Rabu, Disember 16, 2015

USAHA ARTIS TUBUH KOPERASI WAJAR DIPUJI

Malam tadi di PWTC, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad (KSKLB)  yang dianggotai artis artis yang yang masih aktif dan veteran. Seramai 1,500 orang artis hadiri majlis itu yang ditaja oleh DRB-Hicom sebanyak RM500,000.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Berhad, Tan Sri Khamil Jamil turut hadiri majlis Gegar Anak Seni itu.Menurut Pengerusi Koperasi, Datuk Jurey Latiff Rosli, KSKLB didaftarkan pada 31 Mei 2010 dengan pengerusi pertamanya Allahyarham Harun Salim Bachik.

Penubuhan koperasi itu bertujuan untuk menjalankan aktiviti perniagaan pasar mini serta menjalankan aktiviti kebajikan anggota pendidikan dan perniagaan di samping menjalankan perkhidmatan penerbitan program program televisyen dan filem, persembahan konsert serta aktiviti lain yang berkaitan untuk menjana pendapatan ahli koperasi.

Pengerusi projek Gegar Anak Seni, Datuk Malek Radzuan ketika berucap mengatakan sokongan artis kepada pihak kerajaan yang begitu prihatin menjaga kebajikan anak-anak seni. Malek mengajak semua artis melafazkan ikrar taat setia kepada kerajaan.

Bagi Dr Zahid yang pernah menjaga artis ketika menjadi Timbalan Menteri Penerangan dahulu, ikrar taat setia yang diketuai Malek tidak perlu diadakan kerana beliau tahu majoriti artis menyokong kerajaan yang memperjuangkan nasib mereka.

"Kalau bukan kerajaan, siapa lagi yang mempedulikan artis," katanya ketika berucap di majlis tersebut. Dr Zahid bersetuju memberi peruntukan RM1 juta kepada KSKLB  dengan harapan kebajikan artis terbela.

"Selepas ini jika saya dengar ada artis yang tidak diberi perhatian oleh KSLKB, saya akan tarik balik peruntukan itu," gurau Dr Zahid.

Usaha artis menubuhkan koperasi wajar diberi pujian kerana melalui koperasi mereka dapat meningkatkan punca pendapatan koperasi di mana keuntungan dari perniagaan nanti ia dapat dipulangkan kepada artis yang memerlukan pembelaan terutamanya artis veteran yang sudah dipinggirkan oleh industri seni.

Pelbagai persatuan ditubuhkan untuk artis seperti Seniman, Yayasan Karyawan. GAFIM tetapi diharapkan selepas ini tidak ada lagi koperasi serpihan dari KSKLB.

Seperti amanah Dr Zahid kepada pemimpin koperasi, jangan jadikan koperasi sebagai tempat menonjolkan diri demi kepentingan peribadi sebaliknya keutamaan koperasi ialah untuk  jaga kebajikan artis.

Majlis diserikan oleh nyanyian juara Gegar Vaganza, Nana, Kumpulan Zero, Hazami,




Khatijah Ibrahim, M. Daud Kilau dan persembahan band Rela Putrajaya. Majlis itu turut memberi anugerah pohon beringin 2015 kepada Allahyarham Harun Salim bachik, Ibrahim Pendek (ikon filem), Tan Sri Ahmad Merican (ikon televisyen), Datuk Ooi Eow Jin (ikon muzik), Alleycats (ikon nyanyian), Khalid Salleh (ikon teater) dan Datin Azanin Ezane Ahmad (ikon tarian).