Selasa, Jun 28, 2016

RAMALAN BLOG INI MENGENAI NOH OMAR PADA 19 JUN JADI KENYATAAN

Selepas BN menang besar dalam PRK Sungai  Besar pada 18 Jun lalu, saya meramalkan Pengarah PRK Sungai Besar, Tan Sri Noh Omar akan dilantik sebagai menteri penuh dalam posting saya http://catatanzabidi.blogspot.my/2016/06/bn-mampu-rampas-selangor-pada-2018.html bertarikh 19 Jun lalu.

Kemenangan cemerlang BN itu membuktikan bahawa beliau bekerja kuat untuk merampas kembali negeri Selangor pada PRU akan datang. Selepas BN Selangor  kalah buat kali kedua dalam PRU13, Noh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor telah dihukum digugurkan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hukuman selama tiga tahun itu berakhir semalam apabila beliau dilantik semula dalam kabinet menggantikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri menggantikan  Tan Sri Wahid Omar yang enggan disambung semula sebagai Senator.

Perlantikan semula Noh mengejutkan kerana tiada akhbar yang buat ramalan beliau akan kembali semula ke kabinet. Sebaliknya ada akhbar yang meramalkan ahli parlimen baru Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi akan dilantik sebagai timbalan menteri. Ramai yang tidak nampak kemenangan cemerlang Budiman itu adalah kerana kerja kuat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor tersebut.

Dengan perlantikan ini Umno Selangor lebih bersemangat untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada PRU 2018 kerana Pengerusi Badan Perhubungannya sudah ada jawatan menteri.

Ramai yang terkejut dengan keengganan Husni Hanazlah untuk kekal dalam kabinet. Beliau bersara dari politik dan sebelah petangnya beliau meletakkan jawatan Bendahari Umno Malaysia, Bendahari BN Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Ketua Umno Bahagian Tambun lebih banyak menimbulkan spekulasi yang tidak menyenangkan ahli ahli Umno.

Mungkin dengan kenaikan pangkat Johari  Ghani sebagai Menteri Kewangan Kedua menyebabkan Husni mendapat jawatan yang lebih junior yang mendorong beliau enggan dilantik semula dalam kabinet.

Yang kecewa sudah tentu orang Sarawak yang mahu jawatan Douglas Unggah Embas dikekalkan kepada orang Sarawak tidak menjadi kenyataan. Tan Sri William Mawam Ikom disebut sebut mengisi kekosongan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

 Semalam bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika membuat pengumuman itu dalam sidang media di Putrajaya, Najib turut memaklumkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhasrat menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi, selain akan menyusun semula tugas menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Najib juga memgumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet bagi memantapkan pentadbiran.

"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat - pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan - terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dijanjikan," katanya.

Tiga timbalan menteri baharu dilantik ialah Anggota Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Anggota Parlimen Silam Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Anggota Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K Devamany dilantik semula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib berkata penyusunan semula Kabinet turut melibatkan pertukaran portfolio menteri Kabinet sedia ada iaitu Menteri di Jabatan Menteri Datuk Seri Mah Siew Kiong kini sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Menteri Kesejahteraan Bandar , Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menggalas tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Timbalan menteri yang terlibat dalam pertukaran portfolio adalah antara Datuk Chua Tee Yong yang mengambil alih tugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri daripada Datuk Lee Chee Leong yang bertukar ke Kementerian Kewangan.

Mah, yang juga Presiden Gerakan, sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk mengetuai lembaga wakaf Hindu, menyelia Unit Inovasi (UNIK), bertanggungjawab terhadap organisasi yang berurusan dengan tenaga nuklear dan Kumpulan Teknologi Tinggi Industri Kerajaan Malaysia (MIGHT) manakala Abdul Rahman juga merupakan Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN).

Najib berkata selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan-pelantikan tersebut.

Beliau berkata rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri persekutuan dan timbalan menteri persekutuan.

Ini termasuk peletakan jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang telah bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak Ke-11 pada Mei lepas dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Tan Sri Wahid Omar juga telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai Senator yang tamat pada bulan ini dan seterusnya sebagai menteri di jabatan perdana menteri.

Selain itu, terdapat juga kekosongan jawatan timbalan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi setelah pemergian ke rahmatullah penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas udara Mei lepas.

Rombakan Kabinet Isnin merupakan kali ketiga dilaksanakan Najib.

Najib melakukan rombakan Kabinet pertamanya pada 25 Jun 2014 melibatkan penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada Gerakan dan MCA dalam barisan Kabinet.

Ia termasuk pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mah selaku Presiden Gerakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib ketika melakukan rombakan Kabinet yang kedua pada 28 Julai 2015 berkata ia dilakukan untuk memperkukuhkan barisan dalam menghadapi cabaran dalam menguruskan negara sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Rombakan tersebut menyaksikan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan.

IMAGINASI MUKHRIZ SPEKULASI JAHAT

KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- UMNO Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kononnya ada perjanjian Terengganu akan diserahkan kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata semua itu hanyalah andaian dan imaginasi Mukhriz yang merupakan spekulasi jahat yang tidak bersandarkan kebenaran sebaliknya bertujuan menimbulkan keresahan dalam parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, kini anggota UMNO sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.

"UMNO Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang telahpun digerakkan.

"Sehubungan itu saya meminta Mukhriz dan semua pihak agar tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Semalam dalam satu majlis di ibu negara, Muhkriz mendakwa beliau mengesyaki terdapat perjanjian UMNO-PAS membabitkan 'pertukaran' yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak mempunyai 'locus standi' atau kedudukan untuk mengulas mengenai hubungan antara UMNO dan PAS, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Mukhriz tidak berhak memberi komen atas perkara itu kerana beliau tidak
menganggotai mana-mana parti ketika ini.

"Mukhriz tak ada 'locus standi' untuk beri apa-apa komen mengenai hubungan UMNO dan PAS dan pandangan beliau tidak memberi apa-apa impak.

"Yang pastinya antara UMNO dan PAS, kedua-duanya mempunyai pucuk pimpinan yang sudah tentu ada kebertanggungjawaban kepada parti masing-masing, dan itu terpulanglah kepada parti masing-masing untuk menentukan hala tuju (mereka)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera dan anggota Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini hari ini.