Rabu, Ogos 06, 2014
BN SELANGOR HARUS AMBIL KESEMPATAN SELESAI ISU RAKYAT
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor harus
mengambil kesempatan untuk membuktikan kemampuannya menyelesaikan isu rakyat
ketika kerajaan Selangor berdepan krisis membabitkan Menteri Besar Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim, kata seorang pemerhati politik.
Zakhir Mohamed berkata sekarang adalah masa paling sesuai untuk pimpinan
BN negeri memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan
meletakkan keselesaan dan kepentingan rakyat negeri itu sebagai keutamaan.
"Kemelut politik dalaman PKR secara tidak langsung menjejaskan
pentadbiran Selangor, yang akan turut dirasai rakyatnya ketika mereka
mahu pemimpin yang dipilih menjaga kebajikan rakyat seperti menangani krisis
air.
"Ketika inilah pemimpin BN harus memainkan peranan itu (menyelesaikan
masalah rakyat) daripada terperangkap menjadi 'nasi tambah' untuk keruhkan
keadaaan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu khas program Ruang
Bicara terbitan Bernama TV yang membincang 'Implikasi MB Selangor Kepada Rakyat'
di Wisma Bernama di sini, malam ini.
Turut menjadi panel dalam rancangan yang dikendalikan Dahlan Maamor itu
ialah Pengerusi Biro Profesional Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan.
Zakhir, yang juga Bendahari Blog House Malaysia, berkata situasi itu juga
perlu digunakan BN dengan sebaik-baiknya untuk membuat persiapan bagi menawan
kembali negeri Selangor apabila menjelangnya Pilihanraya Umum ke-14.
Terdahulu, dalam program berkenaan, Zakhir menyifatkan agenda PKR untuk
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebagai
tidak lebih daripada 'drama' yang digarap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
mencapai matlamatnya menguasai pentadbiran negeri melalui isterinya Datin Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan mengisi jawatan itu.
Dalam pada itu, Shahril Sufian berkata isu siapa menjadi menteri
besar bukan lagi tumpuan utama rakyat Selangor sebaliknya mereka mahu pemimpin
yang dapat menyelesaikan pelbagai isu membabitkan kebajikan mereka.
"Isu denggi, masalah air dan kebersihan setempat merupakan masalah
utama yang sedang dihadapi rakyat Selangor ketika ini. Sehingga kini
Pakatan Rakyat masih tidak dapat menyelesaikannya sebaliknya bertumpu
kepada menyelesaikan kemelut dalaman mereka," katanya.
Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan
Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas menerima cadangan untuk
menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR
mengisi jawatan itu.
-- BERNAMA
SLW MYS NAK
Langgan:
Catatan (Atom)