Selasa, Julai 02, 2013

MUHYIDDIN HARAP MB BERI KERJASAMA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Memaklumkan perkara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, Menteri Pendidikan Dua, Datuk Seri Idris Jusoh pula bertindak sebagai timbalannya. "Saya diberi tugas oleh Perdana Menteri untuk mengepalai jentera pilihan raya selain melantik Datuk Seri Idris sebagai timbalan. "(Bagaimanapun) kita harap juga pihak Menteri Besar (Terengganu) memberi kerjasama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di bangunan Parlimen, di sini hari ini. Beliau ditanya pemberita berhubung persediaan BN bagi menghadapi PRK DUN Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya, Datuk A.Rahman Mokhtar, Rabu lalu. "Kita sudah bersedia. Kita harap pengundi yang sebelum ini mengundi Allahyarham Dr. Rahman membuat keputusan yang sama membantu calon yang akan kita namakan nanti," katanya. Mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada badan penguatkuasa itu untuk menjalankan tugas mereka. "Kita tak boleh mencampuri urusan mereka, kalau ada apa-apa aduan dan SPRM nak ambil tindakan, itu bidang kuasa mereka. "Saya percaya SPR akan bersikap terbuka dan memberikan kerjasama yang sepatutnya. Kedua-duanya ialah suruhanjaya, masing-masing ada bidang kuasa tersendiri," katanya.