Ahad, Mei 18, 2014
MB ALU-ALUKAN CADANGAN DARI PENGAMAL MEDIA
KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul
Rahman mempelawa pengamal media memberi cadangan dan idea baharu dalam aspek
penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi memastikan agenda
pembangunan negeri ini berjalan lancar.
Beliau berkata pengamal media adalah antara golongan yang sering turun
padang dan terawal dalam mengetahui permasalahan dihadapi rakyat dalam pelbagai
urusan harian mereka.
"Justeru marilah bersama-sama kita bekerjasama ke arah pembangunan
Terengganu yang lebih maju dengan keseimbangan menyeluruh dengan kebajikan
rakyat terus diutamakan.
"Saya sangat berharap pengamal media di negeri ini terus membuat laporan
tepat dan berkualiti dan saya sendiri akan berusaha memberi kerjasama yang
diperlukan anda semua," katanya ketika berucap di majlis mesra media anjuran
Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sini malam tadi yang dihadiri 300 pengamal
media di negeri ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi,
Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Presiden KAWAT Ayob Mamat.
Ahmad Razif turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat
liputan dengan baik sepanjang krisis politik negeri ini minggu lalu.
"Fokus kita semua selepas ini ialah untuk menang semula di kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah dan mengekalkan kemenangan di kerusi DUN
sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
"Saya adalah menteri besar ke-14 dan kebetulan akan menghadapi PRU14,
lupakan semua yang berlaku, kita semua rapatkan barisan untuk capai impian
yang satu demi kemenangan yang diimpikan," katanya.
-- BERNAMA
KAK FAU NH
Langgan:
Catatan (Atom)