Isnin, Mei 09, 2016

KEMENANGAN BESAR SARAWAK DORONG PRU 14 TAHUN HADAPAN?

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem atas kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak semalam dan menganggap kekalahan DAP disebabkan populariti Adenan.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan DAP mengekalkan lima kerusi daripada 12 kerusi sebelumnya ialah disebabkan populariti Tan Sri Adenan atas sifat peribadi.

Beliau berkata Adenan dapat mewujudkan penampilan semula dalam dirinya dan mencorakkan hala tuju atau model politik yang baharu untuk mengembalikan populariti dan sokongan kepada BN sejak pilihan raya umum 2008.

"Populariti peribadi Adnan mengatasi apa-apa ketidaktengangan berhubung dengan larangan ke atas para pemimpin pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki Sarawak," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari Ahad.

Beliau berharap Adenan dapat memenuhi janjinya untuk Sarawak menikmati kemakmuran dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum dan agama, mengembalikan hak ekonomi dan penurunan kuasa politik yang menghormati hak, maruah dan martabat rakyat Sarawak.

Lim berkata parti itu akan menjalankan "post-mortem" dan menunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen mengenai kekalahannya termasuk kegagalan meraih kejayaan apabila bertanding di kawasan suku kaum Dayak di luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata ada petunjuk-petunjuk positif di beberapa kawasan kaum Dayak apabila calon DAP meraih sebahagian undi.

"Oleh kerana politik ialah perjuangan jangka panjang, pemimpin kita harus meneruskan usaha di kawasan-kawasan tersebut di bawah program Impian Sarawak serta memenangi semula kerusi yang hilang.

"DAP akan terus bekerjasama dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah. Kami perlu menebus kekecewaaan di kalangan penyokong kami, bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai Pakatan Harapan," kata beliau.

Beliau berkata jentera dalaman Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan supaya persetujuan yang dicapai harus dihormati dan dikekalkan.

DAP hanya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandingnya pada pilihan raya negeri Sarawak semalam sementara BN memenangi 72 kerusi dan PKR mengekalkan ketiga-tiga kerusinya.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Sarawak ke-11 adalah jauh di luar jangkaannya.

Beliau memberitahu persidangan media  bahawa ini kerana sebelum hari pengundian, beliau menjangkakan BN akan menang 65 atau 66 kerusi, tetapi menyaksikan BN kembali berkuasa dengan kemenangan yang begitu meyakinkan 72 kerusi daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ulasan saya, kemenangan cemerlang BN di Sarawak akan mendorong  PRU ke 14 akan diadakan pada tahun hadapan. Seperti kata PM, Najib Razak kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menerima GST. Malah isu derma 2.6 billion dan 1MDB langsung tidak berkesan di Sarawak.

PRU ke 14 dijangka diadakan pada tahun 2018 tetapi dengan kemenangan besar ini maka PRU kemungkinan akan diadakan pada tahun hadapan. Najib Razak tidak perlu menunggu 2018 untuk mendapatkan mandat baharu dari rakyat Malaysia kerana Sarawak dan Sabah
masih lagi penentu kejayaan BN di Semenanjung.