Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Ladang, di sini jam 7.45.
Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab yang turut mengundi di tempat sama, kemudian masuk ke pusat mengundi tepat jam 8.03 pagi dan keluar dari pusat berkenaan kira-kira 10 minit kemudian.
Kehadiran Wan Ahmad Farid mendapat perhatian penyokongnya dengan Wan Farid melambai-lambai ke arah mereka sambil melaungkan "Hidup BN, Hidup Umno".
Sementara itu Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut,tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Chabang Tiga, Seberang Baruh, jam 7.50 pagi untuk mengundi di pusat itu. Beliau ditemani isteri, Wan Fatimah Wan Abdullah bersama lima daripada sembilan anaknya yang turut mengundi di pusat sama.
Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 45, tidak mengundi hari ini di sini, sebaliknya beliau didaftar sebagai pengundi di Parlimen Petaling Jaya Utara. Usaha untuk menghubunginya sejak awal pagi ini bagaimanapun gagal apabila telefon bimbitnya ditutup.
Azharudin yang dilahirkan pada 1 April 1963 juga pengundi berdaftar untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama.
Semua 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dibuka jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 80,229 pemilih menunaikan hak masing-masing hari ini. Keadaan di pusat pengundi membabitkan 143 saluran mengundi dilaporkan tenang sebaik dibuka dengan pengundi tiba seawal jam 7 pagi.
Pihak berkuasa keselamatan, terutama polis dilihat berkawal di sekitar kawasan pusat mengundi, termasuk helikopter PDRM berlegar-legar di udara bagi memastikan tiada keadaan tidak diingini berlaku.
Tiga calon menawarkan diri bertanding iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas) dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November lalu. Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.