Isnin, April 25, 2016

PM MENGHADAP SULTAN TERENGGANU ESOK



LUNDU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadap segera Sultan Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Difahamkan Najib dijangka menghadap Sultan Terengganu esok. Tanpa mendedahkan bila dan lokasi pertemuan itu bakal diadakan, Najib turut meminta rakyat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.


"Saya akan menghadap Sultan Terengganu dalam tempoh terdekat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di sana. Kita minta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian berhubung apa yang berlaku. "Menteri Besar Terengganu masih melaksanakan tugas beliau seperti biasa, malah Kerajaan Terengganu tetap berfungsi seperti biasa," katanya.






Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Rumah Rehat Kerajaan, di sini sebentar tadi. Najib berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi selepas pertemuan tertutup itu diadakan nanti.

SAMPAI BILA NAK TUKAR MB?

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas spekulasi itu meminta semua pihak bertenang dan tidak beremosi mengenai perkembangan terbaru di Terengganu.

Naib Presiden UMNO itu berkata perkara itu masih belum jelas, namun beliau yakin isu itu dapat diselesaikan.

"Sebagai mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu, ini bukan perkara yang tidak pernah kita lalui.

"Yang penting sekarang ialah untuk kita pastikan bahawa apa dia perkara yang boleh memecah-belahkan kita, kita kurangkan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Latihan Khidmat Negara 2.0 di Esplanade, KLCC di sini semalam.

Hishammuddin berkata fokus terhadap isu itu kini adalah untuk memastikan kepentingan negeri dan badan perhubungan UMNO negeri melebihi daripada kepentingan individu.

Katanya, jika kepentingan negeri dan parti diletakkan mengatasi kepentingan individu seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, perkembangan di Terengganu kali ini bulanlah satu perkara yang membimbangkan.

Ulasan saya, jika benar berlaku apa yang diviralkan di media sosial, maka ia amat menyedihkan kerana masalah istana dengan MB dari dahulu sampai sekarang masih belum selesai.

Kita lihat sudah ramai MB menjadi mangsa istana seperti Datuk Nik Hassan Abdul Rahman (Terengganu), Datuk Rahim Bakar (Pahang), Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu), Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Tan Sri Ghazali Jawi (Perak). Jika Razif menjadi mangsa seterusnya maka ia amat malang bagi Terengganu yang asyik bertukar MB.

Malah pertukaran Idris pada tahun 2008 dahulu pun kerana tidak diperkenan istana. Istana memilih Datuk Seri Ahmad Said tetapi PM pula tidak berkenan maka diganti denganRazif. Sampai bila  MB Terengganu asyik nak bertukar kerana sehingga PRU akan datang Terengganu mencatat sejarah mempunyai  tiga orang MB.

Melantik MB adalah hak Sultan. Maka pilihlah yang terbaik dan janganlah kerana kesalahan kecil terus ditukar MB itu. Jika tidak rakyat tidak  akan  menghormati lagi institusi beraja.