Rabu, April 17, 2019

DAH TIGA PRK PH KALAH SIVARASA



KUALA NERUS 15 April - Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menuduh kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hilang sokongan rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, adalah tidak wajar untuk semua pihak membuat kesimpulan sedemikian kerana setiap parti politik mempunyai pengaruh masing-masing.

Beliau yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR menarik perhatian kerajaan PH akan tetap meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat di samping menunaikan janji-janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita tidak boleh nilai daripada satu PRK. PH memang ada majoriti di Dewan Rakyat dan beberapa negeri.

“Ini adalah realiti, walaupun kita memegang majoriti tetapi kita tidak boleh menang di semua kawasan. Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan menang 100 peratus di semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Interaksi Pemimpin bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri Terengganu di Tabung Haji Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (Infra), Datuk Rubiyah Abd. Rahman.

Terdahulu, Sivarasa turut menyampaikan Sijil Kursus Induksi MPKK kepada wakil-wakil daerah.

BN mempertahankan DUN Rantau dalam PRK yang berlangsung kelmarin yang menyaksikan calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

Ulasan saya, nampaknya Sivarasa ketinggalan bas. BN sudah menang tiga PRK berturut-turut dan bukannya baru menang kali pertama di Rantau. Pengundi Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau telah menolak PH maka apa  langkah yang diambil PH untuk menarik semula pengundi Melayu?

BN memang tak akan menang di Sandakan kerana ia kubu DAP jadi kemenangan PH di Sandakan nanti menang sudah dijangka. Kita tunggu PRK baharu di kawasan Melayu nanti sama ada PH dapat diterima orang Melayu atau tidak.