Khamis, April 28, 2016

KISAH DUA ORANG SAHABAT

Persahabatan di antara Mansor dengan Razali bermula di bangku sekolah lagi. Mereka berkawan dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Tetapi mereka berpisah apabila mereka masuk universiti. Mansor masuk ke UM dalam bidang ekonomi manakala Razali masuk UKM dalam bidang usuluddin.

Empat tahun kemudian Mansor menyertai sebuah badan berkanun sebagai penolong pengarah manakala Razali menjadi seorang guru agama di sebuah sekolah menengah di negeri asal mereka. Persahabatan mereka menjangkau 20 tahun apabila Mansor yang kini menjadi pengarah pengurusan sumber manusia disebut sebut akan dilantik sebagai ketua pengarah (KP)  badan berkanun tersebut menggantikan Datuk Johari yang akan bersara.

Sebagai orang lama dalam agensi itu Mansor layak menjadi KP yang baru. Apabila secara rasmi beliau menjadi KP maka Razali sahabat lamanya datang mengunjunginya. Secara kebetulan ada satu kekosongan jawatan iaitu pengarah perhubungan awam. Untuk menyuntik ruh agama dalam badan berkanun itu Mansor memerlukan orang agama seperti Razali. Apatah lagi selama ini pengurusan lepas mengabaikan semangat Islam dalam  jabatan itu.

Maka Ustaz Razali menerima jawatan yang ditawarkan oleh sahabat lamanya. Dia dipinjamkan oleh kementerian pendidikan untuk menjawat jawatan Jusa C itu manakala Mansor selaku KP adalah pegawai Jusa A.

Setahun bertugas ternyata Ustaz Razali lembab sedikit yang menyebabkan Mansor kecewa dengan prestasi sahabatnya itu. Tambahan pula pengarah pengarah lain turut merungut prestasi ustaz Razali. mansor tidak dapat mempertahankan sahabatnya lagi maka beliau menasihati sahabatnya itu kembali semula ke sekolah menengah berkhidmat sebagai guru agama.

ustaz razali menangis apabila menerima hukuman dari sahabatnya itu. apatah lagi anak anaknya sudah berpindah bersekolah di Kuala Lumpur. terpaksa kembali sekolah semula di negeri asal. Untuk meredakan kekecewaannya beliau mengadu kepada Allah setiap malam solat hajat supaya Allah membalas kepada sahabatnya itu yang telah memalukan dirinya dan keluarganya.

Tidak sampai tiga bulan selepas itu tiba tiba ustaz razali mendengar Mansor dipecat sebagai KP oleh menteri yang menjaga badan berkanun itu. beliau terkejut mendengar berita pemecatan Mansor dan beliau menangis kerana rupanya Allah mendengar rintihannya setiap malam.

"Ya Allah jika betul sahabatku sudah berubah, kau balaslah kepadanya seperti dia buat aku menangis apabila aku menerima surat pemecatanku dahulu," itu yang dirintihnya setiap malam ketika menunaikan solat tahajud dan solat hajat setiap malam. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan ingatlah bahawa kuasa itu hanya dipinjamkan oleh allah buat sementara sahaja.