Isnin, Julai 18, 2016

MENCARI PENGGANTI AHMAD SAID DI DUN KIJAL

Dua hari lepas heboh senarai barisan kepimpinan parti baharu Dr Mahathir diumumkan dalam Facebook yang bakal diketuia oleh Muhyiddin Yassin. Namun demikian beberapa nama seperti Ghani Patail sudah menafikannya.

Zeti Akhtar Aziz dan Wahid Omar yang tidak minati politik belum menafikannya lagi tetapi bekas MB Terengganu, Ahmad Said telah mengesahkan kepada kawan saya bahawa beliau akan menyertai parti baharu itu.

Jika Ahmad Said keluar dari Umno, kedudukan ADUN PAS dan BN seri 16-16 dan dengan ditambah kerusi Speaker maka BN masih menguasai Terengganu. Kecuali ada ADUN lain menyertai Ahmad Said, barulah kerajaan BN tumbang dan kemungkinan kerajaan BN dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihanraya negeri (PRN)  Terengganu.

Jika berlaku PRN siapakah yang layak bertanding mewakili BN untuk mempertahankan DUN Kijal? Ini yang akan dibincangkan dalam posting ini. Pegawai khas MB, Haji Mustapa Abdul Rahman yang diamanahkan menjaga DUN Kijal dikatakan akan dipilih sebagai calon BN untuk menentang calon PAS dan calon parti baharu, Ahmad Said.

Tidak mungkin Haji Pa dipilih kerana DUN Kijal bukan kampungnya. Sebaliknya jika beliau mahu aktif dalam politik, sudah tentu beliau bertanding di DUN Kemasik menggantikan Ir Rosli yang merupakan orang Ahmad Said.

Keberanian Haji Pa merombak pengerusi JKKK adalah langkah berani wakil MB itu untuk mengembalikan jawatan itu kepada ketua cawangan yang disingkirkan oleh Ahmad Said sebelum ini.

Ada pula yang berpendapat bahawa calon terbaik untuk menentang Ahmad Said ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek. Mereka pernah bertembung dalam PRK Kijal pada tahun 1990 di mana Shabery mewakili Semangat 46 menentang Ahmad Said. Jika parti arahkan Shabery bertanding, Shabery tidak mungkin menerima arahan ini kerana beliau terhutang budi kepada Ahmad Said yang menaikkannya dari nobody kepada timbalan ketua bahagian Umno Kemaman pada pemilihan tahun 2000.

Shabery kalah bertanding ketua pemuda pada tahun 1998 tetapi Ahmad Said mempelawa Shabery beregu dengannya pada tahun 2000 untuk menentang team pemangku ketua bahagian, Abu Bakar Ali di mana team Ahmad Said sapu bersih kecuali satu kerusi ahli jawatankuasa daripada 20 kerusi yang dimenangi Tuan Kecil Tuan Tengah yang kini sudah jadi orang Ahmad Said.

Shabery mengikut jejak langkah Husni Hanazlah yang meletakkan semua jawatan apabila beliau tidak dikekalkan di MOF dalam rombakan kabinet akan datang. Bukan mudah untuk Shabery mengalahkan Ahmad Said yang sudah 21 tahun menjadi ADUN Kijal yang mana majoriti dari 26 ketua cawangan adalah orang beliau.

Jika Shabery tidak sanggup menentang Ahmad Said, siapa yang layak? Adakah Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Anuar Awang? Beliau dikatakan kurang berminat dengan politik kerana mahu kekal dalam TCS, Beliau yang juga menantu bekas ADUN Kijal, Mohamad Mat Amin dahulu disebut sebut sebagai calon tetapi sejak beliau balik ke Kemaman beliau kurang bergaul dengan akar umbi. Ia tidak menghairankan kerana beliau tidak minat menyertai politik walaupun beliau calon terbaik untuk menentang Ahmad Said.

Maka dua nama lain wajar dipertimbangkan sebagai calon iaitu dua orang ahli jawatankuasa bahagian iaitu Kamaruddin Ali dan Haji Yahya Mohamad. Kamaruddin Ali kalah bertanding ketua pemuda bahagian pada tahun 2008 tetapi menang ahli jawatankuasa bahagian dan Haji Yahya bekas ketua penerangan bahagian 1995-1998 adalah bekas wakil calon parlimen 1999, Wan Zaki Wan Muda.

Meletakkan Kamaruddin atau Haji Yahya jika semua ahli Umno bersatu, calon BN boleh menang apatah lagi jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon BN lawan calon PAS dan Ahmad Said. Malah majoriti BN dijangka bertambah kerana rakyat marah Ahmad Said selaku ADUN Kijal tidak hadiri mesyuarat pembangunan daerah yang menyebabkan permohonan tanah rakyat Kijal dan permohonan kebajikan masyarakat rakyat Kijal sudah dua tahun tergantung.

Nama nama lain yang turut disebut sebagai calon BN Kijal ialah bekas ahli jawatankuasa pemuda bahagian, Che Wan Zamri Che Wan Sulaiman dan bekas ahli parlimen Kemaman 1995-1999, Dr Ramli Taib. Tetapi sejak kalah di DUN Air Putih pada 1999, beliau tidak peduli langsung dengan politik yang menyebabkan beliau sudah 17 tahun tidak berada dalam jawatankuasa bahagian. Jika beliau konsisten berada dalam jawatankuasa bahagian dalam pemilihan 2000, 2004, 2009 dan 2013 sudah tentu beliau adalah pilihan utama untuk menentang Ahmad Said.