Selasa, April 05, 2016

RAYUAN DITANGGUH, MAHKAMAH RAYUAN PERINTAH ZAHIDA RAFIK BAYAR KOS RM5,000

PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Aktres Zahida Mohamed Rafik pada Isnin diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan di sini membayar kos RM5,000 kepada bekas pemandunya selepas mahkamah menangguhkan pendengaran rayuannya berkaitan saman fitnah.

Penal tiga hakim diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan menangguhkan pendengaran rayuan Zahida selepas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan mahkamah beliau diarahkan oleh peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memohon penangguhan pendengaran rayuan itu, yang dijadualkan hari ini.

Beliau berkata Muhammad Shafee tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau perlu menghadiri perbicaraan pecah amanah jenayah yang sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen di Butterworth.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Dr Badariah Sahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Peguam Latheefa Koya, mewakili Noor Azman Azemi, memohon kos RM5,000, kerana mereka tidak dimaklumkan bahawa peguam mewakili Zahida akan memohon satu lagi penangguhan.

Beliau berkata mereka tidak menerima surat daripada peguam perayu untuk memohon penangguhan pendengaran dan surat daripada mahkamah yang menolak penangguhan itu.

Wan Aizuddin berhujah tiada kos patut diberikan bagi alasan itu kerana ini merupakan tarikh pertama bagi pendengaran rayuan itu dan Muhammad Shafee perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang merupakan kes kepentingan awam.

Hakim Lim kemudian berkata mahkamah akan menetapkan tarikh lain bagi pendengaran itu dan memerintahkan kos RM5,000 dibayar kepada Noor Azman.

Beliau juga mengarahkan pengurusan kes itu dikendalikan hari ini dan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Mei bagi pendengaran rayuan.

Noor Azman menyaman Zahida mendakwa aktres itu, yang berlakon dalam filem Anak Mami The Movie, telah secara salah dan berniat jahat, memberikan kenyataan fitnah dalam artikel diterbitkan dalam satu tabloid berbahasa Melayu pada 3 Mac, 2012 berhubung kerugian RM200,000.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari tahun lepas memutuskan perbuatan memfitnah itu telah berjaya dibuktikan oleh Noor Azman berdasarkan keseimbangan kebarangkalian dan memerintahkan Zahida membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Noor Azman.

-- BERNAMA