Jumaat, April 06, 2018

SEMUA NGO DI CAMERON HIGHLANDS MAHU KAYVEAS WAKILI CALON BN



KUALA LUMPUR 6 April - Penduduk Cameron Highland daripada pelbagai lapisan masyarakat, mahukan wakil pilihan mereka diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Lebih 50 penduduk mewakili beberapa buah Persatuan Penduduk; Persatuan Kuil dan Tokong; Persatuan Peniaga dan Pekebun tempatan, menzahirkan solidariti dan mendesak supaya Tan Sri M. Kayveas dicalonkan bagi kerusi Parlimen P078 itu.


Wakil Pesatuan Pekebun Cameron Highland, Edwin Tang berkata, selain akan menyokong penuh, mereka turut menjamin setiap undi diberikan untuk Presiden myPPP itu, kerana jasa dan baktinya selama ini telah membantu kelancaran warga setempat.

Katanya, sebagai anak jati Blue Valley, Kayveas juga sudah pun memahami keperluan penduduk di sini yang amat inginkan seorang calon dekat di hati.

“Sebagai anak tempatan, beliau turut disenangi penduduk, termasuk orang Asli, peniaga serta persatuan di sini.

“Pelbagai bantuan berupa kewangan, teknikal dan peralatan turut diberikan kepada yang memerlukan tanpa kira masa, keprihatinan pemimpin begini kami mahukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Santai Makan-Makan di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Hadir sama wakil Tok Batin Sungai Tiang, Wahab Mat; wakil Tok Batin Batin Sungai Ruil, Bahau Baghran dan Harvinder Singh, mewakili Gabungan Badan Bukan Kerajaan di Cameron Highlands.

Menurut Edwin, cara kepemimpinan Kayveas juga dihargai kerana beliau sering tampil membela nasib rakyat dan ada bersama dalam setiap situasi yang dilalui penduduk.

“Kami mahu Kayveas menjadi calon BN di sini kerana beliau komited dan sering turun padang dalam program dibuat sejak beberapa tahun ini, baik aspek bantuan, kebajikan dan aktiviti sukan diberikan perhatian,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN kerana melantik Kayveas berkhidmat di parlimen itu beberapa tahun yang lalu


PAKATAN HARAPAN MUNGKIN GUNAKAN LOGO PKR UNTUK PERDAYAKAN ORANG MELAYU



KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mungkin menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai strategi untuk 'memperdaya' orang Melayu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau menarik perhatian bahawa DAP berkata ia tidak akan menggunakan logonya sendiri dalam PRU14 manakala logo Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin menyebabkan pengundi Cina menjauhkan diri kerana imej Islamnya, jadi yang tinggal hanyalah logo PKR.

"Penggunaan logo PKR sebagai logo bersama adalah strategi untuk 'memperdayakan' orang Melayu supaya mempercayai bahawa pakatan itu telah menjadi lebih Melayu," katanya menerusi catatan di laman blog di sskeruak.blogspot.my.

Salleh seterusnya berkata pemimpin pakatan pembangkang dan beberapa penganalisis politik telah menyatakan bahawa 'Tsunami Cina' yang bermula pada 2008 telah memuncak pada 2013.

"Ini bermakna pakatan pembangkang lebih kurang sudahpun memaksimumkan asas sokongan Cina dan jika mereka mahu menang lebih daripada 80 kerusi Parlimen tanpa bantuan PAS, maka ia harus berlatarbelakangkan 'Tsunami Melayu'," katanya.

Menurut Salleh, mewujudkan 'Tsunami Melayu' sepatutnya menjadi peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ada berkata ini gagal berlaku.

"Dan tanpa 'Tsunami Melayu', pencapaian pakatan pembangkang mungkin lebih buruk berbanding pilihan raya umum 2013, apatah lagi memenangi 120 kerusi Parlimen yang mereka sasarkan," katanya.

-- BERNAMA