Rabu, Mei 02, 2018
IDRIS BANGGA DENGAN KONTRAKTOR ANAK BESUT
JERTEH: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bangga dengan prestasi cemerlang kontraktor Tulangis Sdn Bhd yang membina 500 unit projek perumahan rakyat (PPR) di Kampung Padang Tapong di sini yang merupakan anak jati Besut.
"Datuk Seri Rahim Husin adalah anak Pasir Akar yang kini merupakan kontraktor PPR terkenal di seluruh negara," katanya ketika melancarkan PPR ketiga di Terengganu petang tadi.
Tulangis Sdn Bhd telah membina PPR di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan PPR Bukit Nenas, Kuala Nerus. Petang tadi Idris yang juga penyandang parlimen Besut merasmikan PPR ketiga Tulangis di Jerteh.
"Beliau adalah kontraktor PPR yang berwibawa yang telah membina PPR di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Sabah. Kami rasa bangga kerana beliau adalah anak Besut," katanya.
Beliau meminta rakyat dalam DUN Jerteh memberi kemenangan besar kepada BN pada 9 Mei ini kerana lebih banyak projek pembangunan akan dibawa ke Besut selain dari Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan laluan kereta api ECRL.
"Dengan adanya LPT3 dan ECRL, Bandar Jerteh akan muncul sebagai bandar satelit,"katanya lagi.
61 TAHUN MERDEKA AKHIRNYA ORANG ASLI KETUAI JAKOA
BERA, 1 Mei (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang baharu dilantik, Ajis Sitin mahu menjadikan semua perkampungan Orang Asli menikmati kemudahan infrastruktur yang sempurna sebagai matlamat peribadinya.
Ajis, 55, yang merupakan Orang Asli pertama dilantik untuk menerajui jabatan itu menambah matlamat tersebut juga seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu memastikan semua 263 perkampungan Orang Asli seluruh negara menikmati kemudahan elektrik, air dan jalan raya menjelang tahun 2020.
Katanya, setakat ini terdapat sekitar 20 peratus masyarakat Orang Asli daripada keseluruhan anggaran 190,000 orang yang membuka perkampungan sekitar Banjaran Titiwangsa tidak menerima kemudahan tersebut.
"Mereka yang masih belum menerima bantuan kerajaan ini menetap di Hulu Perak, Hulu Pahang dan Hulu Kelantan ekoran cabaran demografi yang menyukarkan bantuan-bantuan disampaikan kepada mereka.
Selain itu, saya juga meletakkan fokus kepada penyampaian bantuan yang diuruskan oleh Jakoa seperti bantuan persekolahan, biasiswa sekolah menengah dan juga institusi Tok Batin supaya mereka dapat meningkatkan taraf sosio masing-masing," katanya.
Ajis yang berasal dari suku kaum Semai di Kuala Koyan, Kuala Lipis dekat sini ditemui di Pejabat Jakoa di sini hari ini, sejurus selepas pelantikannya diumumkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah berkhidmat sebagai Jurutera Awam Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jakoa pada Mei 2017.
Ajis juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Kejuruteraan Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dari 2009 hingga 2017 dan merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKR 2008 dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada 2010.
Mengulas mengenai pentadbiran Jakoa, Ajis berkata beliau berhasrat mahu memperkuatkan jumlah sumber manusia kerana berpandangan jumlah yang ada pada setakat ini masih tidak mencukupi untuk membantu kerajaan mendekati kumpulan sasar.
"Masalah yang dihadapi adalah kerana kedudukan perkampungan Orang Asli yang begitu banyak di setiap negeri, selain ada antaranya agak terpencil. Ini ditambah dengan permasalahan lojistik yang dihadapi," kata beliau.
"Terdapat 37 daerah Jakoa di seluruh negara dan mereka (kakitangan Jakoa) ini amat bergantung kepada kenderaan jabatan untuk masuk ke perkampungan Orang Asli, sedangkan banyak di antara kenderaan ini sudah banyak yang uzur," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Norya Abas menyifatkan pelantikan Ajis sebagai 'mengakhiri penantian' selama 20 tahun masyarakat Orang Asli yang mahu melihat jabatan itu diterajui 'orang dalam'.
"Kami sudah 20 tahun berjuang supaya jawatan itu diisi oleh Orang Asli. Mungkin dahulu suara kami tidak didengari kerana tiada yang berkelayakan namun sekarang ini sudah ramai Orang Asli yang berpendidikan tinggi.
Berita pelantikan Ajis sudah pasti memberi kelegaan kepada kami kerana terbukti suara kami didengari kerajaan selain beliau sendiri sudah pasti lebih memahami kehendak dan apa yang dimahukan Orang Asli," katanya.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)