Rabu, Oktober 29, 2008

OPERASI GIANT KEMASIK TERGANGGU


Operasi pasar raya besar Giant di Kemasik terganggu lebih sebulan selepas gagal mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), didakwa akibat campur tangan menteri besar Terengganu.


Sumber-sumber pasar raya itu dan MPK memberitahu hari ini, ia bercadang membuka premis barunya di Mesra Mall di Jalan Kemaman-Dungun sejak 24 September tetapi gagal mendapat lesen.


"Kerana tidak dapat (September), kita cadang mahu buka pada 10 Oktober, serentak dengan pembukaan Mesra Mall, tetapi tidak dapat juga," kata sumber.

Rangkaian pasar raya milik GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, yang berusia 60 tahun, difahamkan selewat-lewatnya dibuka pada 15 Oktober tetapi hingga sekarang tidak jelas kenapa belum menjalankan perniagaan.


Sumber di pihak berkuasa tempatan itu berkata, masalah lesen Giant itu "berkaitan dengan Datuk Ahmad Said", yang juga wakil rakyat Kijal.


Menurut sumber pasar raya terkenal itu, ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjalankan operasinya termasuk mendapat pengiktirafan keselamatan daripada jabatan bomba dan mengikuti garis panduan pengubahsuaian bangunan MPK.


Pasar raya itu sekarang, tambah sumber Giant, ia hanya menunggu lesen untuk memulakan operasinya.Ditanya jika MPK terus enggan memberikan lesen tersebut, sumber itu berkata "tunggu sahajalah."


Mesra Mall, yang dibangunkan oleh KLCC (Holdings) Sdn Bhd di atas tanah seluas 12 hektar dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh exco pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi Datuk Mohamed Awang Tera pada 10 Oktober lepas.


Difahamkan Giant merupakan penyewa utama kompleks membeli-belah yang diberikan jolokan "mutiara timur anda."Menurut pelan lantai Mesra Mall, Giant ditempatkan di penghujung kanan dan kiri bahagian depan kompleks itu.

TAK PAYAH UNGKIT SOAL IBADAH


Kerja menteri adalah menolong orang. Kalau orang jumpanya mahu sesuatu biasanya orang itu akan bawa surat. Menteri itu akan minit surat itu kepada pegawai berkenaan untuk tindakan selanjutnya.Betapa besarnya minit menteri kepada orang yang datang berjumpanya.

Tentu kita masih ingat apa kata Tun Ghafar Baba dalam kempen Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993? Katanya, bukan susah jadi menteri. Surat atas meja kita minit sama ada sokong atau tidak sesuatu permohonan.

Ada menteri yang minit dengan pen dakwat merah untuk tanda berjaya. Kalau menteri minit dengan pen dakwat hitam maknanya tidak ada harapanlah tu. Itulah pelbagai feel menteri yang minit surat kepada rakyat.

Dalam soal ibadah, kalau boleh kita tak payah ungkitlah kita tolong orang. Biarlah Allah membalas jasa baik kita. Ini yang hairannya bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkitkan jasanya meluluskan permohonan khas Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin bersama 22 orang anggota rombongan ke Mekah.

Dr. Zahid harus ingat bila dia tolong MB Perak, dia sudah dapat pahala. Tapi bila dia ungkit begini, pahalanya entah ke mana. Beliau hanya mahu menunjukkan sikap terbuka tidak mementingkan parti politik dalam permohonan menunaikan haji kerana masih terdapat 348,000 orang dalam senarai menunggu Tabung Haji tetapi benda-benda begini tak perlu dihebohkan.

Menteri yang jaga Tabung Haji memang ada kuasa untuk cepatkan permohonan orang yang ada dalam senarai menunggu kerana menurutnya orang yang mendaftar tahun ini boleh pergi ke tanah suci pada tahun 2019.

Saya masih ingat sewaktu Dr. Hamid Othman jadi menteri, saya pernah minta tolongnya melalui seorang kawan, Haji Wan Razak Wan Ibrahim yang sama-sama belajar dengan beliau di Kolej Islam Kelang. Ayah kawan saya, Halim Mohamad terus dapat pergi ke Mekah pada tahun tersebut.

Malah Dr. Hamid juga menolong dua orang yang buat praktikal di pejabat saya untuk dapatkan jawatan sebagai pegawai tadbir di JAKIM. Pertolongan itu juga melalui Ustaz Wan Razak. Alhamdulillah, kedua-dua mereka kini masih berkhidmat dengan JAKIM sampai sekarang.

WALAUPUN KALAH BERDEBAT, TAPI SHABERY SOKONG


Walaupun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kalah berdebat dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini, tetapi beliau menyokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO sebagaimana dicadangkan oleh beberapa pemimpin parti itu kebelakangan ini.


Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.


“Debat mungkin tidak memberikan gambaran secara menyeluruh tetapi orang ramai pasti ingin tahu perancangan dan program yang ditawarkan oleh calon-calon dalam berdepan dengan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar tani anjuran Majlis Daerah Kapit, Sarawak semalam.


Ahmad Shabery berkata, debat membolehkan pengundi melihat kredibiliti dan kebolehan seseorang calon dalam menangani sesuatu perkara.


Beliau berkata, ia juga membolehkan pengundi melihat idea dan kredibiliti seseorang calon meskipun kepetahan mereka tidak menggambarkan segala-galanya.


“Dengan berdebat, setiap pengundi tahu untuk menilai kekuatan dan kebolehan seseorang calon. Ia merupakan cara bagi mengelakkan berlakunya politik wang yang mungkin wujud semasa pemilihan parti nanti,’’ katanya.


Tentu kita masih ingat bagaimana majoriti rakyat Malaysia melihat Shabery kalah di tangan ketua pembangkang. Beliau bukan sahaja tidak menjawab soalan dalam debat itu malah menyerang peribadi Anwar Ibrahim. Majoriti rakyat kecewa melihat prestasi debatnya. Malah dalam blognya sendiri, http://www.notashabery.com/ ramai pengunjung mengutuknya di atas kegagalan berdebat sampai berbuih mulutnya.


Dari segi pidato memanglah Shabery hebat tetapi tanya sajalah orang Kemaman betapa susahnya mahu jumpa ahli parlimen mereka yang jarang balik kawasan. Mereka masih ingat betapa mudahnya bertemu dengan Datuk Ismail Said sewaktu beliau menjadi ahli parlimen Kemaman selama empat penggal dahulu (1978-1995).


Walaupun Ismail orang luar tetapi beliau mesra dengan orang kampung. Sampai sekarang bila dia balik Kemaman dia menerima layanan dari orang Kemaman.

ANWAR PERLU NASIHATI MPS


Di India gambar-gambar gergasi bintang filem Hindi di Mumbai atau bintang filem Tamil di Chennai adalah perkara biasa. Tetapi apabila gambar gergasi penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipasang di satu simpang dekat Wisma Keringat, Batu Caves, Selangor, ia menimbulkan kontroversi.

Anwar bukannya mahu dipuja begitu tetapi para penyokong PKR dari keturunan India yang mahu menaikkan gambar gergasi itu.

Permitnya dijangka tamat pada 4 November ini dan ia akan diruntuhkan awal bulan depan jika permohonan mereka melanjutkan tempoh penegakannya tidak diluluskan.
"Permit tamat 4 November ini. Kita ingat mahu minta sambung (kelulusan). Tetapi kalau tidak dapat, tidak mengapalah, saya turunkanlah," kata pengelola projek itu R Viriya.

Tambahnya, beliau berharap dapat mengekalkan imej setinggi 12.2 meter tersebut di satu simpang dekat Wisma Keringat untuk tempoh kira-kira dua bulan lagi sehingga sambutan hari natal dan tahun baru.

Ekoran itu, kata Viriya, beliau bercadang menemui wakil rakyat Batu Caves, Amiruddin Shari bagi mendapatkan pandangan beliau.Bagaimanapun, tambahnya, permohonan baru untuk melanjutkan tempoh belum dibuat kepada pihak berkenaan Majlis Perbandaran Selayang.
"Mungkin dalam dua hari lagi (akan memohon)," kata Viriya yang juga timbalan pengerusi persatuan penduduk Kampung Indian Settlement dekat situ.Penegakan imej itu genap sebulan lalu mula mencetuskan kontroversi apabila Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin awal bulan lalu dilaporkan mendakwa imej itu "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."
Perkara itu bagaimanapun dinafikan Amiruddin, yang juga naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang menjelaskan “tidak pernah wujud aktiviti keberhalaan di tempat itu”. Viriya sebelum ini berkata, penduduk setempat bersedia untuk merobohkannya jika kontroversi berlarutan berhubung penegakan replika gergasi itu.
Katanya, patung berharga RM5,000 itu yang dibina sempena sambutan hari raya awal bulan ini dan Deepavali semalam.Pemuda PAS Selangor bagaimanapun menafikan imej gergasi itu termasuk dalam kategori patung yang diharamkan dalam ajaran Islam.Patung ini dibina atas menggunakan duit sumbangan masyarakat setempat.

Beranikah MPS yang dikuasai oleh kerajaan negeri tidak meluluskan penyambungan permit itu sehingga Hari Krismas? Oleh itu Anwar perlulah menasihati MPS supaya tidak menyambung permitnya. Walaupun tidak ada unsur keberhalaan, tidak ada faedahnya membazirkan wang sebanyak RM5,000 semata-mata untuk memuja pemimpin.

SEBULAN SUDAH BERLALU


Hari ini genap satu bulan usia blog saya. Saya rasa terkejut juga dalam masa satu bulan sudah 5000 orang yang telah melayari blog saya. Saya ucapkan terima kasih kepada blogger-blogger lama yang sudi link dengan blok saya seperti Pak Habib, MSO, anotherbrickinthewall, Nobisha dan Jarang Anak Melayu.

Saya percaya bila link dengan blog-blog popular ini yang menyebabkan makin ramai orang yang melayari blog saya. Terima kasih kepada mereka semua. Sepanjang sebulan ini pelbagai ulasan yang saya terima yang menuduh pelbagai tuduhan kononnya saya penulis upahan dan sebagainya.

Saya tak perlu jawab. Kalau saya jawab, mereka akan kata saya gunakan blog ini untuk kepentingan peribadi saya. Biarlah mereka mengulas dan membuat tuduhan kerana akhirnya kebenaran akan timbul. Ada pengulas marah kerana saya sering membangkitkan soal wang padahal bukan saya yang membangkitkan soal wang. Sebaliknya saya respon kepada pengulas yang banyak menulis kononnya saya penulis upahan. Boleh semak dengan mana-mana tokoh yang saya tonjolkan banyak mana saya dapat upahnya.

Saya tidak bercadang menulis panjang dalam soal ini. Masa akan menentukan siapa yang benar. Biarlah saya dituduh sebagai penulis upahan asalkan saya tidak pernah minta wang dari sesiapa yang ditonjolkan dalam blog ini.