Khamis, Ogos 08, 2019

PULAU KERENGGA KEKAL HAB PETROLEUM KEDUA TERENGGANU

MARANG, 7 Ogos (Bernama) -- Rancangan pembangunan Pulau Kerengga sebagai hab petroleum kedua Terengganu mungkin diteruskan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara tersebut kini di peringkat rundingan dan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Petronas, minggu lepas.

Katanya, beberapa syarikat besar dari luar negara juga telah menyatakan minat untuk melabur dalam projek tersebut tetapi masih belum dapat didedahkan kepada umum.

"Secara umum, kawasan ini (Pulau Kerengga) masih diwartakan sebagai hab petroleum.

"Namun, perbincangan akhir antara agensi kerajaan negeri dan Petronas yang berlangsung minggu lalu tidak tolak kemungkinan untuk teruskan hab petroleum," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 10 ekor lembu korban oleh anak syarikat kerajaan negeri, Permint Granite Sdn Bhd kepada penduduk Kampung Pulau Kerengga, di sini hari ini.

Hab petroleum pertama Terengganu ialah Loji Penapisan Minyak Terengganu yang terletak di Kertih, Kemaman, dibuka secara rasmi pada 3 Okt 1983.

Ia adalah loji penapis minyak tempatan yang pertama di Malaysia, dimiliki dan diuruskan oleh Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd.

Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri memaklumkan sebanyak 114 syarikat kontraktor dari Terengganu telah mengemukakan permohonan kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi mendapatkan tender di bawah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata 90 peratus daripada syarikat tersebut adalah anak syarikat kerajaan negeri yang melibatkan semua kelas kontraktor.

-- BERNAMA