Khamis, Februari 05, 2009

SERAH KEPADA RAKYAT PERAK


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakan Barisan Nasional (BN) menerima sokongan bekas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berhadapan dengan tuduhan rasuah bukan idea yang baik.


Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, beliau tidak setuju dengan tindakan BN kerana parti tersebut sepatutnya menerima mereka yang benar-benar berkualiti.


''Menerima ADUN yang berhadapan tuduhan rasuah tidak akan mempertingkatkan kualiti parti ketika BN berhadapan dengan masalah kualiti kepimpinan dalam parti," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Sesi Strategi Eksklusif Krisis Kewangan Global anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini semalam.
Dr. Mahathir mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN berjaya membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.


Pembentukan kerajaan baru itu berikutan keputusan tiga wakil rakyat pembangkang iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.


Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO hari ini.
Dengan pengumuman itu, BN kini mempunyai sokongan 31 kerusi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 28 kerusi.


Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.


Dr. Mahathir menjelaskan, sekiranya kedua-dua ADUN itu didapati tidak bersalah dalam kes rasuah selepas diterima oleh BN maka orang ramai akan melihatnya sebagai satu manipulasi.


Tegas beliau, bukan satu idea yang baik dengan membawa orang yang kualitinya teruk.

Seperti kata Menteri Besar, Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Najib tidak boleh umum BN sudah bentuk kerajaan kerana ia belum mendapat perkenan Sultan Perak. Kita masih ingat sewaktu Pakatan Rakyat nak tubuh kerajaan di Perak pada tahun lepas, betapa susahnya kerana ia melibatkan perlembagaan negeri. Dua tiga kali menghadap tuanku barulah dapat perkenan tuanku.


Untuk tubuh kerajaan, BN sanggup buat apa sahaja, bawa orang yang dituduh rasuah menyokongnya dan orang yang tidak ada prinsip seperti Nasaruddin Hashim mengalahkan Ibrahim Ali yang melompat parti. Ibrahim dipanggil juara katak lompat tetapi tidak pernah dalam masa 10 hari saja seperti Nasaruddin.


Oleh itu sebaik-baiknya Sultan Perak berilah perkenan kepada permintaan Menteri Besar untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri. Biarlah rakyat Perak buat keputusan baru siapa yang mereka mahu bentuk kerajaan baru sama ada BN atau PR. Bila diketahui keputusan pilihan raya yang baru, BN dan PR hendaklah menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.


Membentuk kerajaan secara rampas kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang nampak sangat tidak bermoral. Biar rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu. Melantik Menteri Besar baru seperti Datuk Ramly Zahari sehingga pilihan raya umum akan datang belum beri jaminan kerajaan BN akan kekal pada pilihan raya umum akan datang. Tak payahlah lantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah orang Anwar Ibrahim, jika itu yang diterima oleh Sultan Perak bahawa BN sudah bentuk kerajaan tanpa mengadakan pilihan raya.


Kesimpulannya, serahlah kepada rakyat Perak untuk membuat penentuan akhir.