Jumaat, April 06, 2018
SEMUA NGO DI CAMERON HIGHLANDS MAHU KAYVEAS WAKILI CALON BN
KUALA LUMPUR 6 April - Penduduk Cameron Highland daripada pelbagai lapisan masyarakat, mahukan wakil pilihan mereka diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Lebih 50 penduduk mewakili beberapa buah Persatuan Penduduk; Persatuan Kuil dan Tokong; Persatuan Peniaga dan Pekebun tempatan, menzahirkan solidariti dan mendesak supaya Tan Sri M. Kayveas dicalonkan bagi kerusi Parlimen P078 itu.
Wakil Pesatuan Pekebun Cameron Highland, Edwin Tang berkata, selain akan menyokong penuh, mereka turut menjamin setiap undi diberikan untuk Presiden myPPP itu, kerana jasa dan baktinya selama ini telah membantu kelancaran warga setempat.
Katanya, sebagai anak jati Blue Valley, Kayveas juga sudah pun memahami keperluan penduduk di sini yang amat inginkan seorang calon dekat di hati.
“Sebagai anak tempatan, beliau turut disenangi penduduk, termasuk orang Asli, peniaga serta persatuan di sini.
“Pelbagai bantuan berupa kewangan, teknikal dan peralatan turut diberikan kepada yang memerlukan tanpa kira masa, keprihatinan pemimpin begini kami mahukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Santai Makan-Makan di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Hadir sama wakil Tok Batin Sungai Tiang, Wahab Mat; wakil Tok Batin Batin Sungai Ruil, Bahau Baghran dan Harvinder Singh, mewakili Gabungan Badan Bukan Kerajaan di Cameron Highlands.
Menurut Edwin, cara kepemimpinan Kayveas juga dihargai kerana beliau sering tampil membela nasib rakyat dan ada bersama dalam setiap situasi yang dilalui penduduk.
“Kami mahu Kayveas menjadi calon BN di sini kerana beliau komited dan sering turun padang dalam program dibuat sejak beberapa tahun ini, baik aspek bantuan, kebajikan dan aktiviti sukan diberikan perhatian,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN kerana melantik Kayveas berkhidmat di parlimen itu beberapa tahun yang lalu