Rabu, Julai 17, 2019

DANA POLITIK TETAPI TIDAK BERI CEK KEPADA UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong hari ini mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang telah meminta sumbangan daripada beliau, adalah untuk dana politik.

Chai, 60, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ada menyatakan bahawa UMNO memerlukan dana politik kira-kira RM5 juta-RM6 juta untuk pilihan raya kecil.

"Beliau (Tengku Adnan) hanya bertanya kepada saya berapa yang saya boleh bagi. Saya pula tidak menjanjikan berapa jumlah yang akan diberikan tetapi akan menyerahkan cek sumbangan itu kepada beliau apabila saya sudah mempunyai wang," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Penyataan saksi pendakwaan ke-19 itu diterjemah oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Kantonis pada hari ketujuh perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO.

Menurut Chai, Tengku Adnan telah memberikan nama syarikat yang akan digunakan untuk memberi sumbangan itu, Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

"Pada ketika itu, saya tidak tahu siapa pemilik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd dan saya juga tidak tanya beliau kenapa wang sumbangan itu perlu dibuat kepada Tadmansori Holdings dan bukan akaun UMNO.

"Saya atau syarikat-syarikat saya tidak pernah berurusan dalam perniagaan dengan Tadmansori Holdings," tambahnya.

Saksi itu, yang terlibat dalam bidang perniagaan antaranya pembalakan, pembinaan dan perhotelan berkata, beliau kemudian memutuskan untuk memberi sumbangan RM2 juta kerana hanya mampu memberi wang sebanyak itu sahaja.

Sehubungan itu, Chai mengarahkan akauntannya menyediakan cek Hong Leong Bank milik Aset Kayamas berjumlah RM2 juta untuk dibayar kepada Tadmansori Holdings.

"Selepas cek disediakan oleh akauntan, saya turunkan tandatangan saya dan serahkan cek itu kepada Tengku Adnan. Seingat saya, saya serahkan cek ini kepada Tengku Adnan sendiri semasa berjumpa beliau di pejabatnya di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Saya sering ke pejabat Tengku Adnan di DBKL sejak mula membuat projek RUMAWIP (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) bagi membincangkan hal dan masalah berkaitan projek itu," katanya.

Terdahulu, Chai berkata beliau mula mengenali Tengku Adnan semasa menjalankan perniagaan pembalakan di Jerantut, Pahang sekitar 1980-an berikutan komuniti pembalak pada ketika itu kecil sahaja.

Sejak itu, katanya, beliau berkawan dengan Tengku Adnan dan masih mengekalkan hubungan dengannya sehingga kini.

"Pada sekitar September 2013, ketika Tengku Adnan memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan telah bertanya sama ada saya boleh membuat perumahan mampu milik untuk Wilayah Persekutuan.

"Tengku Adnan merancang untuk membuat rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 dan meminta saya untuk mencari tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik. Saya telah bersetuju dengan cadangan Tengku Adnan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA