Khamis, Mac 28, 2019

KANAK KANAK LIMA TAHUN BERTUAH MASUK KE DALAM KAPAL SELAM

LANGKAWI, 28 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun menjadi antara lima pengunjung bertuah terpilih untuk masuk ke dalam kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Resort World Berhad (RWL) hari ini.

Zinedinne Ben Bahar bersama ibunya Nadia Hashim Kamil, 37, serta nenek saudaranya Hanita Haron diberi peluang lebih 30 minit di dalam kapal selam itu dan diberi penerangan mengenai teknologi, cara pengendalian serta kehidupan anggota krew kapal selam tersebut sekali gus menjadi orang awam pertama diberi peluang tersebut.

Hanita memenangi pertandingan swafoto segmen maritim anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu selepas dia menghantar sekeping gambar swafoto bersama Zinedinne dan Nadia semasa mengunjung booth pameran Pasukan Khas Laut (Paskal) semalam.

NPC ANJUR JAMUAN MAKAN MALAM AMAL

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) akan menganjurkan jamuan makan malam amal bagi mengutip dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan pada 13 April ini.

Presidennya, Datuk Mokhtar Hussain berkata acara itu bertujuan mengumpul dana untuk membantu wartawan dan keluarga mereka sekiranya berlaku kematian semasa mereka sedang bertugas atau menghidapi penyakit.

“Banyak rakan-rakan kita yang ditimpa masalah namun tidak mendapat perhatian, dengan cara ini kita dapat membantu mereka,

"Sejak tabung ini diwujudkan, kita telah membantu lebih 100 wartawan di seluruh negara tanpa mengira sama ada mereka ahli kelab atau tidak,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian ikrar sumbangan di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Antara yang menyampaikan ikrar penajaan kepada NPC hari ini ialah wakil-wakil penaja utama jamuan makan malam amal itu iaitu Kumpulan Sunway Berhad, Forest City, Kumpulan UEM Berhad, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat QI sebagai penaja platinum.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan QI, K. Krishna Kumar percaya acara itu adalah satu usaha untuk menghargai sumbangan wartawan dan jurugambar tempatan yang berdepan dengan pelbagai risiko sewaktu menjalankan tugas demi memyebarkan berita dan maklumat kepada masyarakat.

Pada majlis itu, NPC turut menyerahkan sumbangan kepada bekas koresponden New Straits Times (NST) Melaka Jason Gerald, 43, yang kakinya diamputasi baru-baru ini dan wartawan Bernama, Yai Ban King, 48, yang menghidap kanser paru-paru. Sumbangan dana itu diterima oleh wakil masing-masing.

Jamuan makan malam amal itu akan diadakan di Hotel Istana, yang akan turut menampilkan persembahan khas artis rock terkemuka Malaysia Datuk Nash Lefthanded dan pemain gitar, Mankidal.

Pembelian tiket dan tempahan meja boleh dibuat dengan menghubungi pengurus kelab Steven Foo di 019-2458073 atau setiausaha acara Siti Kadtijah Hamid di 019-6900517 atau e-mel nationalpressclub@gmail.com.

-- BERNAMA