Ahad, Mei 19, 2019

PENGASAS DNARS SKINCARE DIKEBUMI MALAM TADI

TUMPAT, 18 Mei (Bernama) -- Jenazah pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu, di sini, kira-kira pukul 10 malam tadi.

Kira-kira 300 penduduk termasuk sanak saudara Allahyarham turut hadir pada majlis pengebumian dan selesai sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu jenazah Allahyarham diiringi suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, tiba dari Hospital Pattani di rumahnya pada pukul 6.10 petang sebelum dimandi dan dikafankan.

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal ketika ditemui memberitahu beliau dan isterinya bertolak ke Hatyai kerana ada urusan yang mahu dilakukan oleh arwah.

Beliau berkata, dia mengambil keputusan untuk memandu sendiri kenderaan berikutan pemandunya terpaksa mengambil cuti kerana isteri terlalu sarat mengandung.

"Ketika kejadian arwah tertidur di sebelah saya. Dalam perjalanan saya hanya tersedar apabila isteri terkejut dan dalam beberapa saat menyedari sudah berlaku kemalangan.

Ketika itu saya baru tersedar sudah melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan dan mendapati isteri saya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun ketika mengerjakan umrah sebelum ini isterinya ada bertanyakan soalan...boleh bayangkan ke kalau selepas ini pergi umrah berseorangan

Katanya persoalan itu agak pelik kerana diucapkan arwah tetapi langsung tidak membayangkan isterinya itu bakal meninggalkan mereka sekeluarga di bulan Ramadan ini.

Dalam tragedi pukul 10.30 pagi tadi pengasas produk kecantikan itu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani, Thailand

Difahamkan, ketika kejadian mereka suami isteri dalam perjalanan menyerahkan wang zakat ke salah sebuah sekolah pondok di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA