Isnin, Februari 12, 2018

JADIKAN TANAH BENCAH SETIU TARIKAN PELANCONG

SETIU, 12 Feb (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.

Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

"Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

"Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.

"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.

BN PERLIS AKAN KEKALKAN KEMENANGAN

ARAU, 10 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perlis akan mempertahan dan mengekalkan kemenangannya di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang kerana tiada parti lain yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata tidak seperti pakatan pembangkang dalam membina kerajaan, BN mengutamakan kasih sayang yang merupakan asas penting dalam membina sebuah kepimpinan yang baik.

"Mereka (pembangkang) hanya tahu gerakkan orang ramai bencikan kerajaan, mana mungkin boleh bina kerajaan berasaskan perbalahan dan caci maki? Kita mahukan kerajaan yang ada kasih sayang dan sentiasa tolong rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bengkong Tingkatan Pelajaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) peringkat negeri di sini, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga berkata, semua calon BN di Perlis bersedia menghadapi siapa sahaja saingan mereka dan yakin dapat mempertahankan kerusi masing-masing.

Di KANGAR, Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata BN Perlis yakin mendapat sokongan penuh pengundi masyarakat Siam pada pilihan raya umum itu, sekaligus memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.

Masyarakat Siam di negeri itu terus menunjukkan tahap kesetiaan kepada BN kerana kebajikan mereka sentiasa dibela kerajaan.

"Mereka dapat banyak faedah daripada kerajaan, banyak tuntutan dan isu dapat diselesaikan, misalnya isu hak milik tanah yang berpuluh tahun, dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk masyarakat Siam.

Katanya, kerajaan sentiasa memikirkan dan akan berusaha untuk memastikan kebajikan semua pihak terbela tanpa membezakan agama, bangsa mahu pun budaya.

Dalam perkembangan lain, Azlan menyifatkan tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai tidak matang apabila mempertikai tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA

DAH KALAH CUKUPLAH BERTANDING SHAFIE

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata beliau bersedia bertanding semula di kerusi Parlimen Wangsa Maju pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


Beliau berkata walaupun tewas pada PRU13 namun beliau tidak pernah berhenti berkhidmat dengan rakyat di kawasan itu.

"Jadi, saya sudah cukup sedia untuk itu. Dari segi gerak kerja pula, kita sudah lama mulakan...dan respons rakyat sekarang kepada Barisan Nasional berbanding lima tahun dulu adalah lebih baik," katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Taman Flat Sri Kedah, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Pada PRU13, Mohd Shafei kecundang kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh majoriti 5,511 undi.

Jualan Sentuhan Rakyat menyaksikan barang makanan dan keperluan asas lain dijual pada harga lebih rendah berbanding biasa sekali gus membolehkan orang ramai melakukan penjimatan.

Ia digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan.

Ulasan saya, cukuplah Shafie bertanding kerana beliau sudah kalah pada PRU13. Kerusi itu adalah kuota MCA yang bertanding pada PRU 2008. Pada PRU 2013 Umno rampas kuota MCA kerusi Wangsa Maju tetapi MCA tak beri kerjasama kepada Shafie maka kecundanglah Shafie.


Kalau MCA masih boikot Shafie macam mana beliau mahu menang. Maka cukuplah beliau bertanding dan beri peluang kepada MCA untuk menawan semula kerusi Wangsa Maju daripada tangan PKR.