Rabu, Mei 02, 2018
IDRIS BANGGA DENGAN KONTRAKTOR ANAK BESUT
JERTEH: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bangga dengan prestasi cemerlang kontraktor Tulangis Sdn Bhd yang membina 500 unit projek perumahan rakyat (PPR) di Kampung Padang Tapong di sini yang merupakan anak jati Besut.
"Datuk Seri Rahim Husin adalah anak Pasir Akar yang kini merupakan kontraktor PPR terkenal di seluruh negara," katanya ketika melancarkan PPR ketiga di Terengganu petang tadi.
Tulangis Sdn Bhd telah membina PPR di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan PPR Bukit Nenas, Kuala Nerus. Petang tadi Idris yang juga penyandang parlimen Besut merasmikan PPR ketiga Tulangis di Jerteh.
"Beliau adalah kontraktor PPR yang berwibawa yang telah membina PPR di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Sabah. Kami rasa bangga kerana beliau adalah anak Besut," katanya.
Beliau meminta rakyat dalam DUN Jerteh memberi kemenangan besar kepada BN pada 9 Mei ini kerana lebih banyak projek pembangunan akan dibawa ke Besut selain dari Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan laluan kereta api ECRL.
"Dengan adanya LPT3 dan ECRL, Bandar Jerteh akan muncul sebagai bandar satelit,"katanya lagi.