Khamis, Oktober 16, 2008

SIAPA PILIHAN PEMUDA KEMAMAN ESOK?


Malam ini malam terakhir dua orang calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berkempen. Mereka ialah penolong setiausaha pemuda, Hisham Zubir dengan bekas naib ketua pemuda bahagian, Kamaruddin Ali.

Di atas kertas, Hisham yang dapat banyak pencalonan telah menang kerana dia mengatasi Kamaruddin tetapi pada hari esok, belum tentu Hisham yang menang kerana para perwakilan akan melihat siapa yang hulur lebih pada malam terakhir ini.

Malam tadi, kawan saya, Haji Khalid Karim sms dari Kedai Kopi Hai Peng bahawa ramainya para perwakilan pemuda di situ. Katanya, calon ketua pemuda, Kamaruddin ada di situ. Dia baru pulang dari Kuala Lumpur menemui seorang calon ketua pemuda umno malaysia. Pulang bukan dengan tangan kosong. Jadi malam ini siapa yang hulur lebih, dialah yang akan menang pada hari esok.

Kamaruddin seperti juga Hisham adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 2000, Kamaruddin adalah naib ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau tidak dapat bertanding naib ketua pemuda apabila dia tidak cukup kuota pencalonan. Ini menyebabkan penolong setiausaha pemuda, Rosli Ahmad menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pemuda.

Pada tahun ini, Rosli tidak bertanding ketua pemuda walaupun usianya belum mencapai 40 tahun. Khabarnya beliau dijanjikan oleh ketua bahagian, Datuk Ahmad Said dengan jawatan setiausaha bahagian. Sebab itu Rosli pasang Hisham untuk melawan Kamaruddin walaupun Kamaruddin jaja nama Menteri Besar kononnya dia direstui oleh Menteri Besar. Tambahan pula Kamaruddin adalah wakil calon Menteri Besar pada pilihan raya umum pada Mac lalu.

Kelebihan Hisham, dia adalah anak Kemaman manakala Kamaruddin dilahirkan di Jerung, Marang. Tetapi kemenangan Hisham dibimbangi ADUN Chukai sekarang, Datuk Mohamed Awang Tera. Sebagai ketua pemuda, sudah tentu Hisham mahu tanding pada pilihan raya umum 2012 walaupun tidak semestinya ketua pemuda yang jadi calon. Bukan semua ketua pemuda bahagian jadi calon. Nazri Salleh menang ketua pemuda bahagian tetapi tidak pernah jadi calon. Jadi kemenangan Hisham sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan Datuk Mohamed Awang Tera.

Hisham disokong penuh oleh Ketua Pemuda yang sudah cukup umur, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar. Datuk Ahmad Said hanya membisu apabila ditanya siapa yang disokong di antara Hisham dengan Kamaruddin. Sebagai ketua bahagian, beliau mengambil sikap yang bijak tidak berpihak kepada sesiapa. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat penentuan.

Siapa yang menang ketua pemuda esok akan mempengaruhi keputusan pertandingan naib ketua bahagian pada hari Sabtu ini di antara Wan Ahmad Nizam dengan Rahim Hussein. Wan Ahmad Nizam menyokong Hisham manakala naib ketua bahagian sekarang, Rahim menyokong Kamaruddin. Oleh itu pertandingan di antara Kamaruddin dengan Hisham adalah pertandingan proksi Rahim dengan proksi Wan Ahmad Nizam.

LUCUNYA KHAIRY


Lucu juga bila Khairy Jamaluddin berkata bahawa dia adalah calon underdog. Seorang Naib Ketua Pemuda berhempas pulas mencukupkan kuotanya sedangkan Exco Pemudanya, Datuk Mukhriz Mahathir sudah mendapat 40 pencalonan melebihi kuota (38 pencalonan) pada minggu pertama persidangan perwakilan pemuda.

Memang masih ada tiga minggu lagi, jadi peluang untuk Khairy mendapat kuota tidak jadi masalah. Yang menjadi persoalan kenapa Mukhriz lebih popular dari Khairy? Adakah kerana Pak Lah sudah tidak bertanding lagi? Bila Pak Lah umum tidak bertanding, tiada siapa lagi yang segan kepada menantunya, Khairy.

Inilah seksanya Khairy bila Pak Lah tak ada lagi. Kesilapan Khairy kerana menonjol di zaman Pak Lah. Sepatutnya beliau tanding Exco Pemuda sahaja pada tahun 2004 dahulu. Ketika itu Pak Lah yang memimpin BN baru menang besar dalam pilihan raya umum 2004. Jadi bila Khairy bertanding Naib Ketua Pemuda, tiada siapa yang berani menentangnya. Semua tarik diri menyebabkan Khairy menang tanpa bertanding.

Itu cerita tahun 2004. Tahun 2008, Pak Lah belum berhenti lagi dari jawatan Perdana Menteri, para penyokong Khairy sudah lari ke kem Mukhriz. Yang sedihnya, di negeri kelahirannya, Khairy gagal mendapat pencalonan dari tiga bahagian yang sudah bersidang. Pada minggu pertama, Mukhriz mampu mengawal lima bahagian di negeri kelahirannya, Kedah.

Pada hari pertama, Khairy lega kerana mendapat pencalonan dari Machang, kubu kuat Mukhriz. Ketua Pemuda negeri berjaya dengan misinya memalukan Mukhriz sedangkan Ketua Pemuda Machang yang habis umur, Datuk Sazmi Miah orang kuat Mukhriz.

Sehingga ini Mukhriz mendapat lima pencalonan dari Kedah, satu pencalonan dari Terengganu, enam dari Sabah, empat dari Pahang, satu dari Melaka, empat dari Pulau Pinang, empat dari Perak, lapan dari Johor, tiga dari Negeri Sembilan,, satu dari Wilayah Persekutuan yang mana jumlahnya ialah 40 pencalonan.

Manakala Khairy mendapat tiga dari Sabah, dua dari Pahang, satu dari Pulau Pinang, empat dari Perak, tiga dari Johor, satu dari Selangor, satu dari Wilayah Persekutuan dan empat dari Kelantan. Jumlahnya ialah 19 pencalonan dan Khairy memerlukan 19 lagi pencalonan untuk cukup kuota.

Datuk Seri Dr. Khir Toyo mendapat 12 pencalonan ( satu dari Sabah, satu dari Melaka, satu dari Pulau Pinang, dua dari Perak, satu dari Johor, empat dari Selangor, satu dari Wilayah Persekutuan dan satu dari Kelantan) dan Datuk Zahidi Zainol Abidin mendapat satu pencalonan dari Perlis.

MISI MAHATHIR JATUHKAN PAK LAH SUDAH BERJAYA


Bukan salah Tun Dr Mahathir Mohamad kalau di saat ini beliau menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden UMNO. Musuh utama beliau ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Misinya untuk menjatuhkan Pak Lah sudah berjaya.

Jadi bila Pak Lah tak bertanding, perlu apa lagi beliau sokong Tengku Razaleigh Hamzah. Ada blogger yang meramalkan Dr Mahathir tidak ikhlas menyokong Ku Li bila mereka bertemu pada bulan Ramadhan lalu. Turut hadir dalam majlis buka puasa itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memanglah di saat itu Dr Mahathir masih menyangka Pak Lah akan mempertahankan jawatan. Jika Pak Lah bersetuju untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO, sudah tentu Dr Mahathir menyokong Ku Li kerana beliau kata Najib penakut. Menurut Dr Mahathir, Najib takut menentang Pak Lah.

Saya sudah beritahu Ku Li dalam sidang akhbar di rumahnya bahawa jika Pak Lah berundur dan Najib bertanding, Ku Li sukar mendapat pencalonan. Nampaknya ramalan saya itu sudah jadi kenyataan.

Jadi bukan salah Dr. Mahathir, kalau dia sokong Najib di saat ini walaupun dari segi peribadi Najib, UMNO mudah diserang. Dah lama Dr Mahathir mahukan Najib. Pada tahun 1999, dia hampir melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya tetapi ketika itu Dr Mahathir merasakan Najib masih muda. Jadi beliau pilih Pak Lah kerana beliau dapati Pak Lah seorang yang bersih.

Sebaliknya bila Pak Lah naik jadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir sebanyak dua kali mencadangkan supaya Pak Lah melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu Pak Lah membisu dan ada orang meramalkan bahawa Pak Lah lebih suka Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya Pak Lah tunduk kepada permintaan Dr Mahathir supaya melantik Najib sebagai orang nombor dua.

Dr Mahathir memang sudah lama tidak berkenan kepada Ku Li. Sejak 21 tahun dulu lagi. Ku Li hampir-hampir menewaskan Dr Mahathir dalam pertandingan Presiden UMNO pada 24 April 1987.

Bila UMNO baru ditubuhkan pada tahun 1988, Dr Mahathir menyekat Ku Li dan Tun Musa Hitam dari menyertai UMNO baru. Ku Li memilih parti baru, Semangat 46 dan Musa kekal dalam UMNO. Setelah kalah dua kali pilihan raya (1990 dan 1995), Ku Li membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula UMNO.

Dr Mahathir melantiknya sebagai ahli majlis tertinggi UMNO. Apabila Anwar dipecat dari UMNO, walaupun Ku Li bukan Naib Presiden UMNO, Ku Li disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sedangkan tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu ialah Pak Lah, Najib dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Jika Dr Mahathir ikhlas, Dr Mahathir boleh melantik Ku Li sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak semestinya Naib Presiden UMNO yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau tidak silap saya, Tun Razak melantik Tun Dr Ismail yang sudah bersara dari politik sebagai timbalannya sedangkan beliau bukan Naib Presiden UMNO. Masa itu Tun Ghafar Baba dan Tun Sardon Jubir adalah Naib Presiden UMNO. Tetapi Tun Razak gunakan kuasa prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik Tun Dr Ismail sebagai timbalannya.

Oleh itu pada tahun 1999, Dr Mahathir boleh mengenepikan Pak Lah, Najib dan Muhammad dengan melantik Ku Li sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi beliau tidak berkenan kepada Ku Li.

Jika beliau berkenan kepada Ku Li, beliau sudah sokong Ku Li tanding Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981. Sedangkan ketika itu Tun Hussein Onn sudah memanggil Dr. Mahathir dan Ku Li supaya mereka bekerjasama. Sebaliknya Dr Mahathir menyokong Musa untuk pertandingan Timbalan Presiden UMNO itu.

Oleh itu tindakan Dr Mahathir menyokong Najib tidak perlu dipersoal. Kerana dari tahun 1981 lagi, Dr Mahathir tidak berkenan kepada Ku Li. Biarlah Ku Li membina kekuatan sendiri untuk mendapatkan pencalonan Presiden UMNO tanpa sokongan Dr. Mahathir. Yang menjadi masalah sekarang, ramai Ketua UMNO Bahagian yang menyokong Ku Li sudah bersara dari politik. Apatah lagi Ku Li bukan menteri yang dapat beri habuan kepada para perwakilan. Jadi sudah tentu mereka menyokong Najib daripada menyokong Ku Li untuk jawatan Presiden UMNO.