Ahad, Mei 26, 2019

MENANGANI ISU MATRIKULASI DENGAN LEBIH BERHEMAH


oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Semuanya terpulang pada minda masyarakat hari ini. Sesuatu yang positif jika sentiasa dilihat sebagai negatif, maka semuanya akan terus dianggap sebagai sesuatu yang tidak akan mendatangkan kebaikan.Sebenarnya tidak ada salahnya untuk kita mengkritik akan apa-apa dasar atau isu, namun ianya perlu dilihat pada isu itu semata-mata dan jangan ditambah asam garamnya dengan berlaukkan sentimen perkauman.

Baru-baru ini, Jemaah menteri telah membuat keputusan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi masih mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera. Perlu dingatkan juga bahawa Program matrikulasi yang merupakan kursus pra-universiti ke universiti awam bukan satu-satunya kaedah untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.




Perkembangan yang berlaku ini ekoran daripada saranan beberapa pihak yang mahu kerajaan membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kepada pelajar bukan Bumiputera. Itu sebabnya perkembangan itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana ianya menguntungkan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera.



Apa yang pasti, dengan pertambahan bilangan tempat daripada 25,000 kepada 40,000 kepada bukan Bumiputera, seharusnya telah memberi peluang yang lebih luas kepada semua kaum untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Ini merupakan sesuatu perkembangan yang positif.

Menteri Pendidikan ,Maszlee Malik telah mempertahankan program matrikulasi yang dilihat memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera bagi menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu di mana majikan lebih memilih pekerja yang mahir berbahasa Mandarin.

Kenyataan ini telah mendapat tentangan daripada beberapa pihak. Para pengkirtik menggesa Maszlee Malik supaya jangan merumitkan isu ini dengan mengaitkannya dengan isu lain seperti peluang pekerjaan. Bahkan ada pihak yang turut meminta Maszlee meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan dengan mengaitkan kenyataan Maszlee dengan beberapa isu lain yang tidak ada kena mengena dengan isu matrikulasi. Mereka tidak yakin Maszlee berupaya memikul tanggungjawab yang besar sebagai Menteri Pendidikan.

Sungguhpun begitu, tidak kurang juga yang memuji dan menyokong kenyataan Maszlee. Ramai yang berpendapat bahawa Program Matrikulasi masih perlu diteruskan selagi berlakunya ketidakadilan dan ketidakseimbangan dari sudut peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa keputusan yang dibuat oleh Jemaah menteri itu adalah salah satu usaha negara untuk mencapai agenda nasional iaitu memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi melalui wadah pendidikan terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan profesional.




Dalam salah satu artikel yang disiarkan secara online, terdapat beberapa kajian yang dilaksanakan yang mana, hanya 4 peratus daripada pemohon-pemohon kerja dari kalangan bangsa Melayu dan India dipanggil untuk temuduga di sektor swasta , berbanding 25 peratus untuk kaum lain dengan kelulusan yang sama.




Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Asma juga telah menekankan bahawa , Pendidikan dan peluang pekerjaan sememangnya saling bersangkutan dan inilah adalah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Beliau menegaskan lagi bahawa, tekanan berlaku dalam pelbagai sektor yang selama ini tidak berani didedahkan oleh kita semua.




Beliau juga telah menekankan bahawa sistem pendidikan kita harus menjadi alat perpaduan utama, yang memperkasa masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, serta menjadikan kepelbagaian ini sebagai kelebihan untuk diraikan dan dilestarikan demi kelangsungan negara pada masa hadapan.

Tidak ada salahnya untuk kita terus berbincang tentang isu ini. Namun peru diingatkan juga bahawa perdebatan dan pertikaian isu ini mungkin boleh memberikan kesan dan menjejaskan tumpuan warga pendidik untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan,




Apa yang penting ialah membincangkannya dengan fikiran yang terbuka. Pada masa yang sama juga kita jangan lalai pada matlamat dan isu yang lebih luas dan penting iaitu untuk memperbaiki lagi sistem pendidikan kita hingga ke tahap yang boleh dibanggakan.