Rabu, Julai 22, 2009

ZAID RENDAHKAN KEWIBAWAAN KU LI


Tindakan bekas Menteri Undang-undang yang kini anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim mengajak Tengku Razaleigh Hamzah menyertai pembangkang sebenarnya cuba merendah-rendahkan kewibawaan veteran Umno itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata ini kerana Tengku Razaleigh bukan sembarang orang sebaliknya merupakan seorang pejuang parti Umno.


"Beliau menjadi pengasas parti sejak dari dulu lagi, ini macam Zaid merendah-rendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh, walaupun beliau tidak berjawatan tetapi beliau masih aktif dan cergas (dalam Umno)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia semalam.


Beliau menegaskan Tengku Razaleigh merupakan satu daripada sebab Umno mendapat kemenangan moral pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di Kelantan pada 14 Julai lepas apabila calon Barisan Nasional (BN) kalah tipis dengan majoriti 65 undi kepada PAS.


"Jadi saya fikir, Zaid kena hormatlah, dia sudah masuk PKR tidak mengapa," katanya mengulas pelawaan Zaid supaya tokoh politik tersohor Umno itu yang juga anggota Parlimen Gua Musang menyertai parti pembangkang yang dibuat melalui blognya.