Isnin, Mei 06, 2013
NAJIB KENA BERI LALUAN KEPADA MUHYIDDIN
Datuk Seri Najib Tun Razak menerima mandat pertamanya daripada rakyat untuk menerajui negara sebagai perdana menteri keenam selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13.
Pakatan Rakyat menguasai baki 89 kerusi, tambahan tujuh kerusi berbanding pada 2008, tetapi pada kali ini, DAP memenangi kerusi terbanyak iaitu 38 manakala PKR kekal dengan 30 dan PAS dengan 21 kerusi.
BN juga menawan kembali Kedah dan mengekalkan Pahang, Perlis, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Johor.
Najib berkata pencapaian BN mungkin lebih baik sekiranya tiada putar-belit dan pembohongan oleh pakatan rakyat dan juga sentimen perkauman yang dimainkan dalam pilihan raya yang telah menimbulkan kebencian dan kemarahan terhadap parti gabungan itu.
Kemenangan BN diterajui Umno manakala Sabah dan Sarawak kekal menjadi "simpanan tetap" BN dengan memenangi 47 kerusi.
Ini masih merupakan saat bersejarah bagi Najib dan negara kerana ia merupakan kali pertama anak bekas seorang perdana menteri berjaya menerajui 13 parti gabungan untuk memenangi pilihan raya umum ini yang merekodkan 13.27 juta pemilih berdaftar.
Najib telah berkempen tanpa mengenal penat lelah di seluruh negara untuk menyakinkan pengundi mengenai transformasi yang berlaku dalam BN dan aku janji dalam manifesto BN yang mendahulukan rakyat dan untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Pengerusi BN itu dan beberapa pemimpin parti komponen telah berkumpul di ibu pejabat BN di Menara Dato Onn di ibu negara untuk menunggu keputusan pilihan raya.
Dalam pada itu, MCA, parti komponen kedua terbesar BN, terus merekodkan kegagalan besar pada kali ini manakala keadaannya lebih teruk lagi bagi Gerakan berbanding pada 2008.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membuat pengumuman yang disiarkan secara langsung di televisyen pada kira-kira 1 pagi apabila BN mencapai majoriti mudah 112 kerusi.
Sejurus selepas itu, Najib muncul dalam siaran secara langsung di televisyen untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat memilih semula BN dan menggesa semua pihak, khususnya pakatan rakyat untuk menerima keputusan itu selaras dengan proses demokrasi negara.
Beliau melahirkan kebimbangan dengan sokongan pengundi Cina yang lari daripada BN dengan menyifatkannya sebagai "tsunami kaum Cina" yang amat tidak sihat bagi negara disebabkan oleh sentimen perkauman yang dimainkan pada pilihan raya ini.
"Demi negara, hanya dasar-dasar sederhana yang harus diterima sebagai dasar negara kita. Saya memang jangkakan ini, tetapi bukanlah sebanyak ini, namun di sebalik peralihan sokongan sebanyak ini, BN tidak tumbang dan akan kekal," katanya pada sidang akhbar.
Katanya pada keseluruhannya keputusan yang dibuat rakyat kali ini menunjukkan trend polarisasi pengundian dan ini membimbangkan pihak kerajaan kerana kalau tidak ditangani dengan sebaik-baiknya boleh menimbulkan ketegangan atau perbalahan dalam negara.
Najib berkata kerajaan seterusnya akan usahakan proses penyatuan kaum dan menolak kefahaman yang keterlaluan atau unsur-unsur perkauman yang tidak sihat dan akan menjurus kepada dasar-dasar yang berpaksi kepada keputusan yang sederhana atau wasatiyah.
Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno, mengambil alih tampuk pemerintahan negara empat tahun lepas pada 2009 daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, setahun selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga buat pertamanya kalinya walaupun tetap menguasai Dewan Rakyat pada 2008.
Najib mengalahkan calon PKR Mohd Fariz Abdul Talib dengan majoriti lebih besar 35,613 undi berbanding 26,464 undi pada 2008 mengatasi lawannya dari PAS, untuk mengekalkan kubu kuatnya di Pekan, kerusi yang dahulunya diwakili bapanya Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan perdana menteri kedua.
Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menang besar di kerusi Parlimen Pagoh, mengalahkan Mohamad Rozali Jamil dengan kelebihan 12,842 undi.
Pemimpin parti komponen BN, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan, masing-masing menang di kerusi Cameron Highlands dan Saratok.
Palanivel, yang kalah di Hulu Selangor pada 2008, menang dengan majoriti 462 undi mengatasi pencabar terdekatnya M. Manogaran (DAP) dalam pertandingan lima penjuru manakala Mawan menang dengan kelebihan 2,081 undi dalam pertarungan tiga penjuru.
Tiga pemimpin parti komponen BN mengalami kekalahan dengan Presiden PPP Datuk Seri M.Kayveas tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pedamar di Perak manakala di Sabah, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu Tan Sri Bernard Dompok dikalahkan di Penampang dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Lui Vui Keong kalah di Sandakan.
MCA, parti komponen kedua terbesar BN, menang hanya tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan hanya 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.
Parti itu mengalami kekalahan menerusi Setiausaha Agung parti Datuk Seri Kong Chong Ha, bekas Menteri Pengangkutan di Lumut manakala bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong di Kampar.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai hanya mampu bertahan dengan majoriti tipis 376 undi ke atas calon DAP Wong Tack di Bentong.
Gerakan menang hanya satu kerusi Parlimen dan tiga DUN. Ia bertanding di 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN.
Dalam pertandingan di 'kerusi panas', bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman kalah kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang di Gelang Patah dengan majoriti 14,762 undi.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kekal gah untuk penggal ketiga di Putrajaya dengan menundukkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, malah dengan majoriti besar 5,541 undi di pusat pentadbiran persekutuan itu.
Di Lembah Pantai, di sini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengalahkan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dengan kelebihan 1,847 undi.
Ulasan saya, prestasi Najib lebih teruk dari prestasi Pah Lah dalam pilihanraya umum 2008. Oleh itu Najib yang membuat pelbagai transformasi gagal memikat hati rakyat. Oleh itu Najib kena berunur dan beri laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM yang baru.
Walaupun pelbagai produk 1Malaysia diperkenalkan Najib, ia masih gagal memenangi pilihanraya dengan majoriti dua pertiga. Oleh itu Najib perlu berundur sebelum didesak ahli-ahli UMNO dengan meletakkan Muhyiddin sebagai calon Presiden UMNo yang baru pada pemilihan November ini.
Langgan:
Catatan (Atom)