Khamis, Disember 30, 2010
DI MANA SUBRAMANIAM PADA TAHUN 1970?
Di manakah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Subramaniam pada tahun 1970 ketika novel Interlok mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka? kenapa beliau tidak menyuruh kerajaan menarik balik percetakan novel itu pada tahun tersebut.
Inilah masalahnya apabila menteri sendiri tidak faham kenapa novel itu ditulis oleh Abdullah Hussein pada tahun tersebut. Novel ini sudah 40 tahun berada di pasaran, kenapa sekarang mahu melenting. Mahu jadi Presiden MIC ke? Kalau nak jadi Presiden baru MIC ganti Palanivel, carilah isu lain.
Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.
Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.
"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.
Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.
Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik
Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.
Kita pun boleh demo
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.
Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.
Menurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.
Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.
Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.
Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.
"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.
"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.
Respons berterusan
Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.
Katanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.
"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.
Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.
Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair.
SELAMAT TINGGAL 2010
Akhirnya tahun 2010 sampai ke penghujungnya. Mengenang kembali tahun 2010, banyak kenangan pahit manis yang dilalui bersamanya. Paling manis ialah apabila merujuk kembali bekas isteri, Zaitun Othman, 48 tahun, pada 15 Mei lalu.
Kami bercerai selama setahun lebih. Sepanjang menduda selama 1 tahun 3 bulan akhirnya saya tiada pilihan lain menikahi semula bekas isteri demi anak-anak. Kenangan paling pahit ialah saya sakit darah tinggi pada 12 Mac lalu. Sepanjang hidup saya, 51 tahun, saya tidak pernah sakit. Inilah kali pertama saya sakit yang serius dalam hidup saya.
Saya diberi pil darah tinggi oleh doktor Hospital Kuala Lumpur. Saya batuk teruk akibat menelan pil itu. Di atas nasihat boss saya, Datuk Radzi Latif, saya tukar pil. Akhirnya saya tidak batuk teruk lagi.
Dalam masa yang sama saya turut makan ubat tradisional seperti akar kayu Mahkota Dewa. Kebetulan kawan saya, Syed Yassin Tuan Pandak menjual akar kayu itu. Apabila saya ada temujanji dengan doktor sebulan kemudian, doktor kata saya sudah bebas dari darah tinggi. Namun demikian doktor nasihati saya terus menelan pil hospital.
Satu lagi kenangan manis ialah apabila rakan saya, Kamri Kamaruddin mendapat permit majalah Mindaniaga pada bulan Jun lalu. Kebetulan beliau tiada modal untuk menerbitkan majalah bulanan itu. Dia suruh saya cari pelabur dan saya perkenalkannya kepada Datuk Radzi yang saya sudah kenali sejak tahun 1994 lagi.
Datuk Radzi bersetuju menjadi penerbit majalah dengan syarat beliau mendapat 70 peratus saham dalam syarikat Wow Communications Sdn Bhd, manakala kami bertiga termasuk Pak Abu Saim mendapat 10 peratus seorang saham.
Majalah itu berjaya diterbitkan pada awal November. Atas sebab-sebab tertentu, Mindaniaga tidak diterbitkan pada Disember dan Januari 2011 kerana beri laluan kepada akhbar Harian Mutiara untuk diterbitkan. Maka Kamri sebagai pemilik asal permit Mindaniaga berhasrat memberhentikan buat sementara waktu penerbitan majalah tersebut.
Ke mana saya selepas ini? Saya boleh kekal di pejabat sekarang kerana kita ada dua akhbar iaitu Harian Mutiara dan Buletin Prestasi yang bakal menjelma pada Februari 2011. Tetapi memikirkan saya tak nak lagi makan gaji, maka saya kena buat sesuatu untuk tahun 2011. Insya Allah Allah akan beri jalan yang terbaik buat saya.
Merumus kembali tahun 2011, saya bersyukur dengan pemberian Allah. Kalau dahulu saya buat freelance dengan majalah Agro Malaysia kini saya sudah ada kerja tetap dengan Mindaniaga, Harian Mutiara dan Buletin Prestasi. Ya Allah, terlalu banyak yang Kau beri terlalu sedikit yang dapat kubalas.
Esok hari terakhir dalam tahun 2010, sehingga esok saya sudah ada 900 posting dalam blog ini, www.catatanzabidi.blogspot.com. Dahulu blog ini dikenali sebagai www.memobelakang.blogspot.com. Apabila blog ini dihacked, maka saya tukar namanya.
terima kasih kepada semua pembaca yang terus menyokong blog ini dan saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Semoga 2011 menjanjikan lebih banyak kejayaan buat kita semua.
PERISTIWA PENTING DALAM TAHUN 2010
Berikut ialah kronologi peristiwa politik tanah air sepanjang tahun 2010.
JANUARI:
1 - Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia pada usia 71 tahun.
FEBRUARI:
12 - Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim mengumumkan keputusan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi anggota Bebas.
28 - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin keluar PKR untuk sertai Umno.
MAC:
1 - Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng mengumumkan keputusan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas.
3 - Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri keluar PKR dan menjadi anggota Bebas.
6 - PKR pecat anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.
28 - Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menang jawatan presiden MCA menewaskan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA.
APRIL:
25 - Calon Barisan Nasional P Kamalanathan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.
MEI:
14 - Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong isytihar keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.
16 - Calon DAP Wong Ho Leng menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi.
JUN:
11 - PAS benarkan calon bukan Islam bertanding menggunakan simbol parti itu semasa pilihan raya tetapi dengan syarat terima dasar dan perjuangan parti itu.
JULAI:
22 - MIC terima Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah, yang dipecat daripada Parti Progresif Penduduk (PPP), menjadi anggota MIC.
OGOS:
1 - DAP pecat ahli Majlis Perbandaran Klang Tee Boon Hock kerana dakwaan menyalahgunakan kepala surat seorang anggota exco Selangor.
SEPTEMBER:
1 - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menawar untuk melepaskan jawatan kerajaan kerana tidak setuju pendirian parti menentang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau masih memegang semua jawatan kerajaan.
OKTOBER:
23 - Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu perhimpunan agung Umno bahawa beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun padang ke seluruh negara tahun depan untuk bertemu anggota Umno dan rakyat.
4 - Calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 undi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas.
4 - Calon BN Datin Linda Tsen menang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.
19 - Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan hasrat untuk keluar daripada PKR ekoran hilang kepercayaan dengan perjuangan parti itu.
20 - BN setuju pinda perlembagaannya untuk memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus.
24 - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu meninggal dunia pada usia 91 tahun.
28 - Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR.
28 - Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dipilih Pengerusi DAP Selangor.
DISEMBER:
1 - Umno tangguh pemilihan parti 2011 selama 18 bulan.
6 - Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berundur selepas 31 tahun memimpin parti itu dan menyerahkan jawatan kepada timbalannya Datuk G.Palanivel.
13 - MCA tangguh pemilihan parti yang dijadualkan pada 2011, dipercayai mengikut langkah Umno.
15 - DAP turut tangguh pemilihan parti sehingga Ogos 2012
15 - Zaid Ibrahim menjadi Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).
16 - Empat wakil rakyat pembangkang -- Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, S.Sivarasa dan Azmin Ali -- digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar di dewan/ menghina dewan.
17 - Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, akibat kencing manis.
27 - Umno Pulau Pinang, Kedah, Terengganu diketuai pengerusi perhubungan yang baru daripada kalangan pemimpin negeri.
TAHNIAH HARIMAU MALAYSIA
Malaya sudah lama tiada tetapi kenapa pasukan Malaysia diberi nama Harimau Malaya? Sepatutnya mereka digelar Harimau Malaysia. Esok rakyat Malaysia bercuti gara-gara pasukan bolasepak itu menjulang piala AFF Suzuki setelah ketandusannya selama 14 tahun.
Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.
“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.
Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.
Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.
“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.
“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.
Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.
Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.
“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.
“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)