Rabu, Oktober 22, 2008

PERSIDANGAN UMNO KEMAMAN TAK SAH?


Apa nak jadi dengan UMNO ini? Dahlah nak dapatkan pencalonan buat secara tidak demokratik, cadangkan calon, sokong cadangan dan tutup terus pencalonan semata-mata untuk nafikan hak orang lain untuk dapatkan juga pencalonan.

Kononnya inilah suara akar umbi tetapi tidak beri peluang kepada orang lain buat cadangan calon lain. Demokratik apa namanya ini?

Selepas itu pengundian pun ada tipu pula. Inilah yang heboh di Kemaman kononnya ada penipuan. Rahim Husin gagal mempertahankan jawatan naib ketua bahagian kerana banyaknya undi rosak pada nombor 1 yang kebetulan pula Rahim adalah calon nombor 1. Takkan perwakilan UMNO Bahagian Kemaman tak tahu tulis nombor 1 sampai semuanya jadi undi rosak.

Undi pemeriksa kira-kira pun tipu juga. Lima calon bertanding. Ada 569 perwakilan. Setiap orang undi dua nama. Maknanya 1138 undi yang patut dikira. Tapi bila dicampur semua undi, Ibrahim Abas dapat 298 undi, Noraini Abdul Rahman dapat 222, Wan Jasni dapat 220, Md Nor Ibrahim dapat 186 undi dan Hamzah dapat 145 undi. Jumlah undi ialah 1071 sedangkan undi yang patut dibuang ialah 1138 undi. Ke mana hilangnya 67 undi? Ini yang menimbulkan tanda-tanya.

Malah ahli jawatan kuasa yang tewas pun tidak puas hati kerana banyak kertas undi tidak dikira. Orang yang terlibat dengan pengiraan undi dikatakan terdiri dari kakitangan KEMAS yang mana bossnya, Rosli Ahmad adalah juga calon ahli jawatan kuasa bahagian. Ini bermakna orang yang terlibat dalam mengira undi sudah tidak berkecuali. Apa peranan yang dimainkan oleh pemerhati Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Awang Jabar? Amatlah memalukan kalau bahagian yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said terpaksa mengadakan semula mesyuarat perwakilan bahagian gara-gara ada penipuan kerana didalangi oleh orang yang tidak cukup inci. Kalau keputusan 20 AJK boleh ditipu, adakah penipuan ini direstui oleh Ahmad Said? Oleh itu Ahmad Said kena siasat perkara ini supaya maruah UMNO Kemaman tidak ditertawakan oran g supaya orang tidak boleh menuduhnya bersubahat dalam isu ini.

KITA TUNGGU 30 OKTOBER


Kalaulah benar seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Najib Razak bahawa mesyuarat majlis tertinggi UMNO pada 30 Oktober ini akan menentukan sama ada majlis tertinggi setuju atau tidak supaya perhimpunan agung UMNO dipercepatkan, baguslah. Saya sudah tulis pada hari Sabtu lalu supaya cepatkan pemilihan UMNO tetapi kekalkan peralihan kuasa pada Mac 2009.

Biarlah Najib menjadi Presiden UMNO pada Disember ini dan tiga bulan kemudian Najib naik jadi Perdana Menteri.

Biarlah tarikh perhimpunan agung UMNO dikekalkan pada 17 Disember 2008 supaya calon-calon yang bertanding tidak terlalu lama berkempen. Bila terlalu lama ini menyebabkan wang calon semakin banyak yang keluar. Semua calon lebih suka tarikh dipercepatkan supaya tidak banyak wang mereka habis.

Politik wang sudah jadi satu budaya dalam UMNO. Hulur salah, tak hulur kalah. Oleh itu ahli-ahli UMNO pedulikanlah sindiran Dr. Rais Yatim supaya UMNO membuka bidaan tertinggi. Siapa dapat hulur wang yang tinggi, dialah yang layak jadi pemimpin UMNO, kata Dr. Rais.

Sindiran itu menghina ahli-ahli UMNO sendiri. Malah Dr Rais memuji bagaimana MCA dan Gerakan menghapuskan politik wang dengan menghapuskan kuota pencalonan. Memang benarpara perwakilan cawangan dan bahagian minta wang pada calon kerana calon jarang turun ke bawah. Tiga tahun sekali mereka turun ke cawangan atau bahagian. Jadi wang yang diminta adalah sebagai ganti rugi mereka tidak turun ke cawangan atau bahagian.

Sebelum menang mereka datang ke cawangan berkempen. Bila menang, mereka tak nampak batang hidung. Kalau seorang perwakilan bahagian diberi RM300 ini bermakna nilainya baru RM100 setahun kerana tiga tahun lagi calon itu baru akan turun ke cawangan. Jadi jangan salahkan mereka kalau mereka minta wang dengan calon.

Politik wang agak ketara sewaktu Ku Li menentang Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981. Ini bermakna sudah 27 tahun ia berleluasa dalam UMNO. Sudah jadi barah.

Ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian Selayang, Mohd. Noh Rajihi mendedahkan Shukor, ketua pemuda negeri yang dikatakan orang Dr. Khir Toyo menghabiskan RM5 juta untuk mengalahkan penyandang ketua bahagian Selayang, Ahmad Bahari.

Perwakilan yang mewah. Nak dapatkan pencalonan, kena hulur. Nak dapat undi kena hulur lagi. Perwakilan pula kadar wang yang diberi tak sama. Ada yang dapat RM300. Ada yang dapat RM500. Ada pula ketua cawangan yang dapat RM1,000.

Oleh itu jika perhimpunan agung UMNO dipercepatkan semua ahli majlis teringgi UMNO rasa lega kerana masa tinggal dua bulan lagi. Masa lima bulan dari sekarang amat memenatkan. Biarlah Pak Lah serah jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada bulan Mac 2009 tetapi perhimpunan agung UMNO dikekalkan pada Disember ini.

BERTELAGAH TAPI DAPAT DUDUK SEMEJA


Semalam 22 orang blogger dan penulis politik (seorang balik walaupun namanya tercatat pada kertas pendaftaran) telah dijamu oleh seorang usahawan Datuk Aziz Chemor di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Tujuan Aziz mengumpul mereka adalah supaya mereka bersatu. Oleh itu usaha ini wajar dipuji kerana bukannya senang untuk mengumpulkan mereka yang berlainan fahaman.

Seperti kata Pak Habib, majlis anjuran Aziz ini adalah gencatan senjata di antara para blogger. Mereka berperang sesama sendiri dalam blog mereka tetapi pada hari semalam mereka letakkan senjata untuk duduk semeja.

Ini membuktikan bahawa walaupun para penulis bertelagah sesama mereka tetapi mereka masih boleh duduk semeja. Di antara nama besar yang hadir ialah Pak Habib, Yahaya Ismail, Mohd Sayuti Omar, Zakaria Bidin, Yusof Merah, Yassin Salleh, Salahuddin Hisham, Datuk Ruhanie Haji Ahmad, Haji Abu Bakar Ninggal, Dharmala NS, Don Hussin dan Johari Ismail (menyebut beberapa nama).

Saya turut diundang hadir oleh Pak Habib walaupun saya sibuk dengan deadline WATAN. Saya rasa rendah diri kerana yang hadir adalah blogger yang hebat sedangkan blog saya yang baru berusia tiga minggu dan belum ramai lagi pengunjungnya. Berbanding dengan mereka, siapalah saya.

Sekali sekala berkumpul begini memang seronok kerana sudah lama tak dapat berjumpa dengan rakan-rakan penulis seperti Yahya Ismail, Pak Habib dan Mohd. Sayuti Omar. Dharmala NS yang duduk di depan saya sudah 20 tahun tak jumpa. Kali terakhir di WATAN (Karangkraf) pada tahun 1988 yang mana ketika itu saya adalah penolong editor WATAN manakala beliau adalah penyunting akhbar WATAN.

Pada tahun 1976, ketika saya dalam tingkatan lima di MRSM, Seremban saya pernah ikuti kursus penulisan di Seremban yang mana ketika itu Dharmala NS yang menyampaikan ceramah. Ini bermakna saya sudah lama kenalinya tetapi hubungan itu tidak berterusan.

Pak Habib sering saya temui. Begitu juga Sayuti yang sering saya hubungi. Yahya Ismail juga sudah lama saya tidak temui. Ketika saya bekerja di Sabah pada tahun 1990, sayalah yang jadi tourist guide kepada beliau yang mahu melihat liku-liku Kota Kinabalu di waktu malam. Saya teringat kepada seorang ADUN dari Johor (sekarang sudah bersara dari politik) bila datang ke Sabah cari saya kerana dia mahu kelainan di Kota Kinabalu.

Salahuddin Hisham atau Mao adalah junior saya di MRSM Seremban. Beliau adalah blogger yang saya temui di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini di majlis berbuka puasa Mukriz Mahathir. Sudah 30 tahun kami tidak bertemu tetapi beliau masih ingati nama saya. Rakan-rakan di MRSM tentu masih ingat saya kerana pada majlis suaikenal saya membaca sajak Tahi Ayam yang menyebabkan semua rakan-rakan ketawa mendengar sajak lucu itu.

Mao kebetulan melayari internet dan terjumpa blog saya. Terus dia call saya dan minta saya link dengan blognya dan dia turut link blog saya dengan blognya. Sejak itu blog saya semakin ramai pengunjung. Juga terima kasih kepada Pak Habib dan Sayuti yang sudi link dengan blog saya. Ada orang kata dia tak ingin baca blog saya tetapi tiap-tiap hari dia buka blog saya kerana dari segi ulasan, saya kenal siapa yang menggunakan nama samaran tanpanama itu.

Sesungguhnya pertemuan semalam adalah pertemuan pertama. Pada Ahad ini, 26 Oktober, Pak Habib menjemput semua penulis dan blogger berhimpun di rumahnya pula di Janda Baik. Pada masa yang sama, Yassin Salleh meminta supaya semua blogger mengadakan iklan Bebaskan Raja Petra dari ISA sebagai tanda simpati blogger kepada beliau walaupun bukan semua bersetuju dengan tindak-tanduk beliau. Datuk Ron yang mahu bertanding majlis tertinggi UMNO berharap penawaran dirinya diterima baik oleh perwakilan UMNO supaya suara penulis didengar di dalam majlis tertinggi UMNO.

Oleh kerana saya tiada kamera, saya ucapkan terima kasih kepada Sayuti yang sudi membenarkan saya ambil foto ini dari blognya. Saya berharap pertemuan seperti ini dapat diadakan dari masa ke semasa.

UMNO TIDAK PANDANG MERITOKRASI


Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin mahu ahli UMNO mengamalkan konsep meritokrasi bagi memastikan hanya pemimpin berkebolehan dipilih dan menolak mereka yang mengamalkan politik wang pada pemilihan parti itu Mac depan.

Muhyiddin yang sudah jauh meninggalkan dua lawannya, Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib bolehlah cakap banyak kerana dia sudah dapat 45 pencalonan sedangkan Ali baru dapat 13 pencalonan dan Muhammad dapat sembilan pencalonan.

Kenapa sekarang Muhyiddin mahu ahli UMNO amalkan metritokrasi? Kenapa tak laungkan isu ini pada bulan lepas? Adakah kerana beliau sudah selamat? Muhyiddin seterusnya berkata kita mesti wujudkan meritokrasi dalam politik. Kita tidak boleh pilih pemimpin itu kerana kita kenal dia dan dia ada wang tetapi kena pilih berdasarkan kebolehan, kredibiliti dan pengalamannya.

Dr Mahathir pernah berkata beliau lebih suka bekerja dengan syaitan yang beliau kenal daripada bekerja dengan malaikat yang beliau tidak kenal. Oleh itu kenyataan Muhyiddin bahawa kita tidak boleh pemimpin kerana kita kenal tidak boleh diterima. Kalau tak kenal tapi ada kebolehan, macam mana mahu pilih mereka sebagai pemimpin. Sudah tentu kita pilih mereka yang kita kenal dahulu dan yang ada wang sekurang-kurangnya yang pernah bantu kita dalam bentuk kewangan sewaktu kita susah.

Menyentuh tentang kebolehan, kredibiliti dan pengalaman, adakah Ali atau Muhammad tiada kebolehan? Adakah Ali atau Muhammad tiada kredibiliti?Adakah Ali atau Muhammad tiada pengalaman? Kenapa lebih banyak perwakilan bahagian memilih Muhyiddin daripada Ali atau Muhammad? Adakah kerana Muhyiddin lebih berkebolehan dari mereka berdua? Adakah Muhyiddin lebih berkredibiliti daripada mereka? Atau adakah Muhyiddin lebih berpengalaman daripada mereka? Benarkah Muhyiddin tak main politik wang? Takkan gurkha-gurkha beliau berkempen tanpa menggunakan wang menemui ketua bahagian? Mustahil mereka berkempen dengan air liur kerana pengalaman Dr. Rais Yatim menunjukkan ketua bahagian minta wang untuk dapatkan pencalonan.

Pada tahun 1993, sewaktu pasukan wawasan yang diketuai Anwar Ibrahim mencabar Ghafar Baba, tiga orang calon Naib Presiden dari pasukan wawasan iaitu Najib, Muhyiddin dan Muhammad dikatakan mempunyai wang yang banyak sehingga Pak Lah dan Sanusi tersungkur dari kerusi tersebut.Oleh itu Muhyiddin ada rekod main politik wang. Mungkin beliau sudah bertaubat sekarang.

Sewaktu menggulung perbahasan, Sanusi memberi maksud wang RM1, RM5, RM10, RM50, RM100, RM500 dan RM1,000 di mana gambar parlimen ada di belakang wang kertas RM1,000 yang bermakna nilai orang politik ialah RM1,000 sebagai menyindir pasukan wawasan yang mengamalkan politik wang.

Pada tahun 1996, Dr. Mahathir menangis ketika menyampaikan ucapan dasart Presiden kerana politik wang. Muhyiddin kalah kerana kononnya Dr Mahathir menghentam beliau yang mengamalkan politik wang. Maka menanglah Pak Lah semula sebagai Naib Presiden UMNO. Najib dan Muhammad kekal sebagai naib presiden.

Kalau bercakap tentang meritokrasi, Ku Li lebih baik dari Najib tetapi perwakilan pilih Najib kerana beliau adalah Timbalab Perdana Menteri sedangkan Ku Li tiada jawatan dalam kerajaan. Bahagian kini mencalonkan Muhyiddin kerana beliau adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana tidak perlu ada pilihan raya kecil kalau Ali atau Muhammad menang. Jika Ali menang beliau kena bertanding kerusi parlimen. Jika Muhammad menang, beliau juga kena tanding kerusi parlimen untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu bahagian merasakan lebih baik calonkan Muhyiddin kerana BN tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil. Bayangkan kalau Muhyiddin ahli parlimen Pagoh sahaja, mampukah beliau dapat pencalonan sebanyak ini? (45 pencalonan sehingga semalam).