang pentingnya menjadi pengundi kepada anak-anak kita seperti saya? Oleh itu kempen ini perlu bermula di rumah dengan ubah sikap ibubapa kita. Tanamkan dalam fikiran mereka bila anak mereka genap usia 21 tahun, ajak anak mereka ke pejabat pos untuk daftar sebagai pengundi. Jika semua ibubapa ada sikap seperti saya, puteri UMNO tak perlu buat kerja lagi.


Sekurang-kurangnya dalam rumah saya sudah ada lima undi yang dapat menentukan jatuh bangun BN. Pada tahun depan, anak lelaki sulung saya pula, Mohd. Zuwairi akan genap usia 21 tahun pada 7 Mei 2010. Maknanya menjelang pilihanraya umum akan datang, sudah ada enam undi dalam rumah saya untuk menentukan sama ada kerajaan BN kekal di Terengganu atau tidak.


DAP adalah parti yang paling aktif dalam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun lalu.


Ia diikuti oleh Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala yang paling lembap adalah MIC dan Gerakan.


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika mendedahkannya berkata, rekod SPR itu adalah berdasarkan komitmen dan kerjasama positif parti-parti politik dalam menarik hampir empat juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.


Katanya, kerjasama SPR dengan parti-parti politik itu adalah menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) yang diberi kuasa oleh badan itu untuk berbuat demikian.


"PPS dari DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.


"Daripada kutipan data pemilih baru sejak PRU-12, kita dapati kesedaran kaum Cina sebagai pengundi pilihan raya adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India," katanya.


Wan Ahmad berkata, SPR menghargai daya usaha PPS dalam menarik minat orang ramai mendaftar menjadi pemilih memandangkan tanggungjawab besar yang dipikulnya berikutan setiap tahun terdapat 400,000 orang mencapai umur 21 tahun.


"Kumpulan PPS inilah yang paling berkesan dalam mencari dan mendaftarkan pemilih baru berbanding kakitangan SPR yang turun padang, diikuti di pendaftaran di pejabat pos dan kaunter.


"Tahun lepas terdapat kira-kira 2,000 PPS di seluruh negara. Mereka begitu rajin sekarang dan bila rajin, tinggilah pendapatan mereka yang diberi RM1 jika berjaya mendaftarkan seorang pemilih baru," katanya.


Sehubungan itu, Wan Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada SPR supaya menambah bilangan PPS sedia ada iaitu dari seorang setiap parti untuk satu Dewan Undangan Negeri kepada tiga hingga lima orang.


"Mungkin kita akan mencadangkan supaya setiap daerah mengundi diperuntukkan seorang PPS bagi setiap parti," katanya.