Ahad, Julai 04, 2010
ULASAN ZABIDI TERSASAR
Blog Catatan Zabidi menulis Jumaat (25 Jun 2010) dengan tajuk ‘Yahya dan Khazan Selamat’.
Kata Zabidi Saidi (penggendali blog ini), “Nampaknya dua Exco selamat dalam rombakan Exco yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam. Yahya Khatib Mohamad yang engkari arahan Ahmad Said supaya tidak menentang Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dua tahun lepas dalam pertandingan Ketua UMNO bahagian dikekalkan Exco.”
Kata Zabidi lagi, sebaliknya beliau ditukar dari Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam kepada Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita.
Nampaknya Ketua UMNO Bahagian Marang hanya sesuai menjaga kebajikan rakyat sahaja. Kata-kata Zabidi ini mungkin mengguris hati orang tertentu!
Mengenai Exco Penerangan dan Hal Ehwal Agama, Zabidi berkata: “Khazan yang banyak mengkritik Ahmad Said dalam pertemuan semua ADUN dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dikekalkan Exco bagi jawatan yang sama.”
Meneliti apa yang ditulis Zabidi, mengenai Yahya dan Khazan (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat) apakah bermakna kedua-dua mereka ini berada dalam zon bahaya akan digugurkan?
Rasanya Zabidi tersasar jika meramalkan sedemikian kerana tiada dalam perkiraan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk menggugurkan sesiapa.
Kata-kata Zabidi bahawa “Ahmad Said tidak kejam memecat dua orang penentangnya, Yahya dan Khazan. Jadi mereka patut berterima kasih kepada Ahmad Said walaupun mereka menentang arahan Ahmad Said, mereka masih dikekalkan jawatan Exco” tidak sewajarnya dibuat.
Kata-kata seperti ini menggambarkan seolah-olah penentangan serius kedua-dua mereka terhadap Ahmad Said.
Sedangkan hakikatnya mereka berdua tidak sedemikian kerana Zabidi sendiri merngatakan pada pandangan beliau pertukaran jawatan adalah perkara biasa untuk memantapkan lagi Exco yang ada.
Menurut Zabidi, “Ini bermakna KPI semua Exco memuaskan hati Ahmad Said. Jika beliau tidak puas hati, sudah tentu ada Exco yang digugurkan dari jawatan mereka.”
Malah terkaan Zabidi bahawa “nampaknya ramai ADUN biasa yang berangan menjadi Exco terpaksa menggigit jari apabila tiada Exco yang digugurkan dalam rombakan kecil Ahmad Said itu,” juga mungkin tidak benar sama sekali.
Apa yang pasti sehingga semalam (Rabu, 30 Jun 2010), iaitu sehari sebelum berkuatkuasanya pertukaran lima jawatan EXCO seperti diumumkan Menteri Besar, tiada pun tanda-tanda ada bantahan.
“Tidak ada masalah,” jawab Menteri Besar kepada satu soalan wartawan The Star yang bertanyakan apakah ada bantahan terhadap pertukaran berkenaan.
“Tiada masalah. Tidak ada pun kata nak berhenti....well accepted.” Tegas Ahmad Said.
(dipetik dari blog teganuku.blogspot.com)
MB TEGUR WAKIL RAKYAT TAK TURUN PADANG
Menteri Besar Datuk Ahmad Said menegur sikap segelintir wakil rakyat di Terengganu yang jarang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya.
Beliau berkata, sikap seperti itu bukan hanya merugikan wakil rakyat itu sendiri selain tempiasnya akan turut dirasai oleh Umno dan Barisan Nasional khasnya apabila tiba masa pilihan raya kelak.
"Setiap wakil rakyat di negeri ini nafasnya bergantung kepada ahli dan pengundi. Jangan jadi wakil rakyat yang hanya tahu menunjuk muka 10 hari semasa kempen pilihan raya tetapi hilang dalam tempoh lima tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kemaman semalam yang dirasmikan oleh Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Persidangan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Ahmad berkata, setiap wakil rakyat di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu permasalahan rakyat di kawasan mereka termasuk untuk bantuan am dan program keagamaan.
"Jika saya sendiri boleh berdiri enam jam semata-mata untuk menyampaikan e-Book kepada murid sekolah dan luang masa sehingga 12 malam untuk sehari bersama rakyat, saya tidak nampak kenapa wakil rakyat tidak boleh berbuat demikian termasuk luang masa di masjid untuk sembahyang jemaah bersama rakyat," katanya.
Dalam masa yang sama beliau turut menggesa wakil rakyat supaya berusaha lebih keras untuk memastikan sasaran 60 peratus daripada ahli Umno di kawasan mereka mendaftar sebagai pengundi dicapai .
Katanya, ia bagi memastikan wakil rakyat serta parti mampu menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya umum akan datang.
CADANGAN ZAHID WAJAR DISOKONG
Semalam ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mencadangkan supaya semua Pengerusi Perhubungan UMNO di lima negeri ditukar untuk memantapkan lagi UMNO negeri masing-masing.
Menurut Menteri Pertahanan itu usul itu akan dikemukakan dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO tidak lama lagi. Lima negeri ialah Selangor (diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak), Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Pulau Pinang (Dr. Zahid Hamidi), Terengganu (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) dan Kedah (Datuk Seri Shafie Afdal).
Pilihanraya umum dijangka diadakan pada tahun 2013 berdasarkan perlembagaan negara yang menetapkan pilihanraya umum hendaklah diadakan setiap lima tahun sekali. Tetapi di Malaysia biasanya sempat tahun parlimen sudah dibubar. Ini bermakna pilihanraya umum ke 13 akan diadakan pada tahun 2012, lebih kurang satu tahun setengah dari sekarang.
Oleh itu jika UMNO mahu dimantapkan di kelima-lima negeri tersebut, pertukaran Pengerusi Perhubungan hendaklah dilantik segera supaya mereka dapat merangka strategi untuk menawan kembali empat negeri yang kalah iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Kedah. Di terengganu pula BN menang tetapi Datuk Ahmad Said yang dilantik Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru.
Tetapi selepas Najib menjadi Presiden UMNo pada tahun lepas, Ahmad Said diturunkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi perhubungan UMNO berikutan beberapa ADUN yang pro Idris Jusoh membuat bantahan dengan perlantikan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Dengan cadangan Dr. zahid itu yang kebetulan pula diumum di Kemaman yang mana Bahagiannya diketuai oleh Ahmad Said, maka peluang Ahmad untuk mengetuai UMNO Terengganu amat cerah sekali. Tambahan pula krisis UMNO Terengganu yang dicetuskan oleh beberapa ADUN itu sudah pulih. Maka sudah sampai masanya bagi lima negeri ini mempunyai Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru yang semestinya anak tempatan yang akan mengetuai jentera pilihanraya UMNO dan BN pada pilihanraya umum akan datang.
Oleh itu cadangan Dr. Zahid ini amat wajar disokong dan disegerakan oleh majlis tertinggi UMNO demi kepentingan UMNO di lima negeri tersebut. Soal siapa yang dilantik Pengerusi oleh pucuk pimpinan parti tidak harus dipertikai kerana sudah tentu pucuk pimpinan mengambilkira pelbagai aspek sebelum perlantikan Pengerusi baru dibuat.
Langgan:
Catatan (Atom)