Rabu, April 01, 2009

HARI HARI TERAKHIR PAK LAH


Hari ini adalah hari kedua terakhir Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Hari ini beliau menghadiri mesyuarat terakhir kabinet. Esok beliau akan mengadap Yang Dipertuan Agung untuk mempersembahkan nama Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang baru.


Lusa Najib dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Mengimbas kembali sejarah politik Pak Lah, beliau mula menjadi ahli parlimen Kepala Batas sejak tahun 1978. Sudah lapan penggal beliau menjadi ahli parlimen Kepala Batas. Sejak itu pekan koboi Kepala Batas membangun pesat menjadi bandar yang utama di Pulau Pinang.


Pada tahun 1978, beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebagai bekas PTD, beliau tidak ada masalah bekerja di kementerian tersebut di zaman Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Sebagai PTD, beliau pernah bekerja dengan Tun Razak pada tahun 1969 sebagai Setiausaha MAGERAN yang mana Pengarah MAGERAN ialah Tun Razak sendiri.


Pada tahun 1979, beliau dilantik timbalan menteri di kementerian yang sama. Pada tahun 1978, beliau dilantik ahli majlis tertinggi UMNO. Pada tahun 1981, beliau menang ahli majlis tertinggi UMNO dan dilantik sebagai menteri penuh oleh Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981.


Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pak Lah ditugaskan menjaga Tabung Haji dan JPA. Pada tahun 1984, beliau bertanding naib presiden UMNO buat kali pertama dan menang. Kali ini beliau ditukarkan ke Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1986, beliau ditukarkan ke Kementerian Pertahanan.


Pada tahun 1987, walaupun beliau menang naib presiden UMNO, tetapi beliau digugurkan sebagai Menteri Pertahanan kerana menyokong Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau tetap kekal dengan UMNO dan tidak mengikut Ku Li menyertai Semangat 46. Kesetiaannya pada UMNO menyebabkan beliau menang naib presiden UMNO pada tahun 1990. Pak Lah menunjukkan kehebatannya menang naib presiden UMNO walaupun tidak menjadi menteri. Ini memaksa Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Luar pada tahun 1991.


Pada tahun 1993, beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO kerana diasak oleh Team Wawasan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Anwar menang jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding manakala tiga calon naib presiden dari Team Wawasan iaitu Muhyiddin Yassin, Najib Abdul Razak dan Muhammad Muhd. Taib berjaya menewaskan Pak Lah dan Sanusi Junid.


Pada tahun 1996 beliau menang semula naib presiden UMNO mengalahkan Muhyiddin dengan jawatan Menteri Luar. Pada tahun 1999, beliau dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 2000, beliau disahkan sebagai timbalan presiden UMNO yang baru.


Pada 31 Oktober 2003, beliau menjadi Perdana Menteri yang baru dan pada tahun 2004, beliau disahkan sebagai Presiden UMNO yang baru. Selepas pilihan raya umum 2008, BN gagal mempertahankan kerusi duam pertiga di parlimen. Ini menyebabkan ramai yang mendesak Pak Lah berundur. Dan pada 26 Mac lalu beliau menyerahkan jawatan Presiden UMNO yang baru kepada Najib yang menang tanpa bertanding dan pada 3 April ini beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang baru kepada Najib.


Beliau mencadangkan supaya dihadkan jawatan Presiden UMNO. Pak Lah hanya sempat menjadi Presiden UMNO selama satu penggal sahaja. Maka yang sebaik-baiknya setiap orang menjadi Presiden UMNO selama tiga penggal sahaja. Dua penggal (6 tahun) mungkin tidak cukup bagi seorang Presiden UMNO merancang untuk UMNO. Maka tiga penggal sudah memadai untuk seorang Presiden UMNO berkhidmat.


Di zaman Pak Lah, kerajaan BN lebih terbuka. Siaran langsung parlimen dibolehkan di zaman Pak Lah sedangkan di zaman Dr. Mahathir tidak ada peluang melihat siaran langsung tersebut. BPR diberi nafas baru oleh Pak Lah dengan diberi nama SPRM. Banyak lagi pembaharuan yang dibuat oleh Pak Lah selain mempromosi Islam Hadhari.


Pak Lah sudah dapat bersara dengan lebih tenang kerana menantunya, Khairy Jamaluddin sudah pun dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru. Maka Pak Lah berharap Khiray yang dapat meneruskan dinastinya dalam politik Malaysia.