Sabtu, Mei 02, 2009

DR KHIR SEMAKIN LANTANG


Sebulan sesudah pertandingan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya berpeluang menemui salah seorang calon yang kalah, Datuk Seri Dr. Khir Toyo di pejabatnya di Glemanrie, Subang Khamis lalu.



Ini adalah kali kedua saya berpeluang menemubualnya. Kali pertama sebulan sebelum pertandingan pada 25 Mac lalu. Dalam wawancara kali pertama, beliau banyak bercakap terus terang. Beliau kalah tipis di tangah ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Ramai yang mengharapkan beliau menang dalam pertandingan tiga penjuru itu di antara Khairy-Dr.Khir-Datuk Mukriz Mahathir.



Ramai yang bosan dengan pertelingkahan antara Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad badawi, merasakan mengundi Dr. Khir dapat menyelesaikan masalah ini yang mana jika Khairy menang, Dr. Mahathir kecil hati dan jika Mukhriz menang, Pak Lah kecil hati. Mereka mengaggap Dr. Khir adalah calon alternatif yang dapat meredakan keadaan. Tetapi kemenangan berpihak kepada Khairy. Walaupun menang, Khairy berada di luar kabinet sedangkan yang kalah, Mukriz dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mengulas ketiadaan jawatan Khairy, Dr. Khir berkata jika beliau menang pun, beliau menolak tawaran berada dalam kabinet. Beliau adalah ADUN Sungai Panjang dan Ketua Pembangkang dalam DUN Selangor. Andainya beliau menanag dan dilantik Senator untuk dilantik menteri atau timbalan menteri mewakili kuota ketua pemuda, beliau enggan kerana katanya, "Sebagai ketua pemuda lebih baik tak ada jawatan supaya lebih mudah menegur dasar kerajaan".


Dr. Khir tak nampak Khairy bersikap lantang sehingga ini. Mungkin Khairy masih menunggu masa yang sesuai untuk bersikap lantang menegur beberapa dasar baru yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.



Inilah kali pertama Dr. Khir tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO setelah tewas dalam pertandingan ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau menang majlis tertinggi UMNO di tangga pertama. Biasanya pemenang majlis tertinggi UMNO nombor satu akan menang dalam pertandingan naib presiden UMNO berikutnya tetapi Dr. Khir ukur baju di badan sendiri. UMNO Selangor yang diterajuinya sudah kalah dalam pilihan raya umum 2008. Maka beliau berundurbertanding ketua pemuda yang juga setaraf dengan naib presiden UMNO.



Tetapi percubaan pertamanya ini gagal. Kegagalan ini tidak mematahkan semangatnya kerana sebagai ketua pembangkang di Selangor, Dr. Khir tetap mampu bersuara lantang. Beliau kesal dengan pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mana kementerian ini amat banyak membantu orang Melayu.



"Jika MECD dianggap sebagai kementerian yang pro Melayu apa salahnya dilantik dua timbalan menteri dari orang China dan India di kementerian tersebut kerana kemiskinan juga banyak terdapat di kalangan bukan Melayu?," soal beliau.



Beliau juga kurang setuju dengan keputusan kabinet yang memutuskan bahawa anak-anak kekal dalam agama asal jika bapa atau emaknya memeluk Islam.



"Saya rasa kabinet tak perlu buat keputusan begini. Biar soal status anaknya sama ada kekal dalam agama asal atau tidak ditentukan oleh mahkamah," tegasnya lagi.



Menyentuh tentang liberalisasi, beliau berkata ia adalah langkah yang baik tetapi ia hanya membuka tingkap dan tidak membuka pintu.



Beliau mengalu-alukan perlantikan Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor kerana Selangor adalah negeri paling penting di Malaysia.



"Jadi dengan Presiden UMNO sendiri menerajui UMNO Selangor, ia memberi kelebihan kepada BN untuk menawan semula Selangor dalam pilihanraya umum akan datang. Dengan Presiden sendiri di barisan hadapan serta dengan peruntukan yang banyak, saya yakin BN mampu menawan semula Selangor," katanya lagi.



Beliau percaya walaupun Najib sibuk dengan urusan negara tetapi sebagai pemimpin yang mahu melihat Selangor kembali ke pangkuan BN, sepatutnya usaha menawan negeri itu lebih mudah.



Beliau berharap dalam tempoh enam bulan ini lebih banyak perubahan yang bakal dibuat oleh UMNO, jika tidak, katanya, BN akan hanyut dalam pilihanraya umum akan datang.



UMNO perlu buat perubahan seperti menghapuskan kuota pencalonan dan menambah bilangan naib presiden. Dari dulu sampai sekarang sudah 63 tahun UMNO ada tiga orang naib presiden.



"Mungkin bilangan naib presiden boleh ditambah menjadi lima orang dan ahli majlis tertinggi UMNO, 30 orang supaya lebih ramai berpeluang menajdi pemimpin di peringkat negara," katanya lagi.



Serentak dengan itu Dr. Khir berharap Biro Penerangan UMNO lebih agresif menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam blog-blog yang bercambah. Jika UMNO gagal menjawabnya, Dr. Khir berkata orang akan lebih percaya kepada blog. Oleh itu katanya lagi jangan pandang ringan kepada pengaruh blog yang lebih diminati oleh generasi muda.



Beliau berharap Khairy selaku ketua pemuda UMNO yang baru dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik golongan muda untuk menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.