Sabtu, Oktober 18, 2008

MCA TERIMA PEMIMPIN YANG ADA SKANDAL


Kemenangan Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat bagi jawatan Presiden MCA yang baru mengalahkan Datuk Chua Jui Meng tidaklah mengejutkan. Sebagai menteri, beliau mudah menang kerana beliau ada kuasa untuk diberi kepada para perwakilan.

Ong dapat 1,429 undi manakala Chua mendapat 917 undi. Ong menang dengan majoriti 312 undi. Yang mengejutkan sudah tentu kemenangan Datuk Dr. Chua Soi Lek, bekas Menteri Kesihatan yang meletakkan jawatan awal tahun ini kerana skandal seksnya.

Dr Chua mendapat 1115 undi mengalahkan pencabar terdekat, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ong Ka Chuan yang juga abang kepada bekas Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting. Dr Chua menang dalam pertandingan empat penjuru itu.

Ini bermakna perwakilan MCA boleh menerima pemimpin yang terang-terang terlibat dalam skandal seks. Dr. Chua mengaku bahawa cd yang disebarkannya kepada umum ialah dirinya yang terlibat dalam skandal seks.
Bagi MCA, pemimpin yang tidak ada moral tidak perlu jadi soal kerana perempuan, judi dan arak adalah budaya orang Cina. Selama ini Dr Chua mendakwa beliau jadi mangsa konspirasi orang yang mahu menjatuhkannya sebagai menteri. Jadi dengan kemenangan ini beliau boleh mendabik dada bahawa perwakilan tetap menerimanya walaupun terbabit dalam skandal seks.
Saya teringat kepada kisah Sukarno yang melawat Russia pada tahun 60an dahulu. Apabila KGB mengugutnya untuk menyebarkan videonya tidur dengan perempuan Russia, Sukarno secara selamba menjawab bahawa rakyat Indonesia bangga melihat presidennya meniduri mat salleh.
Bagaimana BN mahu menang pilihan raya akan datang jika MCA mencalonkan semula Dr Chua yang ada skandal sebagai calon BN? Justru itu belum tentu Dr Chua dapat jadi calon walaupun beliau adalah nombor dua dalam MCA.

MAJORITI AJK KEMAMAN AHLI PERNIAGAAN



Kekalahan Rahim Husin bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman di tangan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tidaklah mengejutkan. Beliau kalah 16 undi kepada bekas ketua pemuda bahagian tersebut.

Seperti yang saya kata dari awal, perwakilan pilih Wan Ahmad Nizam kerana beliau adalah setiausaha politik Menteri Besar. Perwakilan pilih orang yang ada jawatan dalam kerajaan.
Setelah dua penggal berkhidmat sebagai naib ketua, Rahim kena berehat pula kali ini biarpun beliau selaku pengerusi biro keahlian UMNO berjaya meningkatkan keahlian UMNO di Kemaman sehingga UMNO Kemaman terpilih sebagai bahagian yang mempunyai keahlian baru yang tertinggi di Malaysia.

Rahim mendapat 270 undi manakala Wan Ahmad Nizam mendapat 286 undi. Seperti yang saya ramal sebelum ini, siapa sahaja yang menang, akan menang dengan majoriti undi yang kecil sahaja. Hampir separuh perwakilan mengundi Rahim.
Ini bermakna ketua bahagian, Datuk Ahmad Said tidak boleh pandang ringan kepada pengaruh Rahim. Sewajarlah beliau melantik Rahim sebagai ahli jawatankuasa bahagian sebagai menghormati kehendak hampir 50 peratus orang perwakilan.

Di kalangan 20 AJK bahagian, sembilan muka baru dipilih di mana empat adalah bekas AJK dilantik iaitu Rajik Sidek (265 undi), Haji Ngah Ismail (263 undi), Hassan Ali (256 undi) dan Esah Othman (326 undi) manakala lima muka yang baru kali menang kali ini ialah ADUN Kemasik, YB Ir. Rosli Othman (397 undi), bekas calon Kemasik yang digugurkan dari bertanding baru-baru ini, Razilah Wahab (249 undi), Kamarizam Harun (242 undi), Wan Nordin (226 undi) dan bekas naib ketua pemuda bahagian, Haji Mustafa Abdul Rahman (304 undi) yang membuat come back semula setelah borang pencalonannya tak sempat dihantar pada pemilihan 2004 yang menyebabkan beliau tidak dapat bertanding.

11 muka lama yang berjaya mempertahankan jawatan mereka ialah ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera (438 undi), Wan Hisham Wan Abdul Hamid (354 undi), Rosli Ahmad (353 undi), Harun Hassan (341 undi),Tuan Kecil Tuan Tengah (353 undi),Shahul Hamid (318 undi),Bahari Abdullah (280 undi), Yahya Mamat (276 undi), Nazri Salleh (269 undi), Ahmad Mizani (264 undi) dan Che Ku Maznah Che Ku Awang (253 undi),

Sekali lagi DUN Chukai menguasai AJK bahagian seramai tujuh orang iaitu Datuk Mohamed Awang tera, Wan Hisham Wan Abdul Hamid, Rosli Ahmad, Esha Othman, Shaul Hamid, Nazri Salleh dan Cke Ku Mazah Che Ku Awang. Manakala DUN Air Putih diwakili lima orang AJK iaitu Tuan Kecil, Harun Hassan, Bahari Abdullah, Kamarizan Harun dan Wan Nordin.

DUN Kijal diwakili empat orang AJK iaitu Yahya Mamat , Rajik Sidek , Haji Ngah Ismail dan Hasan Ali. Begitu juga DUN Kemasik diwakili empat orang iaitu Ir. Rosli Othman, Haji Mustafa Abdul Rahman, Ahmad Mizani dan Razilah Abdul Wahab.

Pagi ini pelbagai senarai 20 AJK diedarkan kepada 556 orang perwakilan yang kononnya direstui oleh YB ADUN masing-masing yang menyebabkan beberapa calon kalah seperti setiausaha bahagian, Zahari Said dan bendahari bahagian, Ghani Zahari.
Pasukan yang kononnya pro kepada Menteri Besar berjaya mencantas Zahari yang dikaitkan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ghani yang dikatakan menyokong Datuk Mohamed Awang Tera dalam pemilihan Menteri Besar baru-baru ini. Malah kekalahan Rahim juga dikatakan dikaitkan dengan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh. Kebetulan Zahari dan Rahim adalah berasal dari Besut. Zahari memang rapat dengan Idris. Setiap kali Idris datang ke Kemaman, rumah Zaharilah menjadi tempat persinggahan Idris.

Perwakilan memilih dua orang pemeriksa kira-kira baru iaitu Ibrahim Abas (298 undi) dan Noraini Abdul Rahman (222 undi), Kedua-dua penyandang jawatan kalah iaitu Wan Jasni Mansor (220 undi) dan Hamzah (145 undi). Manakala seorang lain calon, Mohd. Nor Ibrahim mendapat 186 undi.

Tujuh orang G7 yang terpilih ke perhimpunan agung UMNO Mac depan ialah Datuk Mohamed Awang Tera(426 undi), ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar (421 undi), Ir. Rosli Othman (365 undi), Tuan Kechil Tuan Tengah (275 undi), Rosli Ahmad (273 undi), Haji Ngah Ismail (204 undi) dan Haji Mustafa Abdul Rahman (197 undi).

Majoriti AJK yang menang ialah ahli perniagaan (12 orang). Sejauh mana politik wang berleluasa dalam pemilihan kali ini, hanya perwakilan yang tahu. Saya diberitahu ada seorang calon yang habiskan wang hampir RM10 ribu tetapi tewas merebut jawatan AJK. Termenung calon ini kerana kena main oleh para perwakilan. Ada yang ambil wang, tetapi tidak beri undi kepadanya.
Yang menariknya, kali ini para perwakilan memenangkan dua calon wanita sebagai AJK iaitu Che Ku Maznah dan Esah Othman. Manakala terdapat satu pasangan anak dan ayah dalam AJK kali ini bekas ADUN Air Putih, Harun Hassan dengan anaknya, bekas AJK pemuda yang habis umur pemudanya, Kamarizam. Dan ada pula pasangan adik beradik dalam AJK kali ini iaitu Naib Ketua Bahagian yang baru, Wan Ahmad Nizam dengan adiknya Wan Hisham.

BERITA TERKINI

UMNO Bahagian Kemaman yang sedang bersidang sekarang mencalonkan Najib untuk jawatan Presiden UMNO dan Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Manakala untuk tiga jawatan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin, Shafie Afdal dan Syed Hamid Albar dicalonkan.

Para perwakilan kini sedang membahaskan ucapan penangguhan sementara menunggu keputusan pertandingan Naib Ketua UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian yang dijangka diketahui pada jam 5 petang ini.

MCA MULA TUNJUK BELANG


Apa lagi MCA mahu? Pak Lah sudah banyak beri muka kepada MCA. Walaupun prestasi MCA paling buruk dalam sejarah pilihan raya lalu, MCA tetap dapat empat kerusi menteri.

Bekas ketua pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang membuat ucapan terakhir dalam perhimpunan pergerakan pemuda itu semalam mencadangkan supaya wujudkan satu lagi jawatan timbalan pengerusi BN dan berikanlah kepada MCA.

MCA hanya menang 15 kerusi sahaja iaitu Alor Star, Kampar, Lumut, Tanjung Malim, Raub, Bentong, Pandan, Alor Gajah, Tanjong Piai, Kluang, Tebrau, Labis, Kulai, Air Hitam, Tebrau dan Gelang Patah dan semua kerusi yang dimenangi oleh MCA itu adalah majoriti kerusi Melayu.

UMNO rela korbankan kerusi mereka kepada MCA atas semangat setiakawan. Kerusi MCA tanding di kawasan majoriti Cina semuanya kalah. Oleh itu MCA jangan cakap banyak. Pastikan semua kerusi Cina ditawan dari DAP, barulah boleh minta jawatan timbalan pengerusi BN.

Adakah bila jawatan itu diberi kepada MCA, MCA mampu merampas kembali kerusi DAP? Oleh itu tak perlulah berangan nak jawatan tinggi. Tunjukkanlah prestasi anda sebelum menuntut sesuatu.

Pak Lah pula jangan layan tuntutan ini. Banyak tuntutan bukan Melayu yang Pak Lah ikut sebelum pilihan raya lalu tetapi kaum Cina tetap mengundi DAP. Oleh itu janganlah kita jadi orang yang sentiasa bertolak ansur. Akhirnya orang Melayu yang rugi.

MUSTAPHA BARU SEDAR GEJALA POLITIK WANG


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapha Mohamed berkata terdapat peningkatan kepada politik wang dalam pemilihan UMNO kali ini.

Katanya lagi, jika ia tidak dibendung, ia akan menjahanamkan UMNO. Nampaknya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu baru sedar bahawa politik wang sudah jadi satu budaya dalam UMNO.

Kadangkala kita tidak boleh salahkan kepada calon. Perwakilan yang minta wang. Ia bermula dengan proses pencalonan lagi. Calon yang nak bertanding hulur wang kerana diminta wang oleh ketua cawangan. Kalau tak hulur, tak dapat pencalonan. Saya tidak buat tuduhan kerana saya pernah mengalaminya. Tetapi kita harus ingat bahawa tidak semestinya kita hulur wang, kita dapat pencalonan.

Kalau kuota pencalonan adalah punca berlakunya politik wang, maka hapuskanlah kuota itu. Tetapi kalau nak hapus, hapuskan semua jangan seperti kata Shahidan Kassim supaya hapuskan kuota untuk Naib Presiden dan Majlis Tertinggi sahaja. Katanya, untuk presiden dan timbalan presiden tak perlu hapuskan.

Shahidan nak tanding jawatan Naib Presiden UMNO. Sehingga hari ini, beliau baru dapat tiga pencalonan. Beliau perlukan 16 pencalonan lagi untuk cukup kuota. Jadi dia cadangkan supaya hapuskan kuota untuk Naib Presiden. Bagaimana pula Ku Li? Ku Li nak bertanding juga. Bagaimana dengan Ali Rustam? Muhammad Muhd. Taib? Mereka berdua nak bertanding juga. Jadi kalau nak hapuskan kuota, hapus untuk semua jawatan.
Biar Najib menang dalam gelanggang. Baru anak jantan dapat mengalahkan Ku Li. Ini menang tanpa bertanding kerana bahagian takut nak calonkan Ku Li takut digam oleh Najib bila Najib jadi Presiden UMNO nanti.

Inilah budaya UMNO. Nak dapatkan pencalonan, kena hulur. Nak dapatkan undi, kena hulur lagi. Yang sedihnya para perwakilan ambil peluang berniaga. Kalau si A bagi RM100, belum tentu undinya diberi kepada A kerana si B beri lebih tinggi, RM200.

Sejak pemilihan cawangan Julai lalu hingga pemlihan bahagian bulan ini, entah berapa banyak wang sudah mengalir di antara calon dengan para perwakilan di 191 Bahagian UMNO di seluruh Malaysia. Itu baru wang beli undi. Belum masuk wang minyak kereta, wang makan minum, wang penginapan dan wang kepada ejen-ejen yang berkempen kepada calon. Alangkah mewahnya para perwakilan UMNO setiap tiga tahun sekali.

AWALKAN PEMILIHAN PADA DISEMBER TETAPI PERALIHAN KUASA TETAP MAC 2009


Saya pernah pertikaikan dalam blog ini kenapa Pak Lah perlu tangguh perhimpunan agung kepada Mac 2009 sedangkan beliau tidak bertanding? Kalaulah penangguhan itu hanya bertujuan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib, ia tidak perlu ditangguhkan.

Perhimpunan tetap boleh diadakan pada 17 Disember 2008. Selepas Najib jadi Presiden UMNO selama tiga bulan, jawatan Perdana Menteri bolehlah diserah kepada Najib pada Mac 2009. Hal yang sama berlaku pada tahun 1981. Selepas Dr. Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO pada 26 Jun 1981, Hussein Onn menyerahkan jawatan Perdana Menteri sebulan kemudian.

Jarak antara perhimpunan Disember 2008 dengan Mac 2009 hanya tiga bulan. Jadi Najib kena sabar tiga bulan untuk jadi Perdana Menteri walaupun beliau sudah jadi Presiden UMNO. Kalau Dr. Mahathir boleh sabar selama satu bulan sebelum jadi Perdana Menteri, maka takkan Najib tak boleh sabar juga. Oleh itu teruskanlah peralihan kuasa pada Mac 2009 nanti.

Oleh itu sungutan Muhyiddin semalam bahawa kempen lima bulan terlalu lama memang benar walaupun dia tidak membangkitkannya dalam mesyuarat khas majlis tertinggi baru-baru ini. Kenapa perlu sekarang beliau bangkitkannya selepas dia jauh meninggalkan Ali dan Muhammad dari segi pencalonan?

Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong sungutan Muhyiddin itu. Katanya, tempoh kempen pemilihan UMNO yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah menyebabkan gejala politik wang dan fitnah memfitnah berleluasa. Atau mungkin Zahid bimbang dengan pengedaran buku mengenai dirinya yang memukul seorang pemuda akan menjejaskan undinya kalau tempoh kempen terlalu lama?

Kalau majlis tertinggi bersetuju dengan tarikh asal perhimpunan agung UMNO iaitu Disember 2008, Pak Lah tak perlu berhenti awal sebagai Perdana Menteri. Biarlah dia serahkan jawatan itu kepada Najib pada Mac 2009 seperti mana kehendaknya. Itu kan lebih baik kerana calon tidak letih mengeluarkan wang walaupun ada calon khuatir politik wang tetapi calon yang sama hulur wang kepada para perwakilan.

DR. KHIR TOYO NAIK BOSAN DENGAN UMNO


Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Khir Toyo mendakwa dipermainkan oleh dua bahagian pergerakan pemuda UMNO ketika proses mencalonkan pemimpin untuk bertanding jawatan ketua pergerakan pemuda umno Malaysia.

Katanya, dua bahagian iaitu Gelang patah di Johor dan Padang Terap di Kedah.

Katanya, adakah patut mereka menjalankan pengiraaan dengan hanya mengangkat tangan sedangkan jumlah perwakilan tidak dikira terlebih dahulu bagi memastikan jumlah yang diterima oleh calon-calon sama dengan jumlah perwakilan.

Beliau kata kalau macam ini beliau naik bosan dengan UMNO kerana hak beliau untuk bertanding dinafikan kerana jumlah undi yang diterimanya oleh beliau lebih tinggi daripada calon lain tetapi namanya tidak diumumkan sebagai pemenang.

Sungutan Dr. Khir bukanlah perkara baru. Sepatutnya majhs tertinggi membuat ketetapan untuk mengadakan undi secara sulit kepada semua pencalonan sama ada untuk jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib presiden, ahli majlis tertinggi dan pemeriksa kira-kira.

Bila semua calon yang bertanding kalah secara undi sulit mereka puas hati, kerana itu kehendak para perwakilan UMNO bahagian yang bersidang. Cara undi akan tangan memang tidak telus. Oleh itu Dr. Khir perlu bangkitkan soal ini dalam mesyuarat majlis tertinggi akan datang. Ia mungkin boleh dilaksanakan dalam pemilihan tiga tahun akan datang.