Rabu, April 28, 2010

PENGUNDI CINA SEPERTI PENGUNDI KELANTAN


Jika trend pengundi Cina masih bersama pembangkang seperti yang ditunjukkan pada pilihanraya kecil Hulu Selangor Ahad lalu, ini bermakna BN sukar mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang.

Maka kajian perlu dibuat kepada pengundi Cina masih bersama PKR sedangkan kerajaan BN mengumumkan pelbagai peruntukan untuk kaum Cina. Apa lagi yang kaum Cina hendak? Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata masyarakat Cina marah dengan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan BN menghukum para pengundi Cina di Hulu Selangor.

Kenapa pengundi Cina perlu dihukum? Mereka sebenarnya cerdik seperti orang Kelantan yang tetap mengundi PAS walaupun kerajaan pusat mengumumkan pelbagai peruntukan untuk rakyat Kelantan. Sebab itu walaupun PAS menang pada pilihanraya kecil di kelantan, pengundi di situ tetap mendapat jambatan yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Orang Cina mengikut jejak langkah orang Kelantan. Oleh itu di masa akan datang janganlah BN menabur janji lagi di kawasan mereka kerana mereka tetap tidak mengundi BN.


Sementara itu, Pemuda UMNO mahu pengundi Cina juga perlu diambil kira dan bukan "dihukum" kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Dari segi perbandingan walaupun sokongan orang Melayu dan kaum India adalah lebih baik kepada BN di Hulu Selangor, kebanyakan pengundi Cina sekali lagi memilih untuk mengundi pembangkang.

"Mengesampingkan masyarakat Cina adalah tidak sihat terutama apabila pegangan BN terhadap masyarakat utama yang lain tidak akan menjadi mutlak," kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semasa memberikan respons kepada beberapa cadangan daripada beberapa pihak tertentu bahawa pengundi Cina perlu diajar dengan menarik balik peruntukan yang dijanjikan kepada mereka semasa kempen pilihan raya.

"Politik bukan hanya setakat undi; ia juga mengenai sesuatu yang ideal, prinsip dan melakukan apa yang betul.

"Saya pasti jika kita terus membantu semua masyarakat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, persepsinya akan bertambah baik. Saya percaya ramai yang tidak mengundi kita kekal sinis dan mahu kita menunaikan janji sebelum menyokong BN, kata Khairy ketika memberikan respons mengenai trend mengundi yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,725 undi.

Khairy yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan tetap dengan laluan 1Malaysia dan membawa pembaharuan sehingga semua pengundi dari pelbagai kaum yakin bahawa perubahan akan terus menjadi kenyataan.

"Saya tidak sangsi bahawa jika kita terus komited dan menyokong sepenuhnya perubahan yang dibawa Perdana Menteri, BN akan melihat perubahan yang positif menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jadi, kita mesti ikhlas melaksanakan 1Malaysia, kita tidak boleh meninggalkan kepimpinan PM yang inklusif, hanya kerana kita tidak melihat satu kaum masih belum lagi memberikan respons dalam pilihan raya."

Sementara Hulu Selangor memberikan BN satu peluang untuk memenangi pilihan raya kecil parlimennya yang kedua sejak pilihan raya umum ke-12, ia merupakan petanda keutamaan pengundi.

Ketua Pemuda UMNO itu memerhatikan bahawa BN menunjukkan satu perubahan yang signifikan dalam corak pengundian pengundi muda di kawasan yang mempunyai majooriti kaum Melayu dan Inida.

"Dalam pilihan raya kecil ini, BN hanya dapat memperoleh 28 peratus daripada undi kaum Cina berbanding 37 peratus semasa pilihan raya umum lalu.

"Dengan memenangi di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti orang Melayu, BN tewas di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti kaum Cina. Kita (juga) hilang sokongan di kalangan pengundi muda (dari kaum Cina).

"Sebagai contoh, di Kg Baharu Kalumpang, perbezaan dalam margin kemenangan bagi PKR dalam "saluran muda" melompat kepada 130 undi. Di Kg Baru Rasa, majoriti bagi PKR meningkat dengan 241 undi.

"Ini menunjukkan, antara lain, sokongan (bagi BN) daripada pengundi muda Cina juga menurun," kata Khairy.

Pada pilihan raya umum 2008, BN hanya menang di 11 pusat mengundi yang dikategorikan sebagai terdiri kebanyakannya pengundi muda, manakala PKR menang di 34 pusat mengundi. Kali ini BN menang 30 dan PKR 23.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor juga menunjukkan bahawa kira-kira 1,329 pengundi muda beralih menyokong BN berbanding 2008 pada peringkat parlimen.

Khairy berkata perkembangan ini juga isyarat kepada BN supaya melakukan perkara yang betul bagi semua rakyat Malaysia.

Walaupun pilihan raya kecil ini menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam rentak pengundian di kalangan pengundi muda terhadap BN, beliau berkata secara strategiknya boleh disangsikan jika terus bergantung dengan undi kaum Melayu dan India.

"Walaupun Hulu Selangor mungkin menampakkan sokongan kaum Melayu dan India yang lebih baik berbanding pada 2008, terdapat satu perkadaran yang besar bagi kedua-dua kaum yang menyokong pakatan pembangkang.

"Tanggapan mengenai perpaduan orang Melayu sukar difahami, terutama dalam soal pilihan mengundi. Akan sentiasa wujud perkadaran yang besar daripada 30 kepada 50 peratus dalam mana-mana kawasan yang akan menyokong pembangkang terutama mereka yang setia dengan PAS.

"Sementara itu, pengundi kaum India juga telah menunjukkan kearifan mereka dan semuanya bergantung bagaimana mereka melihat perubahan dalam MIC dan pelaksanaan janji-janji yang telah dibuat kepada mereka," kata Khairy.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata bahawa adalah tidak betul untuk mengesampingkan pengundi Cina di Hulu Selangor kerana disebabkan trend pengundian.

Beliau berkata bahawa BN, sebagai parti pelbagai kaum, perlu membantu rakyat tanpa mengira kaum atau agama.