Jumaat, November 15, 2013

KP FINAS TERPERANJAT HIGHLAND TOWERS KUTIP RM3 JUTA

NILAI, 15 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang memantau dan mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan mutu dan kualiti filem yang dihasilkan di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah. Beliau berkata ini ekoran dari jumlah kutipan daripada filem yang dikeluarkan tahun ini didapati merudum akibat dari kualiti dan penceritaan yang lemah serta tidak menepati cita rasa penonton. "Oleh itu, salah satu langkah yang akan kita ambil ialah memperketatkan peraturan dan melakukan sesi dialog bagi menjaga mutu sesebuah filem yang dihasilkan agar mendatangkan hasil pulangan yang baik kepada pengeluar filem sekaligus meningkatkan jumlah kutipan. "Tapi ada filem yang kita tidak jangka seperti contoh filem Highland Towers kerana yang memeranjatkan saya, filem ini mendapat kutipan melebihi RM3 juta. Di sini boleh saya simpulkan, anda buat filem tetapi di akhirnya yang menentukan adalah penonton. "Macam mana bagus pun belum tentu diterima penonton kerana selera mereka berbeza," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-10 (FFVPM10) 2013 di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini. Festival anjuran Usim dengan kerjasama Finas. Festival yang bertemakan Evolusi Lensa Merentas Globalisasi ini diadakan bagi menghargai titik peluh pelajar yang bekerja keras dalam bidang perfileman, komunikasi dan multimedia. Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Filem/Video Pendek, Filem/Video Dokumentari, Filem/Video Eksperimen, Video Klip, Iklan, Filem/Video Animasi dan Pesanan Khidmat Awam (PSA). Daripada kategori pertandingan tersebut, sebanyak 19 kategori hadiah bakal menjadi rebutan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta antaranya Filem/Video Terbaik Keseluruhan, Filem/Video Pendek Terbaik dan Filem/Video Animasi Terbaik. Lima filem yang dicalonkan bagi kategori Filem/video Pendek Terbaik ialah 'Dompet' (Usim); 'Mimpi Mah Meri' (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan); 'Newcastle' (Kuala Lumpur Metropolitan University College); 'Silent Boy' (Universiti Malaysia Sabah) dan 'Unlock' (Universiti Teknologi Malaysia). Acara kemuncak festival ini ialah Malam Anugerah FFVPM10 2013 di Stadium Tertutup Nilai esok. -- BERNAMA