Isnin, Ogos 08, 2016

POLITIK TERENGGANU MENCARI PENYELESAIAN

(sudah disiarkan dalam Berita Minggu semalam)
Oleh Shahbudin Haji Embun
Politik Terengganu yang sepi sejak Mac lalu berkocak kembali apabila Menteri Besar (MB), Ahmad Razif Abdul Rahman membangkitkan pemecatan ADUN KIjal, Datuk Seri Ahmad Said dari Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu.
Ahmad Said tidak berdiam diri. Esoknya di majlis pecah tanah bangunan rumah kedai Umno Bahagian Kemaman di Chukai, Ahmad Said yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman mengkritik Razif secara terbuka dalam ucapannya di majlis tersebut.
Beliau menyalahkan Razif yang memainkan peranan penting untuk  menjatuhkannya sedangkan beliau sudah berjanji dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi Menteri Besar untuk satu tahun sahaja selepas Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi 17 kerusi sahaja pada PRU13.
Dan beberapa hari yang lalu, politik Terengganu bergolak lagi apabila Exco, Ghazali Taib secara terbuka menegur Razif. Yang peliknya dan menjadi persoalan ialah mengapa dia menggunakan akhbar untuk menghentam Razif sedangkan dia boleh menggunakan mesyuarat Exco untuk mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hatinya pada Razif.
ADUN Ajil itu berkata beliau menyampaikan hasrat rakyat sedangkan hasrat itu boleh dikemukakan secara tertutup dan bukannya secara terbuka melalui akhbar. Ada yang memperkatakan,mungkin Ghazali mahu menjadi wira baru. Dan bagi yang sudah lupa, Ghazali Taib adalah salah seorang ADUN yang keluar dari Umno mengikut Ahmad Said pada Mei 2014.Seorang lagi ADUN yang mengikut Ahmad Said ketika itu ialah Adun Bukit Besi, Roslee Daud . Namun ketika-tiganya kemudian membuat pusingan U untuk menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional Terengganu
Ghazali berpendapat Menteri Besar tidak perlu mencadangkan pemecatan Ahmad Said, kerana majlis tertinggi tidak mahu kerajaan Terengganu tergantung  pada kedudukan 16-16.Dalam hal ini Ghazali harus diingatkan, siapakah yang memulakan permainan ini kalau bukan Ahmad Said.
Razif yang terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan Ahmad Said kerana Razif terpaksa mengemudi kerajaan yang lemah. Dalam soal ini ,sepatutnya Ahmad Said memberi sokongan penuh kepada Razif dan bukannya mengemukakan usul undi tidak percaya sebagai menteri besar
Nampaknya Ahmad Said seolah-olah tidak boleh menerima ketentuan dan takdir. Dalam hal ini, ada juga penyokong UMNO Terengganu yang merasakan Ahmad Said sepatutnya bersyukur  kerana berjaya membuktikan dirinya daripada seorang anak kampung, sehingga berjaya dapat jadi ADUN , kemudiannya Exco dan akhirnya memegang jawatan tertinggi sebagai Menteri Besar Terengganu.
Ketika itu  pastinya tidak terlintas di fikiran orang Kemanan, seorang lagi ADUN Kemaman akan menjadi Menteri Besar lagi kerana sebelum itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pernah selama 25 tahun memikul tanggungjawab menerajui  Terengganu dari tahun 1974 sehingga 1999. Dan sebagaimana maklum,kerajaan BN Terengganu kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999 . Dan ada yang merasakan kekalahan ini disebabkan juga kerana rakyat melihat Wan Mokhtar masih bertanding di DUN Chukai pada PRU1999 itu.
Maka ahli Umno yang peteh keting mengundi PAS yang menyebabkan PAS menang 28 kerusi dan BN hanya memenangi empat kerusi pada PRU 1999. BN Terengganu kemudiannya bangkit dan merampas kembali Terengganu pada PRU 2004.
Ketika itu kerusi MB dipegang oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan orang Besut. Maka dominasi orang Kemaman sebagai MB selama 25 tahun berakhir. Tetapi disebabkan beberapa elemen dan isu maka, khidmat  Idris sebagai MB tidak disambung walaupun BN menang pada PRU 2008.
Ketika inilah Ahmad Said dari Kemaman dilantik sebagai Menteri Besar. Maka kerusi Menteri Besar jatuh kepada orang Kemaman semula. Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir merupakan ADUN pertama yang menyokong Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan beliau dilantik sebagai Exco kanan.
Prestasi BN menang tipis pada PRU 2013 menyebabkan Ahmad Said  teruk dihentam oleh penyokong UMNO dan  dikatakan Putrajaya enggan memberikan watikah kepada Ahmad Said untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar. Ketika inilah Ahmad Said meminta beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar untuk satu tahun sahaja.
Perdana Menteri kemudiannya  melantik Ahmad Razif sebagai Menteri Besar baru bila tarikh perjanjian bertulis Ahmad Said berakhir. Tapi beliau cuba meraih simpati rakyat kononnya dipaksa meletakkan jawatan ketika mahu mengadakan majlis perkahwinan anaknya.
Itu semua helah Ahmad Said kerana dikatakan beliau sudah memaksa semua ADUN menandatangani surat tanpa tarikh untuk mengadakan kerajaan campuran dengan PAS. PAS tidak mahu terima Ahmad Said sebagai Menteri Besar walaupun ADUN PAS ditawarkan sebagai Exco. Bagi PAS jika Ahmad Said dikekalkan sebagai Menteri Besar, bermakna PAS seolah-olah bersekongkol dengan Ahmad Said yang merobohkan surau PAS di Bukit Bujal, Kijal.
Mereka masih tidak lupa apa yang Ahmad Said telah lakukan kepada PAS. Rancangan Ahmad Said gagal dan bermakna Razif kekal sebagai Menteri Besar dalam kerajaan BN yang tidak stabil. Sepatutnya Ahmad Said berjiwa besar membantu Razif mengukuhkan Umno Terengganu dan bukan menggoncang kapal yang sedang dialun ombak yang bergelora.
Sebaliknya Ahmad Said telah mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan ini menyebabkan kerajaan BN tidak stabil. Kenyataan PM baru-baru ini amat jelas, bahawa beliau sedang memantau perkembangan di Terengganu  dan pastinya PM akan bertindak tegas dalam menangani masalah ini.
Apapun, Razif sudah bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Terengganu jika Ahmad Said membuat sesuatu yang drastik  dalam sidang DUN pada 8 Ogos ini. Razif sudah tidak ada pilihan dan terpaksa menyerahkan  mandat kepada rakyat semula.