Ahad, April 14, 2019

TIGA KALI BN MENANG PRK BERTURUT-TURUT PETANDA KERAJAAN PH HANYA SEPENGGAL?

SEREMBAN, 13 April (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan hari ini.

Mohamad, 63, yang juga pemangku Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, 60, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan, pada 8.45 malam ini.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali keempat sejak disandangnya pada 2004.

PRK berkenaan menyaksikan seramai 16,446 pengundi atau 79.3 peratus keluar mengundi di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran.

Mohamad dalam sidang media selepas pengumuman itu melahirkan rasa bersyukur memenangi PRK itu yang disifatkan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang mencemarkan proses demokrasi.

“Hari ini kita mendapat keputusan yang selesa dan di luar jangkaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti termasuk parti komponen BN yang bertungkus lumus membantu sepanjang 14 hari tempoh berkempen,” katanya.

Malarvizhi pula berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan berterima kasih kepada mereka yang mengundinya manakala Mohd Nor berkata beliau redha dengan keputusan itu.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA