Isnin, April 18, 2011

KIMMA TAK ADA PENGARUH DITAWAR RM55 JUTA


Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader hari ini mendedahkan bahawa pihak pembangkang pernah menawarkan RM55 juta kepada beliau untuk membawa kongres itu beralih arah menyokong pembangkang.

Beberapa tahun lalu, katanya, beliau dihubungi seorang pemimpin pembangkang yang menawarkan imbuhan tersebut supaya berpaling tadah.

"Dia (pemimpin pembangkang) cakap pada saya, Datuk, saya akan beri anda RM5 juta sekiranya bersetuju (dengan tawaran saya) hari ini, pagi esok saya akan masukkan dalam akaun anda.

"Selepas itu, anda kembali kepada orang anda (dan minta sokong pembangkang), saya akan masukkan RM50 juta (lagi) dalam akaun anda," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Kimma di sebuah hotel di sini hari ini.

Syed Ibrahim berkata, Pengerusi Kimma di negeri-negeri yang ditawan pembangkang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang turut ditawarkan pelbagai imbuhan termasuk projek dan jawatan penting dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, imbuhan yang ditawarkan, tidak akan mengubah pendirian Kimma dalam meneruskan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) buat selama-lamanya.

"Kita ini orang yang jujur. Dari dulu kita sokong BN, sampai bila-bila pun kita sokong BN. Kita tak boleh ubah fikiran kita hanya kerana dia beri sesuatu imbuhan kepada kita," katanya.

Syed Ibrahim memberitahu, Kimma kini memiliki seramai 162,000 ahli dan menyasarkan untuk mencapai keahlian sehingga 300,000 orang menjelang akhir tahun ini kerana jumlah penduduk berketurunan India Muslim di negara ini adalah antara 648,000 dan sejuta orang.

Menurut beliau, Kimma tidak meminta untuk diberi status sebagai kaum Melayu sebaliknya mahu diiktiraf sebagai bumiputera dan dalam masa sama mengekalkan identiti sebagai kaum India Muslim.

Beliau menyatakan, Kimma juga berhasrat menjalin kerjasama dengan orang Melayu bagi menaikkan taraf ekonomi penduduk beragama Islam di negara ini.