Khamis, Mei 27, 2010

IDRIS JALA MEMANG HEBAT


Tidak sia-sia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik bekas CEO MAS, Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga PEMANDU (Unit Prestasi Perlaksanaan).

Pagi tadi beliau telah membentangkan kenapa kerajaan perlu mengurangkan subsidi yang berjumlah RM74 bilion pada tahun lepas. Secara bersahaja tanpa menggunakan rostrum, Idris membuat pembentangan kepada hampir 1,000 orang ang hadir di majlis makmal rasionalisasi subsidi di KLCC.

Katanya, jika kerajaan terus memberi subsidi kepada rakyat akhirnya negara akan jadi bangkrap pada tahun 2019 seperti yang berlaku pada Greece. Oleh itu kerajaan memerlukan persetujuan rakyat untuk mengurangkan subsidi.

Majoriti rakyat bersetuju supaya kerajaan kurangkan subsidi tetapi bukan secara mendadak tetapi dalam masa lima tahun. Idris juga membentangkan langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi dalam bidang minyak, makanan dan sebagainya.

Selepas pembentangan Idris, beberapa ahli panel dijemput mengemukakan pandangan termasuk Pengerusi Khazanah Malaysia, tan Sri Azman Mokhtar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan CEO MAS, Tengku Azmil.

Semua bersetuju supaya subsidi ditamatkan tetapi dalam tempoh yang beransur-ansur sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun. Di antara langkah yang dicadangkan oleh PEMANDU ialah menaikkan harga minyak.

Pada hemat saya, ia bukan langkah bijak. Menaikkan harga minyak tidak menyelesaikan masalah tetapi yang perlu dilihat secara mana kerajaan perlu mengurus subsidi. pernah satu grup mencadangkan langkah untuk mengurus subsidi ini melalui IT di mana harga minyak boleh dibezakan kepada orang kaya ayau orang miskin. Masalah yang berlaku sekarang golongan kaya membeli minyak yang disubsidikan oleh kerajaan. Grup itu telah mencadangkan kepada kerajaan supaya mengguna sistem IT ini yang dapat memberi harga yang berbeza kepada rakyat tetapi kerajaan tidak menggunakan kaedah ini sebaliknya memberi rebat tunai sebanyak RM625 kepada setiap rakyat yang membaharui cukai jalan kenderaan mereka di zaman Pak Lah.

Oleh itu Najib perlu melihat cadangan ini kerana melalui kedah ini harga minyak boleh diturunkan dari harga pasaran malah semua harga barang kawalan seperti gula, tepung dan lain-lain. Dalam pada itu semua ahli panel bersetuju supaya kerajaan tidak perlu memberi subsidi kepada gula kerana ia menyebabkan rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis. Subsudu gula perlu ditarik serta-merta.

Langkah yang dibuat oleh PEMANDU pada hari ini merupakan langkah yang baik dari kerajaan mengambil kira pandangan rakyat. Cuma dikesali bahasa kebangsaan masih lagi diabaikan oleh sebuah jabatan kerajaan. Namun demikian saya ucapkan syabas kepada sikap keterbukaan Idris Jala. Cuma saya tidak bersetuju rebat wang tunai diberi kepada mereka yang memiliki kereta kurang dari 1,000 cc. Saya setuju supaya cukai jalan dihapuskan kepada kenderaan kurang dari 1,000 cc itu sebagai ganti rebat tunai itu.