Ahad, Mei 17, 2009

AHMAD SAID KEKAL MB


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kepimpinan negeri ini akan terus diterajui Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, isu pertukaran jawatan menteri besar tidak berbangkit malah tiada perbincangan mengenainya dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

"Siapa kata (ada pertukaran), setakat ini saya tak dengar apa-apa pun tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu semalam.

Muhyiddin mengulas desas-desus kononnya Menteri Besar Terengganu akan ditukar berikutan kemelut politik melanda negeri ini.

Isu itu timbul berikutan ura-ura undi tidak percaya terhadap Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, namun ia tidak berlaku.

Bagaimanapun, pada hari kedua persidangan, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir atas alasan keselamatan selepas tiga daripada mereka iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima sistem pesanan ringkas (SMS) ugutan dipercayai berikutan polemik itu.

ADUN-ADUN berkenaan selepas itu turut melahirkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Ahmad dan mahu beliau ditukarkan.

Muhyiddin menegaskan, beliau mahu melihat situasi politik di Terengganu menjadi bertambah baik dengan semua pihak mengutamakan perhatian untuk membina kekuatan UMNO dan BN di negeri itu.

Beliau percaya semua kepimpinan UMNO negeri termasuk wakil rakyat dan kepimpinan bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mewujudkan satu persefahaman yang lebih baik di kalangan mereka.

"Kita sayangkan Terengganu. Rakyat telah beri kepercayaan dan kita kena tumpukan perhatian untuk membangunkan negeri ini kerana Terengganu mempunyai banyak sumber, hasil negeri banyak, minyak pun ada.

"Saya kira rakyat masih mahu lihat pembangunan yang lebih banyak, jadi ia mesti diutamakan," ujarnya.

Katanya, walaupun ada perselisihan faham sesama sendiri, mereka perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikannya.

"Sama ada ADUN, bukan ADUN, pemimpin parti, berjawatan atau tidak, jika berganding bahu, kalau pentingkan rakyat dan mahu pertahankan kedudukan di Terengganu, jangan abaikan rakyat yang beri keyakinan kepada kita untuk mentadbir negeri ini," ujarnya.