Rabu, Ogos 20, 2014

JENAYAH TERENGGANU MENURUN SEBANYAK 17.1 PERATUS

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Polis Terengganu berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 17.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata ini berdasarkan penurunan sebanyak 1,440 kes yang dilaporkan dalam tempoh berkenaan pada tahun ini berbanding 1,736 tahun lalu. Katanya kejayaan itu dicapai melalui pelaksanaan aktiviti dan program pencegahan jenayah yang dijalankan secara holistik dan agresif dengan bantuan serta kerjasama pelbagai pihak bagi membanteras kegiatan jenayah di negeri ini. "Terengganu kini berada pada kedudukan ketiga terendah dalam negara...jadi kita harap orang ramai terus memainkan peranan dalam memastikan kadar jenayah dapat terus dikurangkan. "Penurunan indeks jenayah ini telah memberi impak positif iaitu mengurangkan ketakutan masyarakat terhadap jenayah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Jamshah berkata pihaknya juga berjaya menurunkan kadar jenayah kekerasan dengan hanya tiga kes bunuh direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Selain itu, katanya jenayah harta benda yang melibatkan kes seperti curi, pecah rumah waktu malam, ragut dan curi motosikal menunjukkan penurunan sebanyak 1,236 kes berbanding 1,492 pada tahun lalu. Beliau berkata walaupun kes kecurian motosikal menunjukkan penurunan sebanyak 16.7 peratus, namun ia masih tinggi. "Walaupun kesemua daerah telah menunjukkan penurunan kadar jenayah, namun kegiatan mencuri motosikal masih tinggi dan itu merupakan penyumbang utama kes jenayah di negeri ini," katanya. Jelasnya Kontinjen Terengganu juga berjaya menyelesaikan 751 kes dalam tempoh berkenaan berbanding 1,440 kes dalam tempoh sama tahun lalu. -- BERNAMA NFI AZM RAM