Rabu, Januari 12, 2011

KISAH SEORANG DATUK


Pagi semalam saya pergi ke The Mall. Saya ternampak Datuk Haji Mohamed Rahim Husin sedang minum seorang di Hotz Cafe. Dia pelawa saya minum. Dah lama saya tidak temui beliau yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Kini beliau sudah bergelar Datuk, menerima pingat DMIP daripada Sultan Pahang.Saya kenali beliau sejak tahun 1993 di Kemaman. Ketika itu beliau bertanding jawatan ketua pemuda UMNO Bahagian menentang ketua pemuda, Nazri Salleh yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad)dan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said (Menteri Besar kini). Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ahmad Said menang.

Pada tahun yang sama beliau menentang ADUN Air Putih, Haji Harun Hassan bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian Kemaman. Dalam pertandingan dua penjuru itu, beliau tewas tipis.

Pada tahun 1995, beliau menangi jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 1998, beliau kalah mempertahankan jawatannya itu. Bagaimanapun pada tahun 2000, beliau dipanggil Ahmad Said untuk menentang pasukan pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali yang juga ADUN Kemasik.

Rahim mencadangkan kepada Ahmad Said supaya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dipanggil balik dari Kuala Lumpur untuk menyertai pasukan Ahmad Said menentang pasukan Abu Bakar Ali. Sebelum itu Ahmad Shabery tewas dalam pertandingan ketua pemuda pada tahun 1998. Maka pertandingan dua pasukan ini diketuai oleh Abu Bakar menentang Ahmad Said bagi jawatan ketua bahagian; Nazri Salleh menentang Ahmad Shabery Cheek bagi jawatan timbalan ketua bahagian dan Haji Shahbudin Maidin menentang Haji Rahim Husin bagi jawatan naib ketua bahagian.

Pasukan Ahmad Said menang besar termasuk menyapu bersih 19 kerusi dari 20 kerusi ahli jawatankuasa bahagian. Hanya Tuan Kechil Tuan Tengah seorang yang menang ahli jawatankuasa bahagian dari pasukan Abu Bakar Ali.

Berikutan kemenangan itu Haji Rahim dilantik Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih. Menjelang pilihanraya umum 2004, dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya, Haji Rahim kehilangan jawatan pengerusi penyelaras DUN Air Putih. Beliau hampir menjadi calon BN bagi kawasan DUN Air Putih tetapi parti memilih ketua pemuda bahagian, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebagai calon BN di DUN Air Putih.

Pada tahun 2008, Wan Ahmad Nizam digugurkan sebagai calon BN tetapi beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Besar baru (Ahmad Said). Kali ini Wan Ahmad Nizam menentang Haji Rahim yang mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga. Haji Rahim tewas dalam pertandingan itu. Sejak itu beliau sudah tawar hati dengan politik.

Pada tahun lepas, Haji Rahim menunaikan fardhu haji buat kali pertama di Mekah. Entah macam mana dia terserempak dengan Ahmad Said di Padang Arafah. Mereka yang sudah lama tidak bertemu empat mata berbincang lama di Padang Arafah itu.

Kini Haji Rahim sudah lupakan politik. Beliau sibuk berniaga di Kuala Lumpur dan kini beliau ada projek di Sabah. Orang Sabah lebih menghargainya.Sebab itu beliau banyak berulang-alik antara Kuala Lumpur dengan Kota Kinabalu.

Bercakap dengan beliau semalam di The Mall, beliau menasihati saya supaya amalkan solat dhuha setiap hari. Katanya, rezeki datang dari Allah. Beliau lebih banyak bercakap soal agama. Tidak sia-sia beliau mempunyai title Haji. Semoga rezeki Datuk Haji Rahim Husin semakin melimpah selepas ini.