Rabu, Oktober 11, 2017

ADIK SHAFIE APDAL DITAHAN SPRM?

KOTA KINABALU, 10 Okt (Bernama) -- Adik kepada bekas menteri persekutan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah yang dianggarkan lebih RM1.5 bilion antara tahun 2009 hingga 2015.

Menurut sumber, lelaki berumur 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira 10.30 malam ini ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Terdahulu, SPRM menggeledah rumah adik bekas menteri persekutuan itu di Putatan dekat sini bermula 2.30 petang hingga 6 petang tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah individu yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan isu itu ialah seramai tujuh orang.