Isnin, Januari 05, 2009

SYED HAMID ADA POTENSI



Seorang lagi calon Naib Presiden UMNO yang ada potensi untuk menang ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar. Beliau bertanding buat kali kedua. Pada tahun 2000, beliau pernah bertanding jawatan tersebut tetapi tewas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Beliau mendapat 70 pencalonan kali ini dan pada tahun 2004, beliau bertanding kerusi majlis tertinggi UMNO sahaja dan menang. Oleh kerana ada tiga kekosongan Naib Presiden UMNO pada pertandingan 2009 ini, maka beliau mencubanya buat kali kedua.



Nama Syed Hamid popular pada tahun 1986 apabila dicalonkan menentang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu. Beliau kalah dalam pertandingan tersebut. Menjelang pilihan raya umum pada tahun tersebut, namanya digugurkan di saat-saat akhir sebagai calon BN.



Berkat kesabarannya maka pada tahun 1990, selaku Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, beliau dipilih bertanding di negeri kelahirannya di Johor. Selepas menang beliau terus dilantik menteri penuh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman.



Beliau adalah di antara ahli parlimen yang terus dilantik sebagai menteri penuh tanpa melalui proses menjadi setiausaha parlimen atau timbalan menteri terlebih dahulu. Pada tahun 1995, beliau dilantik menjadi Menteri Pertahanan. Pada tahun 1999 pula beliau dilantik Menteri Luar selama dua penggal. Pada tahun 2008, beliau ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri, satu-satunya Menteri Dalam Negeri selepas Tun Ghazali Shafie yang dipegang oleh bukan perdana menteri atau timbalan perdana menteri.



Di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri (1981-2003) jawatan Menteri Dalam Negeri dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri (Tun Musa Hitam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) atau Perdana Menteri sendiri (Dr.Mahathir).



Pak Lah meneruskan tradisi ini dengan menjadi Menteri Dalam Negeri dari tahun 2003 hingga 2008. Selepas pilihan raya umum 2008, Pak Lah menyerahkan kementerian penting ini kepada Syed Hamid.



Biasanya Menteri Dalam Negeri tidak popular. Ketika King Ghaz jadi menteri tersebut, beliau tak pernah menang dalam pertandingan Naib Presiden UMNO walaupun disokong kuat oleh Perdana Menteri, Tun Razak Hussein ketika itu.



Sebagai menteri berkenaan, Syed Hamid tidak popular apabila menggunakan ISA untuk menangkap wartawan, ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok dan blogger, Raja Petra. Penggunaan ISA ini yang menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan kerana memprotes penggunaan ISA yang dianggapnya sudah tidak relevan lagi.



Syed Hamid dikagumi kerana berani menentang Anwar Ibrahim bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1986. Anwar sudah jadi Menteri Pelajaran ketika itu tetapi Syed Hamid bukan ahli parlimen. Hanya seorang ketua bahagian (Bukit Bintang) sahaja.



Tetapi kekaguman ahli UMNO terhadap beliau tercalar apabila beliau menarik diri dari pertandingan tiga penjuru ketua pemuda pada tahun 1993. Pertandingan berlaku hanya di antara Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Ini menyebabkan ramai ahli UMNO kecewa dengan anak Singa UMNO ini ) arwah Tan Sri Syed Jaafar Albar).



Kekecewaan ahli UMNO ada kesannya bila mereka tidak memilih Syed Hamid sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 2000. Pada tahun 2004, beliau hanya bertanding kerusi ahli majlis tertinggi. Oleh kerana kini ada tiga kekosongan jawatan Naib Presiden UMNO, maka Syed Hamid menawarkan diri sekali lagi. Terpulanglah kepada perwakilan untuk menentukan kedudukan Syed Hamid pada bulan Mac ini.



Pada tahun 1990an begitu mudah wartawan menemui Syed Hamid. Bila kita pergi menemui setiausaha politiknya, Syed Omar atau setiausaha akhbarnya, Datuk Ibrahim Thamby Chik, mereka akan bawa kita temui Syed Hamid walaupun kita tidak ada appointment dengan beliau. Sekarang setiausaha akhbar dan setiausaha politik Syed Hamid tidak sekreatif Syed Omar dan Ibrahim Thamby Chik.



Saya banyak kali ada peluang menemui Syed Hamid pada tahun 90an. Tapi sampai sekarang Syed Hamid masih lupa nama saya. Itulah kelemahan Syed Hamid.

WAN FARID SUDAH LAMA JADI JAMBATAN


Calon BN, Wan Farid Wan Salleh berkata bahawa beliau mahu jadi jambatan kepada para pengundi Kuala Terengganu dalam menyampaikan hasrat rakyat kepada kerajaan.


Sebenarnya Wan Farid sudah lama jadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan sejak tahun 2004 lagi ketika beliau menjadi setiausaha politik Menteri Dalam Negeri. Beliau banyak menolong orang ketika menjadi setiausaha politik. Sedikit sebanyak para pengundi Kuala Terengganu yang pernah mendapat pertolongannya terhutang budi kepada beliau.


Saya sendiri pun pernah berurusan dengan beliau ketika beliau menjadi setiausaha politik. Lebih mudah berurusan dengannya bila beliau ada di pejabat. Jadi soal jadi jambatan bukan hanya selepas dipilih jadi ahli parlimen pada 17 Januari ini. Sebaliknya beliau sudah lama jadi jambatan.


Begitu juga bila beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri sejak Mac 2008, beliau banyak juga menolong orang. Saya pun pernah dia tolong. Oleh itu jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat Kuala Terengganu nanti, jambatan beliau semakin kukuh untuk beliau hulur bantuan kepada para pengundi. Oleh itu wahai para pengundi Kuala Terengganu, pangkahlah BN untuk meneruskan kesinambungan perjuangan arwah Datuk Razali Ismail.