Khamis, Oktober 18, 2018

MENTERI PELEKAT NOTIS DILARANG MEROKOK IKUT SUKA DIA

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Larangan merokok di kawasan Parlimen yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan dicadang dikaji semula kerana dilihat bercanggah dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 18, sebaik sahaja sesi soal jawab lisan tamat, memohon Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membuat keputusan atau 'petua' mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata seorang menteri tidak berhak mengeluarkan sebarang notis di Parlimen tanpa berbincang dengan speaker.

“Saya tengok notis diletak di kawasan larangan merokok ditandatangan oleh Menteri Kesihatan. Seperti yang kita tahu, ini adalah kawasan tuan speaker, ‘this house is yours’, tidak ada mana-mana menteri pun yang ada kuasa.

“Jadi saya lihat mana mungkin menteri pelekat notis ikut suka dia, dia kena bincang dengan speaker dan speaker akan maklum kepada kita, biar speaker letak notis, saya tak merokok tetapi untuk berlaku adil,” katanya.